Terkedu

Menemui adikku Ratna,sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga semuanya di dalam kasih sayang serta rahmat Allah sentiasa.

Ratna,
Minggu lepas kak Ngah ditemukan dengan mualimah yang mengajar tajwid. Semasa mudirah membawa kak Ngah kepadanya, didapati kumpulan mereka sedang membaca secara ghaib surah yang panjang seorang demi seorang. Wajah masing-masing serius termasuk mualimahnya.

Dengan penuh debaran, kak Ngah menghampiri mualimah. Memberitahunya tentang cadangan mudirah. Beliau senyum dan mengangguk. Dia menunjukkan isyarat supaya kak Ngah duduk disebelahnya. Katanya,

“Duduk sebentar. Kita bincang selepas solat Isyak.”

Debaran kak Ngah semakin kencang. Cuba mengintai qur’an yang dipegang oleh mualimah, surah apakah yang sedang dihafal oleh kumpulan itu. Mualimah memulakan sebaris ayat kemudian, memanggil nama pelajar bagi meneruskan bacaan. Jika pelajar itu terlupa atau tersangkut bacaannya, mualimah mengetuk rehal, nama pelajar lain pula dipanggil bagi meneruskannya.

Terkedu. MasyaAllah! Surah al-Qasas – سُوۡرَةُ القَصَص

Selepas Isyak, kami berbincang. Wajahnya yang serius bertukar menjadi seorang yang peramah.

“Saya boleh mengajar awak tajwid pada setiap khamis, selepas solat Maghrib – dalam bahasa Inggeris – khas untuk awak. Ini nombor telefon saya, mana tahu jika ada apa-apa berlaku. Nama saya Khadeja Baseer.”

“Baik. Jika begitu, hari-hari biasa dari Sabtu hingga Rabu, halaqah saya bersama mualimah Mariam. Tajwid setiap Khamis bersama awak. Saya merasa sangat kecil lagi kerdil apabila bersama kumpulan awak ”

Khadeja tersenyum lebar. Manis sekali.

“Awak tidak selesa? Ya, mereka sudah berhalaqah bertahun-tahun lamanya.

“MasyaAllah..semuga suatu masa nanti saya menjadi seperti mereka.”

“InsyaAllah..InsyaAllah!”

Hari itu kak Ngah sujud syukur kepada Allah Ar-Rahman sambil berbisik kepadanya;

“Ya Allah ya tuhanku, sesungguhnya dikau tahu betapa daku menyayangi kumpulanku. Namun, masih jua memberiku ruang untuk kelas tajwidku. Allah ya Allah… malunya daku terhadap pertolonganMu. Tidak setimpal dengan usahaku dan kemampuanku.”

Ratna,
Esoknya kak Ngah kembali kepada kumpulan. Kami berpeluk-pelukan, lantas kak Ngah ceritakan keadaannya kepada mereka. Beberapa minit kemudian muncul mualimah Mariam, kak Ngah segera mendapatkannya. Kami berpelukan.

“Setiap khamis, saya belajar tajwid bersama Khadeja. Hari-hari biasa, halaqah bersama awak.”

Kak Ngah menerangkannya dengan susah payah. MasyaAllah, dia faham.

“Ana ma’alum. Marhaba..”

Hari itu mualimah Mariam menyampaikan kuliah tajwid di dalam bahasa arab. Mereka mendengar dengan tekun. Kak Ngah terpegun sambil berbisik-bisik di dalam hati;

“Ya Allah, alangkah indahnya jika aku faham berbahasa arab.”

Di akhir kuliah, Mariam berkata [setelah di terjemahkan bermaksud];

“Kelas kaedah nuraniah akan diadakan setiap Khamis selepas solat asar. Sesiapa yang mahu belajar sebutan huruf, bolehlah mengikutinya. Tempatnya.. belum pasti. Sila dapatkan maklumat di pejabat.”

Terkedu.

Ratna,
Sudah seminggu kak Ngah terkedu. Terkedu dengan jawapan serta jalan-jalan yang dimudahkan oleh Allah apabila kita mengadu kepadanya tentang kekurangan diri kita.

Sungguh, Allah itu maha mendengar. Lalu, nikmat yang mana satukah mahu didustakan?

Sekian, salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Halaqah al-qur'an, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>