Lughatul Englizia

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga di dalam rahmat Allah sentiasa.

Ratna,
Minggu lepas, selepas kelas halaqah, mualimah [Mariam] berkata sesuatu kepada kak Ngah. Dia berbahasa arab.

“Ya Raudhah, ana maa arif lughatul english…bla..qur’an bla..tajwid..bla..bla..mualimah…english?

Dengan menangkap beberapa patah perkataan yang amat terbatas, barangkali maksudnya begini :

“Ya Raudhah, saya tidak fasih berbahasa Inggeris. Untuk membaca qur’an, kita perlu mempelajari tajwid. Mahukah awak pergi kepada mualimah yang boleh berbahasa Inggeris?”

Benar. Kebesaran Allah, Dia memberi ilham kepada kita. Rakan dari Lebnon, segera mencatat di atas kertas lalu dihulurkannya kepada kak Ngah.

“Raudhah, the mualim said that she cannot speaks english at all. But to learn al-qur’an, we must learn tajwid. She feels bad that she cannot explain to you. So, she would like to recomend you a mualimah that can speaks english. Are you agree?”

MasyaAllah Tabarakallah!

Ratna,
Kak Ngah sayangkan mualimah Mariam. Kak Ngah sayangkan rakan-rakan sekumpulan yang sudah mulai mesra dan serasi dengan mereka. Namun, benar..selama ini kak Ngah tiada berilmu tentang tajwid. Membaca qur’an hanya berbekalkan sedikit ilmu yang ada bertahun-tahun dahulu. Huruf pun tidak berapa betul sebutannya.

Semalam, kak Ngah kembali ke kelas halaqah setelah seminggu bercuti. Kami bersalaman, bertanya khabar dan berpelukan. Rakan-rakan bercerita, Sofea sentiasa berada di sekitar mereka sepanjangan ketiadaan kak Ngah. Dia yang membantu mengambil dan menyusun rehal untuk rakan-rakan kumpulan kak Ngah. Malah, ada masanya kata mereka, Sofea menghulurkan beberapa gelas air zam-zam kepada mereka termasuk guru qur’an, Mariam.

Semalam, kami menunggu agak lama. Setengah jam kemudian, baru guru Mariam muncul. Dia memberitahu tentang keuzurannya dan meminta kami semua beralih tempat, berhampiran pintu 28. Di situ terdapat pejabat di sisi masjid. Dia meminta kami datang bergilir-gilir ke pejabat bagi memperdengarkan surah-surah yang sudah dihafal secara ghaib.

Kami mengumpulkan semula rehal-rehal yang telah diatur dan bergerak berkumpulan dari kawasan sekitar pintu 24 ke pintu 28. Tiba-tiba, guru Mariam berkata kepada Kak Ngah;

“Ya Raudhah, Al-hidarah..bla..bla..yamin..bla..mudirah…bla..bla hena. Ma’alum?”

“Aiwa..aiwa..” kak Ngah mengangguk perlahan sambil di dalam kepala berputar-putar, apalah yang diperkatakan oleh guru Mariam. Kak Ngah mencari-cari rakan-rakan – Lebnon dan Mesir yang boleh menterjemahkan apa yang mahu disampaikan oleh guru Mariam. Mereka telah jauh bergerak ke hadapan.

Guru Mariam, mendekati kak Ngah dan diulanginya perkataan itu sekali lagi. Kak Ngah masih lagi terpinga-pinga. Diambilnya beberapa rehal ditangan kak Ngah. Diulanginya sekali lagi. Nampak wajah kecewanya penuh simpati kerana kak Ngah gagal memahami. Dia berkata lagi sambil menunjuk-nunjuk ke arah pejabat sekitar pintu 30 dan kemudian menunjuk ke arah sekitar pintu 28.

“Ya Allah, barangkali dia mahu daku ke pejabat dahulu dan kemudian baru pergi ke situ.”

