Bisikan buat Dekan

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga hari ini lebih baik dari semalam serta diredhai Allah sentiasa.

Ratna,
Hampir 2 minggu kak Ngah menerima tawaran untuk mengajar dari Universiti Taibah di Madinah al-Munawarrah. Syukur Alhamdulillah! Tiada kata-kata yang terucap apabila abang Ngah menyampaikan khabar berita pada hari itu. Kak Ngah hanya segera sujud tunduk rebah mengucap syukur kepada Allah, di lantai dapur.

“Terima kasih Allah. Sungguh benar, Allah ar-Rahman itu maha mendengar lagi maha pengasih.”

Ratna,
Memang benar kak Ngah sebenarnya sudah bersara malah bernekad mahu menjadi penulis sepenuh masa. Bersantai sambil melakukan kerja-kerja rumah – memasak – melayan permintaan anak-anak yang sedang berselera makan. Menyambut kepulangan mereka dari Madrasah lalu menghadap mereka menikmati makanan tengahari dengan penuh berselera.

Itu sahaja merupakan nikmat Allah yang tidak terhingga nilainya.

Namun, jauh di sudut hati ini Ratna.. ada sesuatu yang tidak dapat diluahkan oleh kata-kata. Mengenangkannya sahaja sudah cukup mengalirkan air mata. Tambahan pula apabila Kak Ngah mula menghafal سُوۡرَةُ العَادیَات serta memahami antara maknanya yang bermaksud:

Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. (6) Dan sesungguhnya dia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. (7) Dan sesungguhnya dia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (8) (Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (9) Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (10)

Ratna,
Kak Ngah masih teringat bagaimana abang Ngah menerima panggilan Dekan seusai kami sarapan. Jarang sekali Dekan menelefon mahu berjumpa di pagi hari. Kami mencipta berbagai teori – tentang kertas kerja penyelidikan, tentang journal akademik dan pembentangan kertas kerja di Malaysia. Semuanya menjadi teka-teki.

Tengahari itu abang Ngah pulang tanpa memicit loceng seperti kebiasaannya. Pintu di buka dengan kunci pendua lantas terus ke dapur. Beliau tersenyum lebar.

“Yang, awak fikir apa yang kami bincangkan tadi bersama Dekan?”

“Dia mahu membentangkan sendiri kertas kerja bersama awak di Malaysia?”

“Salah. Dia tawarkan awak mengajar di Universiti Taibah, buka semester nanti. Subjek awak – Management!”

“ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

“Yang..awak tahu apa Dekan kata? Dia tahu wanita Saudi tidak sama dengan wanita Malaysia. Wanita Saudi tidak perlu bekerja. Wanita Malaysia berdikari dan mahukan pekerjaan kerana status..Dan…dan..dan… ”

Ratna,
Kak Ngah diam. Kelu dan terkedu dengan kenyataan tersebut. Selepas Isyak kak Ngah menziarahi maqam Rasulullah S.A.W. [Selawat dan salam kepada Rasulullah serta keluarganya] Mengucap salam serta menyampaikan kiriman salam dari sanak saudara serta rakan-rakan semua.

Hari itu keadaan di situ lengang sahaja. Kak Ngah tinggalkan Sofea di pelantar berhampiram maqam. Ketika di Raudhah, dalam sujud sembahyang sunat, kak Ngah berbisik perlahan kepada Tuhan, pencipta alam.

“Ya Allah yang Tuhanku, Sesungguhnya Kau mengetahui apa yang terpendam di dalam lubuk hatiku. Kau maha mengetahui apa yang tidak ku ketahui.

Ya Allah, jika dapat daku berbicara bersama Dekan, akan daku katakan kepadanya –

Wahai tuan Dekan yang mulia,
Terima kasih kerana sudi memberikan peluang itu. Tetapi tahukah Dekan, bukan status yang ku mahu. Status itu sudah tidak penting lagi bagiku. Daku sudah semakin tua dan barangkali status di dunia tidak lagi berguna. Daku mahu kejar status yang tinggi di sisi Tuhanku di akhirat nanti. Daku mahukan sebuah rumah di dalam syurga di sisNya.

Daku mahukan rumahku berjiran dengan Mariam, dengan Siti Asiah, dengan Siti Hajar, dengan Siti Khadijah, dengan Ai’syah, dengan Fatimah, dengan Rabiatul Adawiyah… serta semua wanita-wanita mulia.

Daku mahu berjiran dengan junjungan besar Rasulullah S.A.W di dunia dan di akhirat.

“Namun… terima kasih Allah kerana memberikan rezekiku melalui pintu hati Dekan. Wahai Tuhan, Sesungguhnya memang benar kau mengetahui apa sebenarnya yang ada di dalam hati.

Allah ya Allah. Sungguh, jauh disudut hati… daku bimbang jika suatu hari nanti ibuku terlantar di hospital tetapi daku tidak mampu menyumbang membiayai kos perubatan yang kian melampau.

Lagipun, Ya Allah.. tahukah tuan Dekan, daku ada komitmen dengan pembayaran bulanan rumah ar-Raudhah yang baru ku beli di kampung halaman? Rumah itu daku wakafkan penggunaannya bagi mereka yang mahu mengadakan kelas-kelas agama. Daku bimbang, jika nanti Allah memanggilku pulang… sedangkan daku dalam keadaan berhutang.

Wahai Tuhanku..Sesungguhnya daku miskin di dunia ini. Bantulah daku dalam urusanku.”

Ratna,
Sungguh, Allah maha mendengar!

Salam sayang dari kami sekeluarga di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Kerenah anak-anak, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>