Berkorban.. keranaNya

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga Allah memudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat,

Ratna,
Tabarakkallahu fikum!

Masyallah.. hampir sahaja kak Ngah mahu menghentikan perutusan warkah ini. Barangkali sudah tidak ramai lagi yang mahu membuka helaian demi helaian warkah dengan penggunaan bahasa yang usang.

Kenapa? Kerana sudah ada kemudahan teknologi canggih lagi terkini di FB.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu akhbar! Tahukah Ratna.. semasa kak Ngah sedang sibuk menyenduk nasi minyak ke dalam pinggan abang Ngah dan Sofea, tiba-tiba terdengar Amirul terjerit girang,

“Mama! Mama.. cepat! Nenek.. nampak muka nenek!”

Lalu, kami bergegas pergi meninggalkan hidangan tengahari menuju ke arah ruang tamu. Benar, kami dapat melihat wajah emak dan De Tuti. Ternampak wajah uzur emak yang girang. Amirul dan Sofea juga dapat bersembang dan bergurau senda dengan sepupu-sepupunya.

Terlerai rindu dendam.

Amirul mengadu dengan bertanya, “Nenek.. pagi tadi buat rendang? Mama tidak dapat buat rendang di sini… tak ada serai. Tak ada kerisik..”

Masyallah! Anak soleh yang satu ini. Rupanya itu yang terpendam di hati. Ingatkan kuliah tentang bab makanan di rantau orang telah selesai dan sudah difahami.. rupa-rupanya belum berapa faham lagi. Khalas? Laa…

Ratna,
Selepas solat aidil Adha – alhamdulillah – ramai tetamu yang sudi datang ke rumah kecil kami di Jabal Ohud. Mereka datang dari sekitar Saudi – Yanbo, Jeddah dan Riyadh. Sembang-sembang sambil menjamah juadah – “Kenapa puan semua di sini?” Rata-rata mempunyai jawapan yang sama malah ada persamaannya.

Salah seorang rakan bercerita, “Masyallah! Semasa suami berada di Saudi.. kamilah yang bertungkus lumus menguruskan segalanya di Malaysia – urusan rumahtangga, bil-bil, hutang piutang dan kerja pejabat. Bukannya mudah.. tambahan anak-anak kecil yang masih bersekolah. Mereka rindukan ayah”.

Mereka berkata lagi, “Alhamdulillah! Teknologi video conferencing inilah yang menghubungkan kami. Anak-anak berkomunikasi dan menatap wajah ayah mereka di hadapan laptop. Terpancar kegembiraan”.

“Hampir setahun begitu.. akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Meninggalkan jawatan tinggi dan gaji besar. Melupakan sahaja sekeping sijil sarjana yang susah-susah diperolehi dari universiti luar negeri”.

Yang lain bersetuju. Namun, sekilas pandang ada sayu, ada sendu dan pelbagai lukisan terpancar wajah. Ia bukan keputusan yang mudah.

Seorang rakan yang lain dengan nada perlahan berkata, “jika bukan kerana Allah, barangkali kami tidak mampu bertahan di sini. Dahulu, saya fikir kami anak-beranak berhijrah kerana mengikut suami. Kini tidak lagi.”

Rakan yang lain mengiakannya,”Allah telah mengajar kami erti perpisahan dan kerinduan. Kami belajar memahami erti persefahaman, amanah dan tanggungjawab. Masing-masing ada urusan yang tidak perlu bersoal jawab. Hati lebih redha dan tenang jika lakukan kerana amanah Allah. Bukan kerana suami.”

Masyallah! Ratna… kak Ngah sering terbayang bagaimana Allah memberikan rezeki kelapangan masa ketika berada di luar negara. Ketika itulah si ibu berpeluang melayani makan minum keluarga, memandikan malah menyusukan bayi mereka tanpa rasa gusar keletihan untuk ke pejabat.

Lalu, nikmat Allah yang mana satukah mahu di dustakan?

“Allah telah mengajar kita erti perpisahan sewaktu berjauhan, maka seharusnya kita menghargai sewaktu tinggal bersama. Apa lagi yang kita kejarkan? Hidup ini sangat singkat.. entahkah kita atau suami yang pergi dahulu..” rakan itu menyudahkan kisahnya.

Benar, salah satu e-mail dari seorang rakan yang pernah tinggal d iluar negara juga menceritakan perkara yang sama. Beliau menemani suami yang bekerja di kedutaan, meninggalkan jawatan, pangkat dan kuasa yang sangat disayanginya. Katanya, 3 tahun itulah saat yang paling indah bersama suaminya. Tiga bulan selepas pulang ke Malaysia, suami kembali dijemput menemui illahi.

“Innalillah.. pergilah ke pangkuan suami dengan redha. Berkorban keranaNya bukan kerana dia. Keikhlasan hati seorang isteri dan ibu terpancar pada wajah, perlakuan dan tutur kata.”

Ratna,

Lalu, nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawwarrah.

- Rumah kecil di Jabal Ohud –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Kerenah anak-anak, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>