Halaqah

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga Allah mengurniakan kesihatan yang baik agar kita dapat khusyuk beribadat semata-mata keranaNYa.

Ratna,
1 Safar adalah tarikh yang ditetapkan oleh pihak maktab di Haram untuk halaqah al-quran. MasyaAllah Tabarakallah! Ramai rupanya yang mendaftar. Namun, ramai juga yang merayu kerana terlepas pandang tarikh tutup hari pendaftaran.

Senarai nama dipaparkan di papan notis maktab, sebelah pintu 30. Lama juga kak Ngah mengambil masa untuk mencari nama. Maklumlah…buta bahasa arab! Akhirnya di atas salah satu senarai terdapat nama :روضة روسلن

Terdapat seramai 10-15 nama bagi satu kumpulan. Guru kumpulan kami bernama Mariam. MasyaAllah! Nama wanita mulia yang terdapat di dalam al-quran.

Hari itu kami membuat satu bulatan kecil di sekitar pintu 28 dan setiap seorang diminta memperdengarkan surah al-Fatihah. Dibetulkannya sebutan dan tajwid. Kemudian setiap seorang diminta membaca dari surah an-Nas, al-Falaq dan al-Ikhlas secara “Ghaib” [tanpa melihat]. Dibetulkannya juga jika salah sebutan dan tajwid.

Kebanyakan mereka dalam lingkunan 30-50 tahun. Nampak wajah kesungguhan mahu belajar. Ada anak kecil di bawa bersama, malah ada bayi yang sedang menyusu di pangkuan ibunya.

Selama ini Kak Ngah fikir semua orang-orang arab mudah menyebut sebutan al-quran dengan tartil yang betul malah tidak sukar jika mahu menghafal. Rupa-rupanya tidak. Mereka juga ada loghat-loghat daerah yang payah dibetulkan. Loghat yang sudah sebati dalam diri. Namun, mereka cuba sedaya upaya menyebutnya.

Kak Ngah suka apabila guru dengan lembut berkata,” Bacalah surah al-Falaq ya Raudhah.” Kemudian dia berkata pula,”Alhamdulillah, teruskan surah al-Ikhlas pula ya Raudhah.”

MasyaAllah! Kuliah kami selesai apabila azan Isyak berkumandang. Tidak sedar masa beredar.

Ratna,
2 Safar, kami di minta membaca surah dan rakan-rakan menyemak sesama sendiri. Kami di minta membaca secara “ghaib” sebanyak 3 surah lagi – al-Masad, al-Nasr dan al-kafirun. MasyaAllah! Rupa-rupanya walaupun surah itu sudah banyak kali di baca, masih belum juga betul bacaannya.

Namun, Kak Ngah mempelajari sesuatu… semakin banyak kita memandang sesuatu surah itu secara berulang-ulang, bagaikan barisan ayat-ayat al-quran itu kelihatan di hadapan mata walaupun kita menutup mata. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!

Ratna,
Marilah kita mengajak adik beradik, sanak saudara serta rakan-rakan membuka semula serta membaca kalam Allah. Sesungguhnya ada panduan untuk kita yang mahu disampaikanNya.

Salam sayang dari kami sekeluarga.
- Rumah kecil di Jabal Ohud –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>