Bijak

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga di dalam rahmat Allah sentiasa.

Ratna,
Semalam semasa dalam perjalanan pulang dari Haram, Amirul dan Sofea sibuk bercerita pengalaman mereka. Amirul bercerita tentang pertemuannya dengan abang-abang yang datang sejauh Jordan untuk berada di Madinah. Mereka semua pelajar universiti yang sedang menghabiskan musim cuti – datang lebih 1000 km dengan menaiki bas.

Lalu, kak ngah berpesan kepadanya;

“Jadi Amirul harus bersyukur kepada Allah kerana berada di bumi Madinah. Mereka sanggup datang sejauh itu untuk menziarahi masjid yang telah disyariatkan oleh Allah. Rugi besar jika kita yang berada di sini tetapi tidak ambil peduli dengan masjid Nabawi.”

Amirul mengangguk perlahan. Sofea pula bercerita.

“Mama…tadi kawan Sofea membaca surah Al-Bayyinah, tetapi terlupa separuh jalan. Jadi Sofea angkat tangan dan abla meminta Sofea membacanya. Sofea macam jadi cikgulah, mama. Bijak Sofea kan?”

Sofea berpuas hati. Cepat-cepat kak ngah mengingatkannya;

“Emm…awak bijak? Sofea, bukankah itu ilham dari Allah? Allah pinjamkan kepada awak. Bijak itu bukan milik kita tetapi Allah pinjamkan sementara.. Allah boleh tarik bijak itu bila-bila masa.”

Sofea mengangguk mengiakannya sambil tersenyum sipu. Amirul mengepal tangan dan diletakkannya di atas hidung. Ibu jari tangannya mengaru-garu hidungnya. Sesekali ditegakkan ibu jari itu tanpa memandang Sofea. Sofea menarik muka sambil menepis tangan abang Ciknya. Sofea teruskan kata-kata;

“Mama betullah.. biasanya kawan itu paling bijak. Dia selalu angkat tangan bila kawan-kawan lain terlupa semasa membaca surah. Tapi.. hari ini bila sampai giliran, dia terlupa pula.”

Ratna,
Sofea adalah jenis anak-anak yang harus selalu diingatkan. Sifat rasa diri lebih tahu, lebih baik serta rasa diri hebat memang ada dalam jiwanya. Bimbang jika tidak di kawal, ia menjadi tabiat yang mencipta bibit-bibit riak serta ujub dalam diri. Namun, memang lumrah sifat anak-anak yang mahu di puji.

Kak Ngah ambil hati dia.

“Sofea..bagus awak bantu ingatkan kawan tu. Tenguk.. Memang Allah jadikan dia terlupa supaya dia sedar diri yang dia tidak sentiasa bijak dan tidak sentiasa hebat. Memang Allah menjadikan manusia sentiasa menghadapi kesulitan dan kesukaran. Supaya kita ingat kepada Allah.”

Sofea dan Amirul diam.

MasyaAllah Tabarakallah. Tiba-tiba kak Ngah teringat kembali terjemahan dari سُوۡرَةُ البَلَد yang sedang dihafal. Antara firman Allah bermaksud;

Demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya; (3) Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya); (4) Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)? (5)

Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut dia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa). (6) Adakah dia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu)? (7)

(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) (8) Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? (9) Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? (10) Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; (11)

Ratna,
Sungguh benar. Kesulitan dan kesukaran itu sering membuat kita merintih, berdoa, mengadu kepada Allah serta kembali kepadaNya. Sering pula kegembiraan dan kejayaan membuatkan kita lalai dari mengingati serta bersyukur dengan kurniaanNya.

Sehingga berjumpa lagi dengan izin Allah. Salam dari Madinah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Kerenah anak-anak, Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>