Lirik cinta siapa

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga sentiasa di dalam kasih sayang dan rahmat Allah.

Ratna,
Semalam seorang rakan FB menulis nota ringkas tentang kuliah al-quran di Shah Alam bersama link ini. Halaqah NTV9 -Lirik cinta siapa [http://youtu.be/ycTk5C1T5YY]

Entah mengapa digerakkan hati oleh Allah, lalu kak Ngah membukanya dan berderai air mata sebaik sahaja mendengarnya. Sungguh, kak Ngah tersihir dengan lirik cinta itu.

Benarlah, di dalam al-quran berulang-ulang kali menyatakan bahawa apabila junjungan besar Rasullullah SAW memperdengarkan lirik cinta itu kepada kaumnya, mereka yang kufur segera berkata;

“Itu tidak lain dari kata-kata sihir yang mahu melunakkan hati kita.”

Bagi mereka yang diberikan taufik dan hidayah – lirik itu secara halus menyentuh qalbu. Hati mereka tersentak lalu menangis teresak-esak, terhiba-hiba lantas segera sujud rebah mengakui kebesaran Allah pencipta alam ini.

MasyaAllah Tabarakallah! Ia lirik cinta dari Allah!

Ratna,
Kak Ngah teringat kisah bertahun-tahun dahulu, sebelum kami berangkat ke Scotland. Naskah lirik cinta itu kak Ngah bawa bersama. Di Scotland, kak Ngah membacanya ketika sunyi sambil tertanya-tanya di dalam hati.

“Allah Ya Allah, sering daku mendengar ustaz menyatakan naskah ini adalah panduan kepada umat Islam. Tetapi, bagaimana mungkin ia dapat menunjukkan jalan sedangkan lirik ini, maknanya tidak daku fahami.”

Apabila kami pulang sebentar dan pergi lagi ke North wales, United Kingdom, kali ini kak Ngah membawa naskah lirik cinta itu bersama terjemahannya. Kak Ngah juga membacanya ketika sunyi dan ketika bersedih hati. Ketika itu, kak Ngah hanya memilih-milih surah yang pendek sahaja.

MasyaAllah Tabarakallah! Ia lirik cinta dari Allah!

Ratna,
Ketika kami baru pulang dari UK, 12 tahun yang lalu..Sara pernah tidak mahu ke sekolah. Puas memujuk secara baik, namun, kadangkala kak Ngah memarahinya. Ia berlaku setiap Jumaat. Katanya dia sakit perut dan muntah-muntah. Sehinggalah suatu hari, 2 orang guru menghantar Sara pulang. Kata cikgu;

“Anak puan tidak sihat. Dia mengadu sakit perut, pening kepala dan muntah-muntah. Anehnya..setiap Jumaat.”

Kak nagah terkenang, Sara sangat petah dan aktif ketika di UK. Di sekolah, guru kelas akan menunggu sehingga Sara menyudahkan karanganannya. Karangan Sara juga sering terpapar di papan notis sekolah. Malah, ketika menjemput Sara pulang, guru-guru akan melambaikan tangan serta mengajak kak Ngah duduk-duduk bersembang di bilik guru . Kata mereka,

“Mari kita minum secawan teh dahulu. Biar Sara menyudahkan karangannya. Budak-budak lain sudah pulang. Mereka hanya menulis semuka sahaja sedangkan Sara mampu menulis sehingga 3-4 muka”

Bayangkanlah..tiba-tiba di Malaysia, Sara tidak lagi seperti itu. Malahan, dia mula membisu.

Ratna,
Kak Ngah masih teringat bagaimana keras hatinya membisu seribu bahasa apabila kak Ngah bertanya kenapa dia bersikap begitu. Sambil menyelimut dan memeluk tubuhnya, Kak Ngah memujuk-mujuk dia.

“Sara..ceritalah pada mama. Ada sesiapa buli Sara?”

Namun, tiada tanda-tanda yang dia akan bercerita. Sehinggalah suatu hari, Allah memberi ilham agar membawa Sara ke kedai buku berhampiran. Kak Ngah biarkan dia memilih buku yang dimahunya dan membawanya ke rak diari remaja. Kak ngah katakan kepadanya;

“Sara pilihlah mana-mana diari yang disukai. Didalamnya Sara boleh tulis cerita setiap hari.”

Hari itu, Sara kembali bersuara sepatah dua dan wajahnya ceria. Dia memilih diari berkunci. Semasa membuat bayaran di kaunter, satu kunci kak Ngah ambil dan satu lagi diserahkan kepadanya. Lalu, setiap hari apabila Sara ke sekolah..[maaf Sara].. diari itu kak Ngah baca.

Ratna,
Tahukah awak apakah yang ditulis didalamnya? Sara menulis di dalam bahasa Inggeris. Antara lain terjemahannya..

