Lughatul Arabia

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga dilimpahi kasih sayang serta rahmat Allah sentiasa,

Ratna,
Hampir 2 minggu mengikuti halaqah al-quran merupakan nikmat Allah yang istimewa. Kak Ngah juga ditemukan Allah dengan rakan-rakan baru yang tidak lokek membantu. Samada mereka penduduk Madinah, Labenon mahupun Mesir.

Bayangkan, setiap kali guru quran menerangkan sesuatu di dalam bahasa arab, kak Ngah harus mentafsirkan apa yang dimaksudkan. Jika tidak, kak Ngah terpaksa menunggu sehingga selesai halaqah, meminta rakan dari Labenon ataupun dari Mesir menterjemahkan kedalam bahasa Inggeris.

“Oo, huruf kolkolah contohnya seperti ق ب ط perlu dibaca dengan tebal serta jelas.”

MasyaAllah! Bukannya tidak pernah belajar hukum tajwid..tetapi bayangkanlah ia ilmu yang ditinggalkan berpuluh tahun dahulu. Ketika di dalam darjah 4 atau 5.

Ratna,
Dua hari lepas, apabila guru bertanya surah apa yang mahu diperdengarkan secara “ghaib”, lalu kak Ngah mencuba bertutur di dalam bahasa arab.

“Minal suratul Fiil…illa suratul Asr”

Tersenyum lebar guru dan rakan-rakan mendengarnya. Semalam giliran setiap seorang memperdengarkan surah al-Takaathur dan al-Qaari’ah. Barulah kak Ngah sedar betapa sukarnya menyebut sebutan.

” Ya Raudhah..sebutannya begini القارعة”

“القارعة”

“ع ع”

Subhanallah! Berderam-deram kak Ngah mencuba menyebut huruf ع . Sebutan huruf yang seharusnya keluar dari kerongkong. Namun, tidak menjadi-jadi. Akhirnya kata guru,”Esok sila ulang sekali lagi surah tersebut ya Raudhah”

“Aiwa..” Kak Ngah menjawab lemah.

Tiba-tiba rakan yang duduk disebelah kak Ngah mengangkat tangan, berkata sesuatu kepada guru. Lalu, rakan itu bergerak ke belakang ke arah tiang, keluar dari kumpulan. Guru berkata sesuatu kepada kak Ngah, barangkali katanya pergilah bersama-sama rakan itu. Kak Ngah bangun, membawa bersama quran dan rehal.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar! Rakan itu yang tidak tahu langsung berbahasa Inggeris rupanya menawarkan diri untuk mengajar sebutan huruf ا ب ت ث. Digerakkan bibir dan lidah. Ditunjukkannya hujung lidah diletakkan ke bahagian gigi atas, lidah di antara gigi serta berbagai contoh lagi. Di minta pula meletakkan tangan agar kita merasa getaran di antara kerongkong.

Ratna.. nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?

Selama ini kak Ngah fikir, bacaan quran sudah cukup lancar. Tidak rupanya… Mengenangkannya sudah cukup mengalirkan air mata.

Sementara guru mengajar, rakan-rakan dari Mesir menghampiri lalu memperkenalkan diri. Rupanya mereka pensyarah dari Universiti Taibah. Tidak pula kak Ngah bertanya dari fakulti mana. Alhamdulillah! Allah telah memberi permulaan jalan yang baik untuk Kak Ngah memulakan pengalaman pengajaran di universiti, naik semester hadapan nanti.

Ratna,
Sebelum pulang, guru menghampiri kak Ngah sambil menghulur salam. Rakan-rakan yang lain mengenepikan diri. Guru berkata sesuatu, segera kak Ngah memanggil rakan dari Lebonan meminta menterjemahkan.

“Oh, guru kata abaya awak cantik tetapi cubalah pakai abaya orang saudi. Gaya saudi”

MasyaAllah! Selama ini kak Ngah fikir pakaian abaya yang dipakai sudah “cukup saudi”. Kata rakan Lebonan,” Bagi orang-orang saudi… abaya yang bercorak di lengan seperti yang kita pakai ini adalah abaya gaya non-saudi. Maknanya, guru sudah terima awak sebagai saudi..”

Kak Ngah tersenyum dan berpaling kepada guru,”InsyaAllah..InsyaAllah.. nanti saya beli.”

Ratna,
Setiap hari yang kita lalui, ada rencah baru di dalam resipi. Bukankah hidup yang Allah ciptakan itu indah?

Salam sejahtera.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>