Daging panggang

Nota: Bab 29 buku Travelog Masakan: Ia bukan sekadar resepi

Hidangan istimewa untuk anak-anak

Gulai daging resepi kampong atau dipanggil gulai kampong. Itulah yang disebut dan diajar oleh emak dan mak wa semasa kami kecil. “Gulai bodoh” kata mereka.

Ramuannya sama seperti memasak rendang. Ada bawang merah, bawang putih, halia, serai, lengkuas, cili padi serta lada kering. Dimasukkan juga sedikit ketumbar dan jintan manis.

Perbezaannya ia berkuah.

Emak juga memasak daging dengan cara yang ringkas. Ia dinamakan daging masak kicap. Emak gaulkan daging dengan ramuan bawang merah, bawang putih, halia dan lada sulah atau lada hitam yang di tumbuk.

Daging tadi diperap sebentar kemudian di tumis serta di tambah kicap. Kebiasaanya, emak tambahkan kentang goreng, lada hijau yang di belah, daun sup dan tomato sebagai penyeri. Kami makan bersama sayur kuah lemak, ikan masin serta sambal tumis atau sambal belacan.

Ia masakan ringkas tetapi merupakan masakan istimewa kami! Hidangan sebulan sekali ketika abah menerima duit gaji. Begitulah rasa nikmat atau istimewa yang berbeza-beza.

Setelah berumahtangga, saya berpeluang menikmati hidangan sekeping daging bersos lada hitam di sebuah restoran yang terkenal. Mereka memanggilnya Beef Steaks. Subhanallah! Hidangan mewah. Daging sekeping itu di makan tanpa nasi!

Malah saya terfikir, dulu sekeping daging yang sama boleh dimakan seisi sekeluarga, hanya sebulan sekali. Allah, Allah, Allah kini saya hanya makan berdua bersama suami. Berfikir dengan mata hati, tidakkah kita mahu bersyukur dengan nikmat-nikmat yang sentiasa bertambah.

Saya tidak pernah terfikir sebenarnya memasak masakan barat seperti lamb chop, steaks dan roasted beef tidaklah sesusah mana. Jika dilihat dari tatacara menghias dan harga sepinggan makanan yang dihidangkan di restoran besar dan di hotel-hotel tentu sekali ia tugas yang sukar dan rumit.

Subhanallah! Barangkali kita berfikir berpuluh kali sebelum mengambil keputusan untuk menjamu keluarga di sana. Hakikatnya dengan sedikit ilmu Allah, nikmat mereka yang mampu makan di restoran mewah boleh dikongsi bersama keluarga di meja sendiri.

Kaedah memanggang roasted chicken yang diajar oleh Ruth membuka mata saya. Kemudian – pembantu rumah kami – Katie memberi pelbagai tip menarikyang membuatkan saya lebih berkeyakinan diri. Ruth mengajar saya cara memasak secara peringkat demi peringkat. Ia berbeza dengan Katie yang mengajar saya cara melakukan beberapa perkara secara serentak! Cara profesional pembantu rumah.

Begitulah, Allah memberikan ilmu yang berbeza-beza di antara seorang profesional (Ruth) berbanding dengan Katie (pembantu rumah). Ia ilmu yang sangat bermanfaat.

Tip berikut boleh digunakan pada ayam atau daging panggang cara Katie. Katanya buatlah persiapan sehari sebelumnya. Emm.. patutlah di negara barat banyak betul makanan separa masak sejuk beku!

Katie memberitahu tip pertama, gunakan seketul daging batang pinang. Sediakan bahan dan perapkan pada ayam atau daging. Cucuk sedikit dada ayam atau daging dengan garfu. Perap semalaman di dalam peti sejuk. Bahan perapan akan meresap masuk ke dalam daging.

Tip kedua – Makanan bukan sahaja terletak pada rasa. Ia perlu cantik dan menawan mata. Bagi menjadikan daging panggang cantik dihidang, ikat daging tersebut dengan menggunakan tali parcel. Lumurkan sedikit dengan minyak zaiton atau mentega. Kemudian taburkan herba campuran.

Tip ketiga… Esoknya, keluarkan daging yang diperap beberapa jam sebelum dipanggang. Sementara memanggang, sediakan sayur-sayuran sampingan dan pemanis mulut sekali.

Masyallah! Tabarrakallah!

Resepi Daging Gulung Sos Lada Hitam

Bahan :
1 kg daging batang pinang
2 sudu besar minyak masak
Horseradish Cream, (jika suka)

Bahan perap:
1 sudu besar madu
1 sudu besar lada hitam (di tumbuk)
Sedikit garam

Bahan kisar:

½ cawan minyak
5 ulas bawang putih
1 pokok daun parsli
Sesudu kecil rempah Italian mix (daun oregano, rosemary dan thyme)
2 sudu besar mustard powder

Cara membuatnya:

Gaul rata daging dengan bahan perap. Ikat serta gulung daging dengan menggunakan tali parcel. Biarkan sekurang-kurangnya 4 jam di dalam peti sejuk.