Kak Ngah berpaling ke arah kanan dan berpesan kepada Sofea agar pergi bersama kumpulan. Nampak guru Mariam, tersenyum riang. Dia berpesan;

“Ya Raudhah, bla..bla..khalas..bla..bla..babul 28. Ma’alum?”

“Ma’alum.”

Ratna,
Dengan pantas kak Ngah menuju ke arah pejabat Mudirah. Entah apa agaknya yang mahu disampaikan. Kak Ngah naik ke tingkat satu, menunggu sebentar sehingga tetamu mudirah keluar. Mengetuk pintu, memberi salam. Terdengar suara menjawab salam dan menjemput masuk. Kami bersalaman. Di dalam bilik itu terdapat seorang lagi pegawai berjubah hitam.

“Ya mudirah, ana Raudhah minal Malaysia. Mualimah Mariam…asked me to come here.”

Mudirah ketawa kecil sambil memberitahu sesuatu kepada rakan sejawatnya.

“Hiya Raudhah minal Malaysia..bla..bla musykil..bla..bla..lughatul arabia maa arif…bla..bla..mualimah lughatul english.”

Dia menekan butang interkom, lalu muncul seorang lagi pegawai ke 2. Mudirah menerangkan sesuatu agar pegawai itu menerangkannya pula kepada kak Ngah. Pegawai itu berkata;

“Ya Raudhah, mudirah sudah mendapatkan seorang guru qur’an yang boleh berbahasa Inggeris untuk awak. Mariam memberitahu perkara ini, katanya dia sangat simpati namun, tidak dapat melakukan apa-apa kerana dia tidak boleh berbahasa Inggeris. Esok selepas solat maghrib, mohon datang ke pejabat ini. Mudirah akan temukan awak dengan seorang guru yang boleh berbahasa Inggeris, namanya Siti Khadijah.

Hati kak Ngah luluh kerana sayangkan guru Mariam. Lalu, entah betul entah kan tidak, kak Ngah berkata,

“Ya mudirah, ana uhibu [sayang] Mariam..”

Mereka ketawa gelihati. Mudirah dan pegawai-pegawai itu berkata sesuatu. Pegawai ke 2 menterjemahankannya;

“Ya Raudhah, kami fikir awak juga akan suka dengan Siti Khadijah. Lagipun, dia boleh menerangkan tajwid di dalam bahasa Inggeris supaya awak boleh faham. Awak mahukan? Esok, di sini selepas solat maghrib kita berjumpa lagi.”

“Aiwa..jazakallahukhairan khatira. Assalamualaikum.”

Lalu, kak Ngah segera ke tempat kumpulan berkumpul dan menyampaikan berita itu kepada wala, rakan Lebnon. Wala pula menyampaikan kepada rakan-rakan semua. Mereka mengeluh, riuh rendah dan berkata sesuatu. Wala menterjemahkannya;

“Ya Raudhah, they said they all love you and Sofea very much. InsyaAllah, if there’s no class we will find you.”

Kemudian, kak Ngah memberitahu guru Mariam. Cuba menyatakan kepadanya yang kak Ngah suka dengan caranya dan sedaya mungkin cuba mengatasi kekurangan diri. Namun, kami saling tidak boleh berkomunikasi. Yang mampu kami lakukan hanyalah berpandangan dan menyebut, “Allahu Akbar. Illa liqo’..”

Kak Ngah segera pergi kerana ada takungan air di kelopak mata kami.

Ratna,
Petang semalam, kami berpeluk-pelukan selepas azan Isyak berkumandang. Ini bermakna itulah hari terakhir kak Ngah bersama kumpulan mereka. Namun, kami berjanji akan berjumpa dan berkumpul semula suatu hari nanti yang diizinkan Allah. Kak Ngah memperlawa mereka datang ke rumah, rumah kecil kami di Jabal Uhod.

Begitulah..rakan datang dan mereka pergi. Hanya cinta Allah yang abadi.

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Halaqah al-qur'an, Kerenah anak-anak, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>