Mahasuci Allah

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga Allah memudahkan segala urusan serta disudahi dengan segala kebaikan.

Ratna,
Kelmarin, Allah yang maha pemurah telah mengurniakan Kak Ngah dengan nikmat perasaan gembira yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kenapa?

Pertama, kami sekeluarga telah mendaftar di Madrasah al Haram bagi mengaji al-Quraan. Ia bermula, Insyallah pada 14 Muharram. Sofea dan Amirul belajr mengaji selepas solat Asar. Manakala abang Ngah dan Kak Ngah selepas solat Maghrib.

Selama ini Kak Ngah terfikir-fikir bagaimana agaknya untuk menyertai kumpulan-kumpulan kecil yang mengaji di Haram. Masyallah Tabarakkallah! Sesungguhnya Allah itu maha mendengar bisikan hati.

Sebenarnya Kak Ngah hanya mahu mendaftarkan Sofea, di pejabat Haram sebelah pintu 28. Setelah diambil maklumat dan salinan iqomah, Sofea ditemuduga. Dengan kuasa Allah, spontan mulut bertanya:

“Bagaimana cara kalau saya sendiri mahu belajar mengaji al-quraan di sini?”

Allah..Allah..Allahu Akbar!

Kedua, sudah tiga hari 2 orang jemaah dari Turmenistan, Russia duduk di sisi mendengar kak Ngah mengajar Sofea mengaji di Haram. Lalu, meminta kak Ngah mengajar mereka pula. Tahukah Ratna, selama ini mereka tidak mengenal tulisan Arab. Maksudnya, huruf آ ب ت ditulis dalam bahasa Russia seperti aliff, baa dan ta. Mereka menghafal surah-surah lazim.

Jadi, apabila ditunjukkan surah al- Fateha dan al-Ikhlas – mereka teruja sekali! Kami berkomunikasi bagaikan antara ayam dan itik, namun mahasuci Allah memberikan perasaan faham memahami. Bukankan Allah menjadikan manusia itu berbagai bahasa dan bangsa untuk kita saling mengenali antara satu sama lain. Bukankah itu tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah? Tidakkah kita terfikir tentangnya?

Kelmarin, kak Ngah menghadiahkan mereka setiap seorang senaskah al-quraan dan senaskah lagi untuk diwakafkan di masjid Turmenistan. Wang dari rakan-rakan jemaah haji bagi disedekahkan untuk keperluan fakir miskin dan mereka yang terlantar. Ada antaranya kami berikan wang tunai dan al-quraan untuk dibawa pulang.

Mudah-mudahan anak cucu mereka menjadi generasi baru yang mengenal kalam Allah melalui tulisan arab. Bahasa yang boleh dipelajari dengan menggunakan akal.

ketiga, kak Ngah bertemu semula dengan salah seorang bekas pensyarah yang memberi bekas di hati, Hajjah Husniyati. Mereka suami isteri sudi berkunjung ke rumah kecil kami. Beliau mengajar pelajaran Ekonomi semasa Kak Ngah mengikuti pengajian luar kampus. Kak Ngah masih teringat, semasa kami berkejar-kejar dari pejabat masuk ke kelas selewat 6.30 petang, beliau pernah bertanya;

“Kamu semua berkejar-kejar dari tempat kerja… sempat sembahyang Asar ke tidak? Jika belum, tunaikan segera. Surau di sudut sana…”

Masyallah tabarakallah! Tidak terfikir dek akal singkat kak Ngah bahwa pensyarah ekonomi juga boleh mengajak pelajarnya mendekatkan diri kepada Allah walaupun dengan sebaris ayat. Dalam diam Kak Ngah bernekad, lakukan apa sahaja pekerjaan dengan niat sebagai suatu ibadah kepada Allah.

Allah..Allah..Allahu Akbar! Banyaknya nikmat yang dilimpah kurniakan Allah yang maha pengasih lagi penyayang kepada kami sekeluarga. Tidak setanding dengan amalan yang dilakukan keranaNya. Lantas, tidak mahukah kami menjadi hamba yang tahu bersyukur kepadaNya?

Allah..ya Allah! Kami mohon keampunanMu jika terlupa bersyukur dengan nikmat kurniaanMu. Nikmat Allah yang mana satukah yang mahu kami dustakan?

Astagfirullahalazim!

Sekian sahaja untuk kali ini. Semuga Allah memberi kesihatan yang baik agar kita dapat menunaikan ibadat kepadaNya.

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Haji, Muhassabah, warkah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>