Panaskan saute pan di atas dapur dengan api sederhana dengan memasukkan dua sudu besar minyak masak.

Setelah sauté pan panas, gorengkan daging gulung selama 8- 10 minit sehingga terbakar seluruh bahagian dan mengeluarkan air.(caramelized).

Asingkan dan guna air daging (caramelized) itu sebagai gravy dengan menambahkan sedikit cream atau susu segar.

Keluarkan daging gulung dan pindahkan ke dulang pembakar beralas rak wire.

Panaskan ketuhar dengan suhu kepanasan ketuhar 350 degrees F.

Sementara itu masukkan bawang putih, rempah Italian mix ( parsley, thyme, oregano, rosemary), mustard powder, ½ cawan minyak masak dan garam secukup rasa ke dalam food processor. Blend sehingga bahan menjadi paste.

Sapu rata bahan paste pada daging gulung. Bakar di dalam ketuhar selama 45 minit atau sehingga masak.

Biarkan daging gulung 10 minit sebelum di hiris dan dihidangkan bersama Horseradish Cream dan sayur-sayuran kukus (lobak merah, brokoli, couliflower, kacang peas)

Horseradish Cream

½ cawan sour cream
2 sudu besar prepared horseradish atau lobak manis cincang
1 sudu besar jus lemon
Garam

Cara membuatnya:

Campurkan semua bahan di dalam bekas kecil. Tutup dan masukkan ke dalam peti sejuk sehingga sedia digunakan untuk hidangan.

Nota: Rebus atau kukus sayur-sayuran seperti lobak merah, cauliflower, brokoli dan kentang sebagai makanan seimbang. Masukan ke dalam pinggan individu bersama hirisan daging gulung dengan dicurahkan sedikit gravy di atasnya.

Ia menjadi lebih bergaya jika dimakan dengan penuh rasa kesyukuran.

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Masakan, Uncategorized. Bookmark the permalink.

28 Responses to Daging panggang

  1. Chik Att says:

    Saya mengenali Mak Wa dari Buku travelog~ Impian abadi, Puan Roza … yang baru saya habis kan malam tadi

  2. AlFaqir says:

    Lazizzzz :)

  3. salina says:

    Subhanaallah..sgt indah hidangan nie..

  4. abidamin says:

    Subhanallah…….Alhamdulillah. tengok gambar aje bagai dah terasa kelazatan dan kesedapan hidangan ini. Allahuakbar.

  5. emma says:

    Salam kak Roza,
    Masyallah….terima kasih di atas perkongsian resepi. Baru sebentar tadi mengunjugi blog Prof, dlm hati berkata-kata, pasti ada resepi roasted beef ni di dalam blok kak Roza. Syukur alhamdulillah, sejak akhir-akhir ni banyak sangat kak Roza berkongsi resepi. Mohon saya panjangkan di fb ya untuk rakan-rakan yang lain. Suatu waktu dulu ada saya bertanyakan Horseradish Cream pada kak Roza. Mudah-mudahan dan Insyallah resepi ini dapat saya realisasikan semasa birthday anak sulong saya. Terfikir-fikir juga saya…apa hidangan untuk birthday anak nanti.
    Terima kasih sekali lagi kak Roza.

  6. najwa says:

    wowwwww!!! pengsan lagi!!!
    terima kasih untie… !!! :)

  7. Rosmaini says:

    Salam Kak Roza,

    Tahniah kak Roza. Difahamkan ini gambar terakhir untuk buku travelog masakan. Maknanya buku tersebut hampir siap. Semoga ia banyak memberi pengajaran kepada kami semua disebalik masakan.

  8. hzm says:

    Salam Sejahtera Pn Roza,

    Air liur meleleh dah ni dan jika makan guna tangan boleh hingga tergigit jari…alahai!!

  9. Noormuhaini says:

    Salam Roza,
    Sesungguhnya setiap sesuatu itu lebih indah jika ada ilmu, dan bila berkesempatan, belajarlah. Bila lihat resepi Roza teringat saya Allahyarham anak lelaki kedua yg sangat pandai membuat daging bakar lada hitam. Saya ‘take for granted’ yg dia akan selalu sediakan resepi itu setiap kali raya korban. Silap … dia beriya2 nak ajar saya, tapi saya kata cukuplah Mama rasa yg Angah masak. Sedap air tangan Angah. Dia meninggal di usia 25 tahun, 2 tahun lalu dan Raya korban yg lepas, saya merindui masakannya … Astagfirullahalazim. Terima kasih atas banyak pengajaran yg Roza sampaikan.

