Semakin mudah..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga sentiasa istiqomah melakukan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

Ratna,
Sehari semalam Kak Ngah cuba menghafal سُوۡرَةُ القَارعَة dan سُوۡرَةُ التّکاثُر
Sesekali apabila bosan, kak Ngah mengintai FB. Tiba-tiba seorang kenalan menghantar pesanan ringkas.

“Tengah menghafal surah al-quran ya? Sudah mencuba quran on line?”

“Ya. Quran explorer”

“Cuba guna link ini http://www.quranexplorer.com/Quran/Default.aspx, mudah-mudahan ia boleh membantu”

MasyaAllah! Alhamdulillah, ia semakin mudah.

Barangkali surirumahtangga juga boleh menghafal surah-surah ringkas sambil mengoreng ikan atau ketika menumbuk sambal belacan. Daripada mendengar celoteh DJ hiburan yang melalaikan, lebih baik kita cuba menghafal ayat-ayat suci al-quran.

Bukankah itu nanti yang menjadi bekalan di dalam kubur? Ketika suami, anak-anak dan ibu bapa tidak dapat membantu kita. Sungguh, kita sendirian di dalam kuburan.

Ratna,
Tidak pernah kak Ngah menyangka ada “guru quran” yang boleh mengajar kita bila-bila masa.”Guru quran” atau link itu boleh mengajar kita barisan ayat secara berulang-ulang melalui “Options” – malah kita boleh memilih guru mana bacaannya yang mudah diikuti oleh kita.

Semalam, sambil mengoreng ikan, kak Ngah menghafal سُوۡرَةُ التّکاثُر
serta membaca terjemahannya sehingga mengalirkan air mata.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), (1) Sehingga kamu masuk kubur. (2) Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! (3) Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (4) Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (5) (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang. (6) Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! (7) Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (8)

Ratna
Masih tidak bergetarkah hati dan tubuh badan bila mengenangkan amaran tuhan, yang menjadikan diri dan alam inia? Terutamanya apabila diingatkan dengan ayat ini :

“Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat)”

Sungguh, kematian itu pasti terjadi. Oleh itu, dalam usia yang masih tersisa..marilah kita mengajak adik-beradik, sanak saudara dan rakan-rakan mengaji quran serta membaca terjemahan. Jangan jadikan sibuk itu sebagai alasan.

Jika kita bekerja di pejabat, bukalah sebentar quran explorer sewaktu rehat..sekurang-kurangnya pada hari Jumaat. Daripada kita berpeleseran “window shopping” yang bukan-bukan, lebih baik membaca al-quran.

Kita bukan semakin muda. Entah esok, lusa atau entahkan tiba-tiba kita tersedak sesak nafas, lalu dipanggil kembali menemui illahi. Jangan jadikan usia pencen sebagai alasan untuk memulakan saat mendekatkan diri kepada tuhan. Bimbang nanti, kita tidak sempat.

Ratna,
Marilah kita berpesan-pesan agar mengingat tuhan pencipta alam, yang menghidup dan mematikan.

Sekian.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>