Apa kata mereka ll

Saripah binti Ahmad
(Surirumah, Subang Jaya)

Jika terserempak dengan buku bertajuk Bukan Sekadar Resepi, tentu ramai yang teruja! Lazimnya buku resepi tidak dibaca. Ia lebih merupakan buku rujukan di dapur.

Bukan Sekadar Resepi adalah inovasi penulisan dalam hidangan resepi. Ia adalah rangkuman kehalusan pendidikan, budaya dan hidangan berkhasiat yang menyelerakan. Pengkisahan betapa kasih seorang ibu, yang rata-rata lokasinya di dapur mengimbau kenangan lalu. Banyak kisah serupa dilalui. Dan sentuhan halus itu membuatkan saya menjadi sebak!

Subhanallah! Dari perspektif yang lain, ia sebenarnya merupakan kaedah dakwah santai yang mudah tetapi berbekas. Kesannya mendalam sehingga mencabar hati dan perasaan. 

Air tangan masakan ibu terus mengalirkan kasih dan sayang keluarga. Tidak ternilai nikmatnya. Itulah nikmat Allah yang perlu terus dicari dan disyukuri. Nikmat tersebutlah yang berjaya digabungjalin dan diserasikan bersama setiap menu.

Tahniah kepada Puan Roza Roslan yang telah berjaya menjadikan elemen itu sebagai menu utama di dalam Bukan Sekadar Resepi. Modal budaya itu diharapkan akan dapat mengetuk kebanyakan hati-hati ibu, khususnya yang berkerjaya. Pembinaan akhlak sesebuah keluarga bermula di dapur!

Justeru itu, tidak keterlaluan jika saya sarankan buku Bukan Sekadar Resepi dijadikan bahan bacaan keluarga. Kehadirannya bukan sekadar pembuka selera. Ia salah satu kaedah mendidik jiwa. Semoga segala bentuk ilmu yang dikongsikan menjadi ilmu yang bermanfaat, insyaAllah.

Dan terima kasih di atas nikmat dan peluang yang diberikan kepada saya.

Junita Musliha Ibrahim
(Pewaris Jemput-Jemput Ikan dan Nasi Dagang Wan Fatimah)

Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membaca manuskrip buku Bukan Sekadar Resepi. Ia satu penghormatan yang benar-benar terasa di hati. Malah peluang mengenali penulis secara peribadi memberi kesempatan yang cukup bermakna dan berharga ketika membaca dan mengulas buku ini.

Resepi-resepi yang ditulis membuatkan saya sendiri turut terkenang nostalgia bersama orang yang disayangi – ibu sendiri – yang telah membesarkan kami sekeluarga dengan penuh kasih-sayang terutamanya melalui masakan yang sangat luar biasa.

Meskipun beliau telah tiada, namun aroma keenakan dan keharuman masakannya membuatkan saya merinduinya sehingga kini. Tentulah resepi Jemput-Jemput Ikan dan Nasi Dagang begitu menggamit memori apabila membaca dan menghayatinya.

Gaya penulisan yang bersahaja membawa kita meneroka dan menyelongkar kehidupan melalui resepi secara lebih hampir dan ia tidak berlalu begitu sahaja. Ia menjadi ilmu yang bermanfaat. Malah – jika diperhalusi – setiap resepi yang dikongsi ada rahsia dan cerita tersendiri. Malah ia menjadi lebih bermakna kerana ia dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT.

Kehebatan buku ini saya temui apabila penulis dengan tulusnya menghadiahkan penghormatan dan penghargaan pada mereka yang telah mencurahkan ilmu resepi tersebut.

Alangkah bahagianya kesemua insan tersebut lantaran ianya dibukukan dan mampu pula memberi manfaat kepada ramai individu lain di luar sana. Ia tidak lagi menjadi koleksi peribadi.

Nilainya tidak akan berkesudahan.

Saya tahu yang Bukan Sekadar Resepi bukan mengutamakan resepi atau masakan yang terhidang di meja makan. Namun ia turut memberi ilham kepada mereka yang kesuntukkan idea untuk menyediakan makanan istimewa buat mereka yang tersayang.

Benar, ia bukan sekadar resepi. Selamat membaca dan mencuba!

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>