Biarlah ia menyusu..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga sentiasa di dalam rahmat Allah hendaknya.

Ratna,
Semasa di Haram kak Ngah melihat ramai ibu-ibu yang membawa anak-anak serta bayi mereka yang masih menyusu. Ada juga menyusukan bayi sedangkan mereka sedang mengikuti halaqah al-qur’an.

Melihat mereka, kak Ngah terkenang kunjungan tetamu ke rumah kami dari sekitar Saudi beberapa bulan yang lepas. Kebanyakan mereka terdiri dari Ibu-ibu muda yang mengikut suami bekerja di Saudi. Mereka menyusukan bayi ketika berada di sini. Lalu, terdengar perbincangan mereka sesama sendiri.

“Ya Allah, susah betul anak menyusu badan ni. Sukar berenggang..”

“Ya..anak saya pun begitu. Sudah mahu masuk 2 tahun. Berbagai cara telah saya cuba, namun tidak berjaya.”

Si bayi menyusu dengan tenang tanpa menghiraukan perbincangan ibu-ibu mengenai mereka. Sebentar kemudian bayi mereka terlena. Perbincangan diteruskan.

“Bukannya apa.. saya bimbang jika balik Malaysia nanti. Terlalu terikat dengan kita, susah kita mahu bekerja.”

Sambil membancuh teh nak-nak, kak Ngah terfikir-fikir bagaimanakah cara terbaik untuk menasihati ibu-ibu muda itu kerana kak Ngah pernah mengalami perasaan seperti itu. Benar, kita mahu berikan yang terbaik untuk bayi namun, dalam masa yang sama ada perasaan lain yang bergelodak di dalam hati.

Tiada masalah menyusukan bayi jika tiada banyak tugasan menanti. Namun, kadangkala ia menjadi terbeban apabila bayi itu bagaikan mengongkong si ibu agar tidak pergi ke mana-mana. Bayi bagaikan menyatakan,”Ulit lah saya. Jangan buat kerja..”

Si ibu akan merasa lebih bersalah, lemas dan tertekan apabila mereka juga mempunyai anak-anak lain yang perlu disediakan makanan dan di tambah lagi dengan kerjarumah yang perlu dibereskan.

Sambil menuang teh panas ke dalam gelas, sebagai kakak, kak ngah cuba memberi pandangan sisi kepada mereka.

“Berapa tahun umur bayi ini?”

“1 tahun 6 bulan.. ”

“Biarlah ia menyusu..dalam al-quran ada menyatakan tunggu sehingga bayi berumur 2 tahun. Tidak lama, cuma 6 bulan sahaja lagi”

Dalam surah Surah Al-Baqarah, ayat 233, firman Allah SWT yang bermaksud,

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian.

Apabila keduanya ingin meleraikan susuan (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Ratna,
Sebenarnya kak Ngah terkenangkan anak-anak yang telah membesar. Rasanya baru semalam mereka masih menyusu dan masih terasa hangat memeluk mereka. Merenung anak mata bundar mereka di dalam pangkuan.

Kak Ngah suka sekali apabila melihat bayi menyusu sambil menggengam jari tangan ibunya, bagai tidak mahu dilepaskan. Itulah saatnya ibu paling dekat dengan si bayi. Dan itulah saatnya bayi mengharapkan ibunya. Tiada yang lain.

Tahukah mereka, anak-anak membesar dengan cepat. Lalu, zaman bayi mereka tidak akan berulang. Mereka akan berdiri, berjalan, berlari dan pergi. Sekali mereka keluar dari rumah, segalanya berubah. Mereka akan dewasa, menemui pasangan jika ada jodoh mereka lalu berumahtangga.

Akhirnya ibu bersendirian dan berseorangan.

Ratna… kalau boleh kak ngah luahkah, mahu sahaja kak Ngah katakan kepada ibu-ibu muda itu;

“Susuilah bayi itu dengan kasih dan sayang. Pasti kita tenang dan tidak rasa terbeban. Ia amanah Allah, lakukan dengan ikhlas keranaNya. Sesungguhnya kita manusia lemah lagi tidak bermaya, mahu melakukan perkara yang baik pun kita perlu memohon dari Allah yang maha berkuasa.”

“Lagipun manakan sama susu ibu dengan susu lembu..”

Ratna,
Katakan kepada mereka,” Bayi itu nanti akan meleraikan diri dari menyusu apabila sampai masanya. Biarlah ia menyusu…berikan hak mereka. Nanti, si ibu akan terbayang serta rindu saat itu apabila anak-anak mula meninggalkan mereka. Yang tinggal hanya kenangan.”

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Muhassabah. Bookmark the permalink.

11 Responses to Biarlah ia menyusu..

  1. misa says:

    Salam sejahtera,

    Benar sekali, ia cuma tinggal kenangan. Masa-masa itu telah berlalu, namun ia tetap manis dalam memori seorang ibu. Semoga masih ada peluang merasai saat itu.

  2. Ummu Amar says:

    Sangat benar kata2 puan itu. Bayi saya berumur 1thn 10bulan dan masih menyusu badan sepenuhnya. Saya belum terfikir bagaimana cara untuk memberhentikan penyusuan. Biarlah dia menyusu sepuasnya, kerana ketika dia menikmati susu ibunya … saya rasa sangat bangga & bahagia! :)

  3. kak nor asiah says:

    Assalamualaikum Pn Roza,

    Kak sependapat dgn Pn Roza, susuilah anak sehingga mereka sendiri tidak memerlukannya lagi. Kenangan menyusui anak sambil mereka menggenggam tangan kita adalah kenangan plg manis dlm membesarkan anak2. Memang menyedihkan apabila anak2 telah membesar, berkahwin dan jauh dr kita, tapi itu lumrah hidup, kenangan masa kecil mereka yg membungai perasaan ibu yg telah tua!