  10. Yana-Bangi says:

    Salam Pn Roza,

    Tadi saya pun ada komen dlm blog Pr resepi ini…nampak mabeles…..hehehehe. Mudah2an ilmu resepi ini mendpt manfaat utk pembaca…insyallah.

  11. misa says:

    Sedapnya nampak Kak… Macam mana nak gulung daging batang pinang? Ia ketulan besar yang dah bulat kan? Dari gambar dalam entri ni slices tu tak nampak macam digulung sebab saya bayangkan kalau gulung macam swissrolls kan? Boleh terangkan? Alahai saya yang blur! :)

  12. rozaroslan says:

    Salam sejahtera Misa,

    Daging batang pinang akan menjadi lebih cantik serta kental jika diikat kemas untuk kelihatan seperti daging panggang yang disediakan di Hotel-hotel.

    Masyalllah tabarakallah!

  13. kak nor asiah says:

    aslkm pn roza semoga sentiasa dlm naungan rahmat Allah

    terima kasih mberi resepi roasted beef, kak akan cuba masak, horse radish tu menggunakan lobak manis. adakah lobak manis sama dgn lobak putih?(radish)?

  14. Shimah says:

    Assalamualaikum Puan,
    Kebetulan saya lawati blog Puan melalui pengkongsian fb puan dgn fb saya ….. , terima kasih …..

  15. Ain says:

    Alhamdulillah….. Syukran kak Roza… Sedap dipandang…lazat dirasa…… Masyaallah ……..

  16. ummufirnas says:

    Subhaanallah! tak sabar rasanya nak menikmati ‘kelazatan’ buku kak roza tu… Moga mudah urusan ‘kelahirannya’… Baarokallaahufeek! <3

  17. nurul says:

    Assalamualaikum kak Roza. Saute pan tu non-stick pan ke? dan macam mana rupa tali parcel tu?

  18. Cahaya hidup says:

    insyaallah boleh cuba nanti :)
    feberet anak2 tu

  19. lina says:

    salam puan roza yg di kasahi ALLAH. Subanaallah anti telah share recipe yg lina tunggukan…Semoga ALLAH memberi lina ruang dan masa utk mencuba memasak nya sendiri utk ahli2 keluarga terdekat…Terasa sgt besar nikmat yg ALLAH kurniakan…Semoga keluarga puan dan sekeluarga senantiasa di bawah lindungan ALLAH s.w.t.

  20. Kak Long says:

    Assalamualaikum Pn Roza,
    Insyaallah akan cuba buat, tapi masih blur pasal ikat daging batang pinang tu.Adakah kita just ikat daging yg seketul tu?

  21. rozaroslan says:

    Salam sejahtera,

    Buat Misa, Nurul dan Kak Long.
    MasyaAllah, terima kasih kerana pertanyaan. Betul kata Misa, jika daging batang pinang dilapah dan digulung semula, ia menjadi seperti swissroll. Untuk gambar diatas, saya hanya mengikat dengan membelitnya dengan tali yang selalu digunakan untuk hantaran parcel [tali kain].

    Ya, Saute pan sama dengan kuali leper atau non-stik pan.

  22. ahmad haris azrai says:

    rindunya masakan mama… ada auntie2 kat area penang nak try masak untuk azrai tak? hahaha :)

  23. ila says:

    saya akan sentiasa sabar menunggu kemunculan buku pn roza…bestnye!!!
    thanks a lot kerana sudi share dgn kami..

  24. Ain says:

    Kesiannye Azrai…. Pasti sedih dan menitis air mata Kak Roza membaca komen Azrai ni….. Sabar ye Azrai… Insyaallah akan ada saat nanti Azrai kembali menikmati masakan ibu Azrai….

  25. zarif says:

    Assalamualaikumwbt,

    terima kasih puan roza kerana brkongsi tips dan resepi..moga Allah sentiasa merahmati puan dan keluarga..aminnn..salam perkenalan dari jubail, saudi arabia.

  26. Zainah bt Tasis says:

    Salah sejahteria puan.

    Puan, daging tu di ikat masa bila ye. Adakah semasa kita membakarnya. Sebab saya pernah membakar daging, bila dibakar ia akan mengembang dan hilang bentuk asalnya.

  27. Zainah bt Tasis says:

    **typing error

    Salam sejahtera puan.

    Puan, daging tu di ikat masa bila ye. Adakah semasa kita membakarnya. Sebab saya pernah membakar daging, bila dibakar ia akan mengembang dan hilang bentuk asalnya

  28. rozaroslan says:

    Salam sejahtera,

    Masa mula ia hendak dibakar….. selamat mencuba.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>