Jika ada kemahuan

Menemui adikku Ratna,sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga kita menjadi hamba Allah yang tahu bersyukur dengan segala limpahan nikmat kurniaanNya.

Ratna,
Sudah bertahun-tahun kak Ngah mendengar pepatah melayu menyatakan,” Jika ada kemahuan, di situ ada jalan.”

MasyaAllah! Benarlah kata-kata itu, malah jika di beri nafas berunsur keislaman ia membawa maksud,” Jika kita berniat bersungguh-sungguh mahu melakukan sesuatu kebaikan, sesungguhnya Allah memberikan kekuatan serta jalan.”

Bukankah setiap lima waktu di dalam sembahyang kita berulang-ulang mengucapkan,” Ya Allah, hanya kau yang ku sembah, tempat daku memohon pertolongan. Tunjukkan daku jalan yang lurus.”

Ratna,
Kelmarin ketika semua guru quran di minta oleh pihak pengurusan menghadiri taklimat, kami mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan rakan-rakan di dalam kumpulan. Soalan kak Ngah kepada mereka,”

“Apa yang menyebabkan kamu mahu belajar mengaji quran di masjid Nabawi ini?”

Jawapan Wala [Lebnon]
“Suami saya penuntut Universiti Islam Madinah di peringkat phD. Walaupun berasal dari Lebnon, tetapi kami menetap di Australia. Sebagai penduduk minoriti, banyak perkara yang tidak dapat dilakukan misalnya mengadakan kelas mengaji al-quran. Kami lakukan secara peribadi, bergilir-gilir dan sembunyi-sembunyi di rumah.

Lagipun, Alhamdulillah, kami sudahpun berada di Madinah, tempat idaman ribuan orang Islam. Mengapa tidak kita mengambil peluang yang ada? Saya mahu pulang ke Australia dengan tidak sia-sia”

Wala, seorang isteri muda yang sedang mengandungkan anak sulung. Dalam keadaan mual, pening dan muntah-muntah – beliau tetap gagahkan diri menghadiri kelas mengaji. Beliau fasih berbahasa Inggeris. MasyaAllah! Semuga Allah merahmatinya.

Jawapan Ima [Madinah]
“Anak lelaki tunggal saya mengaji di sini. Jadi saya mengambil peluang turut sama mengaji.”

Ima, seorang staf pentadbiran di Universiti Islam Madinah. Beliau lah yang mengangkat tangan, meminta izin guru untuk mengajar Kak Ngah sebutan huruf ا ب ت ث. Antara waktu Asar dan Maghrib, beliau membuat temujanji untuk mengajar kak Ngah – mengeja, mendengar bacaan hafazan dan membetulkannya. MasyaAllah! Semuga Allah merahmatinya.

Jawapan Hana [Madinah]
“Anak sulung saya, Sarah [7 tahun] mengaji di sini. Lagipun saya telah mula mengaji di sini sejak mengandungkannya lagi. Saya tidak mahu berhenti mengaji selagi ada hayat. Cubalah…sekurang-kurangnya menghafal sehari sebaris ayat.”

Hana, antara pelajar yang terkehadapan. Barangkali beliau seorang hafizah kerana apabila sampai gilirannya, guru memulakan sebaris ayat, lalu beliau menyambung ayat-ayat seterusnya. Barangkali beliau hanya mahu memperbaiki bacaan. Tidak banyak kesalahan tajwid yang dilakukan.

Jika guru di panggil ke pejabat, beliaulah yang mengetuai dan menyemak bacaan kami di dalam kumpulan. Bersama beliau adalah anak keduanya, Mawadah [4 tahun] dan Mariam [5 bulan] yang masih menyusu dipangkuan. Wajah Hana ceria dan sentiasa melemparkan senyuman. Tiada tanda-tanda anak-anak kecil yang dibawa bersama menjadi suatu bebanan baginya.

Jawapan Dr Ajwa dan Dr Munira [Mesir]
“Kami mengajar di Taibah University. Sebelah petang dan malam, banyak masa terluang. Jika di Mesir, kami sibuk sekali dengan tugasan pejabat kerana memegang jawatan.”

“Di sini, kami mempunyai masa untuk diri sendiri dan mahu menghabiskannya di masjid Nabawi. Agar nanti, bila pulang – tidak menyesal kerana tidak mengambil peluang yang Allah berikan. Agar nanti, kami ada jawapannya apabila ditanya, apakah yang kamu perolehi di sana?”

Benar, kami nampak kesungguhan ke dua-dua pensyarah tersebut. Mereka berkejar-kejar datang, walaupun pada hari itu dikatakan mereka baru selesai mengawal di dewan peperikasaan. Mereka juga seperti kita, ada huruf-huruf tertentu yang payah disebut oleh lidah mereka.

MasyaAllah! Semuga Allah merahmati mereka.

Ratna,
Marilah kita saling ingat-mengingatkan adik beradik, sanak saudara dan rakan-rakan agar menilai diri. Sesekali cubalah duduk bersendirian sambil bermuhassabah diri. Renunglah masa-masa lampau yang ditinggalkan. Pandang pula apa yang ada pada hari ini. Kenangkanlah apakah esok masih ada usia yang tersisa?

Marilah kita tanya diri sendiri,” Sampai bilakah daku mahu memulakan perkara yang baik itu? Bilakah agaknya niat dan cita-cita yang telah lama terpendam itu akan terlaksana?”

Berapa puluh buah buku yang dibaca atau menghadiri ceramah motivasi pun tiada gunanya, jika kita tidak bersungguh-sungguh mahu memulakannya. Kita sering mengatakan mahu, tetapi mencipta berbagai alasan untuk tidak melakukan.

Sungguh, jika tiada kemahuan – memang tiada jalan!

Salam sayang dari kami sekeluarga di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>