  4. Ina says:

    Pn, masa yg berputar x akan kembali. Terasa menyesal tdk menyusui anak sepenuhnya. Anak sulung hanya 8 bln & anak no 2 hanya 1 thn 2 bln. Itupun, jika hantar ke rumah pengasuh, diberi susu formula shj. Terasa sgt sedih membaca nasihat2 puan tu. Andai diberi peluang lg mendpt cahaya mata, bertekad utk menyusui sepenuhnya.. Ameen

  5. N says:

    SALAM
    mak saya menyusukan saya 2 tahun
    bile baca artikel ini..
    mengingatkan betapa susahnya mak saya masa tu
    mak saya bekerja masa tu
    sekrang dah jadi full time housewife

    kasih sayang mak tak pernah putus
    mungkin dengan susu ibu itu saya menjadi sangat rapat dengan emak

    now..i am in uk

  6. N says:

    nak sambung sikit lagi..hehe

    now I am in uk
    still calling my mum twice a day
    (more or less ..calling without miss)
    mum did’nt know how to use skype
    home without the internet connection

    so i have to call using the mobile to mobile or to landlines
    so i spend a lot to call my mum

    but…i dont mind ..(mungkin sebab berkat Allah)
    tak terasa terbeban (tak pernah tak cukup duit kat sini)

    and the best thing ever in my life
    my mum never said she feel bored to receive any phone call from me

  7. nor suzana says:

    ibu yg solleh ialah yg menyusu anak2 mereka sambil membaca al quran .mereka tidak akan mengumpat mengomel itu…dan ini….para isteri…jika suami berkemampuan…tak payah lah keluar rumah bekerja,cari alternatif lain utk bekerja dr rumah…atau minta dgn suami anda elaun lebih sebab menyusukan anak….

  8. rosmawati @ rosz mohd says:

    Menemui Puan Roza dan warga RKDJU,

    Alangkah sedihnya mendengar keluhan ibu-ibu ini, sebenarnya bersyukurlah diri kita apabila dapat menunaikan hak anak iaitu menyusukan selama 2 tahun. Keakraban anak2 dgn ibu merupakan satu kaedah terbaik untuk ibu-ibu mendidik anak-anak mereka kelak. Saya juga menyusukan anak yang berumur 4 bulan 18 hari. Semasa tidak bertugas, saya sangat seronok menyusukannya. Jika esoknya saya bekerja, saya akan membisik dan memberitahu padanya bahawa esok umi akan bekerja, adik susu dgn botol ya.. Alhamdulillah, setiap kali saya bekerja, dia pasti menyusu dan tidak meragam. Saya suka anak saya rapat dengan saya sebagai ibunya dan benar kata Puan Roza bahawa bila mereka dewasa mereka akan meninggalkan kita kerana menuntut ilmu seterusnya bekerja dan berumahtangga… Moga para ibu menggunakan doa atau seni bercakap-cakap dan berbual-bual dengan anak kerana anak yang belum berkata-kata akan faham apa yang kita kata. Sekadar berkongsi pengalaman diri yang kerdil ini. Maaf jika ada terkasar bahasa.

  9. hzm says:

    Salam Sejahtera Pn Roza,

    Kita semua maklum bahawa ibu Rasullulah SAW tidak menyusukan baginda tapi inikan semua kerja Allah SWT

  10. Nurul izz says:

    Assalamualaikum, kak ngah…

    Alhamdulillah… Ibrahim kini sudah berusia 3 bulan.. syukur, Allah masih memberikan rezeki untuk Nurul susukan Ibrahim. Memang tak Nurul nafikan.. mmg mencabar bila Nurul jalan2 kluar ke pasaraya.. dan tiba-tiba Ibrahim mahukan susu… Nurul sgt bersyukur ada sesetengah tempat yg menyediakan tempat utk ibu-ibu menyusukan anak (harap sgt lebih banyak pasaraya2 menyediakan kemudahan tersebut).. kerana risau juga kalau terrr nampak aurat pd org lain. Kadang2 terasa juga letih bila Nurul berlari2 anak ke kereta utk susukan Ibrahim (kes segan jika tempat ramai sangat org…hehe) Namun… apabila melihat wajah tersuyum puas Ibrahim… hilang segala rasa penat… rasa bersyukur.. rasa bahagia melihat anak kecil kami tersenyum… syukran ya Allah………………….

  11. HANI says:

    TERASA PANAS WAJAH BILA MUTIARA JERNIH MENGALIR MEMBACA WARKAH INI…. SAYA IBU KEPADA ADAM YANG BARU MASUK USIA SETAHUN 3 BULAN. SAYA SEHINGGA KINI MASIH BERTEKAD MENERUSKAN SUSU BADAN SEPENUHNYA WALAUPUN KADANG-KADANG PIHAK TASKA MERUNGUT ANAK TAK CUKUP SUSU. SAYA TETAP MOTIVASIKAN DIRI BUKAN SUSU YANG TIDAK CUKUP KERANA KADANG2 RASANYA PENGURUSAN PIHAK TASKA KURANG BETUL, CNTHNYA ANAK ASYIK MINUM SUSU TANPA SELANG SELI DENGAN AIR ATAU MAKANAN. KEPADA PARA IBU NIATNYA CUMA 1 TERINGIN RASANYE BAGAIMANA NAK MEMBENTUK ANAK SEPERTI MANA IBU KITA DULU2 YANG SUSAH UNTUK BELI SUSU LEMBU DAN AKHIRNYA MENYUSU BADAN SEPENUHNYA DAN HASILNYA………..INILAH KITA HARI INI YANG INSYAALAH SENTIASA INGAT DAN MERINDUI IBU KITA. WASSALAM

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>