Bukan lagi yang pertama

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga dirahmati Allah sentiasa,

Ratna,
Beberapa hari yang lalu, Kak Ngah menerima e-mail peribadi dari seorang wanita yang menamakan dirinya sebagai NKS. Katanya beliau seorang pekerja di pejabat kaunseling, IPTA. Sepanjang beliau bertugas, berbagai perangai dan gelagat manusia telah diperhatikan.

Masyallah! Kata beliau ada yang berlapang dada namun, ramai yang cepat melatah. Beliau akui, dirinya tidak terkecuali.

Apabila beliau membaca komen-komen dalam entri SUNYI,terpanggil pula untuk berkongsi kisahnya. Beliau menulis begini :

“Puan yang dihormati, suatu masa dahulu saya pernah menjadi isteri pertama. Setiap kali ada rakan-rakan mengadu masalah tentang suami mereka yang mempunyai orang ke dua, sayalah orang yang paling simpati. Saya memahami perasaan mereka. Pernah suatu ketika, rakan baik sendiri menangis dipangkuan sehingga bengkak-bengkak mata apabila menceritakan perihal suaminya yang berkahwin lagi.”

Lalu, dengan penuh rasa simpati, beliau bersemuka suami rakan itu yang juga rakan sekelasnya. Suami rakan itu berkata, “Bukannya mudah bagi saya membuat keputusan ini. Ini jodoh kami.”

Ratna,
NKS teruskan lagi,” Benar. Allah turut mengujinya. Suatu hari beliau mendapat tahu rupa-rupanya selama ini beliau juga bermadu. Lantas tanpa kompromi, beliau meminta suami membuat pilihan. Suami memilih orang yang ke dua.

Kata NKS lagi, bermulalah episod kehidupan beliau sebagai ibu tunggal dengan 4 orang anak perempuannya. Beliau menguruskan segalanya. Bertahun-tahun ia berlalu, sehingga suatu hari beliau menghadiri seminar bagi konselor-konselor. Beliau bertemu kembali dengan bekas teman lelakinya.

Teruja! Sejak pertemuan itu, beliau sering dihubungi. Berkali-kali beliau cuba mengelak agar perhubungan itu tidak diteruskan kerana akur teman lelaki itu suami orang. Namun, akibat bimbang terjerumus dengan mainan syaitan, mereka akhirnya menikah. Katanya, “Bukannya mudah membuat keputusan ini. Ini Jodoh kami..”

Masyallah! Setelah sah menjadi isteri, barulah NKS mendapat tahu..dia bukan orang ke dua. Tetapi yang ke tiga! Katanya “Dahulu perasaan saya terguris diduakan oleh bekas suami. Takdir Allah menjadikan diri orang yang ketiga membuatkan saya tersentak, lantas memohon keampunan Allah.”

Kini, katanya apabila berdepan dengan isu wanita dan suami, dia mulai berlapang dada. Lebih memahami dengan pengajaran yang ditunjukkan Allah kepadanya. NKS mengakhiri kisahnya begini;

“Bersyukur dan Redha dengan pemberian Allah. Yang pertama, yang ke dua atau yang ketiga..barangkali mereka ibu, emak saudara, adik beradik, sepupu, rakan karib atau anak perempuan kita. Poligami..barangkali mereka adalah bapa, bapa saudara, sepupu, abang, adik atau anak lelaki kita. Semuga ujian Allah ini mendekatkan diri kita kepadaNya.”

Ratna,
Rupa-rupanya di dalam kehidupan ini berbagai-bagai ujian yang dilalui oleh Hamba Allah. Sama-samalah kita ambil ikhtibar bagaimana Allah mengajarkan manusia dengan cara yang pelbagai. Jangan sampai kita terlalu yakin dengan apa yang dimiliki pada hari ini , esok Allah boleh menterbalikkan segalanya. Benarlah di dalam surah al-Furqaan, ayat 20 Allah berfiman yang bermaksud,

” Dan Kami tidak mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).”

Masyallah! Ya Allah ya Tuhanku..Janganlah diuji dengan sesuatu yang tidak dapat ditanggung oleh kami. Jangan dihukum jika kami terlupa atau tersalah. Ampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh pendengaran, penglihatan, lidah dan bisikan jahat hati kami. Aminn.

Sekian. Salam sayang dari kami sekeluarga di Madinah. Tabarakallah hufikum!

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>