“Diariku, Kalau boleh diputarkan masa..mahu rasanya saya kembali seperti ketika di UK. Di sini saya tidak dihargai. Saya tidak pandai berbahasa melayu dengan baik. Hari Jumaat ada pelajaran pengetahuan Islam. Ada hafazan”

“Diariku, Ustaz kata bacaan qu’ran saya pelik. Tidak ada orang Islamkah di UK?”

“Diariku, Ustaz kata saya bermasalah dengan hafazan. Susah sekali terjemahan qur’an..mama, sebutan Sara pelik.”

Lalu, kak Ngah menangis sehingga bengkak mata. Ya Allah, anakku..

Begitulah Ratna… lalu, setiap hari selepas sembahyang berjemaah di rumah bersama anak-anak, Kak Ngah mengajar mereka mengaji dengan merangkak-rangkak. Kak Ngah sama-sama bersusah payah menghafal hafazan dan terjemahan. Kak ngah ceritakan maksudnya sehingga Sara mampu membacanya.

Sara kembali ceria ke sekolah akhirnya. Begitulah..lirik cinta Allah. Seluruh kehidupan serta pandangan mula berubah kerana Allah.

Ratna,
Kak Ngah terkesima dengan lirik cintanya, panduan pedoman, nasihat serta amaran juga kisah-kisah untuk iktibar malah keadaan di hari pembalasan, syurga dan neraka. Didapati, banyak sekali soalan-soalan serta jawapan bocor serta segala tips bagaimana mahu menjadi hamba yang dekat di sisi Allah di dunia dan di akhirat.

Bacalah…lirik cinta milik Allah!

Sekian. Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Halaqah al-qur'an, Muhassabah. Bookmark the permalink.

11 Responses to Lirik cinta siapa

  1. Ummu_Hafiy says:

    Allahu Allah, menitis airmata saya kak Roza, saya dan keluarga juga bakal pulang ke Malaysia InsyaAllah, selepas 5 tahun di UK ni. Memikirkan anak-anak yang telah banyak berkorban dan bakal lagi berkorban di Malaysia bila berdepan dengan sistem pembelajaran di Malaysia, selepas terlalu mewah dengan kata rangsangan dan sokongan di UK, buat dada saya sesak. Di sini mereka adalah ‘somebody’ dan bakal bermula dengan ‘nobody’ di Malaysia, it sudah mengundang susah hati mereka. Namun, Alhamdulillah, kita punya Allah, yang Maha Berkuasa, dan bagi saya, entri Kak Roza ini adalah salah satu cara Allah hantar buat saya untuk membantu anak-anak nanti di Malaysia, mohon doanya kak, semoga Allah permudahkan buat anak-anak saya nanti. (Kak Roza bercerita tentang mukjizat Muhammad itu, yang Allah izinkan saya perolehi lebih dari itu, terutamanya bila saya bakal berdepan dengan kenyataan bila pulang ke Malaysia nanti, jazakillahukhayran katheera kak Roza)

  2. mieza says:

    Assalamualaikum Kak Roza dan Ummu Hafiy,

    Sesungguhnya kita semua tidak bersendirian, Allah ada dan Dia turunkan Ayat-ayat cintaNya kepada kita. Saya juga dalam situasi yang sama dengan Ummu Hafiy sekarang ini, banyak kerisauan memikirkan anak-anak – persekolahan, persekitaran, pergaulan, dll.

    Terima kasih Kak Roza kerana berkongsi rasa dan pengalaman, doakan saya, suami, dan anak-anak untuk menghadapi segala yang telah Allah aturkan dengan tenang, sabar dan dipermudahkan semua urusan.

    Barakallah hufikum.

  3. Aneeqa says:

    Assalam puan Raudzah, prof dan anak anak,

    Subhanallah! Allahu Akbar!

    Sebak membaca catatan ini. Maha Suci Allah.

    Terima kasih berkongsi dengan kami. Ia berkesan di hati.

    Semuga puan dan keluarga dilimpahi kasih sayang Allah.

    Barakaullah.

  4. supiahabu says:

    Assalamualaikum Pn Roza

    Saya amat tertarik dengan cara pn mencari jalan untuk sara meluahkan isihatinya.Allah mengajar kita supaya berdakwah dengan bijaksana,puan telah membuka minda saya dalam hal yang sama. Mabruk.

  5. oked says:

    Assalamualaikum puan dan keluarga,, semoga dirahmati Allah.
    Terlalu sebak sehingga menitis airmata saya apabila membaca entry puan pagi ini.
    Ternyata puan menulis dari hati.
    Terima kasih di atas perkongsian.

  6. Lina says:

    salam puan roza,

    Itulah hakikat pendidikan di m’sia suka atau tidak….mari kita sama2 cari cara utk mengatasi masalah sebegini….

    Terima kasih puan atas luahan n3 kali ini….lina pasti ramai lagi yg mengalami masalah yg sama….lina juga tidak terkecuali tp tidak pandai utk menulis.

  7. Ummi says:

    Salam roza,

    Saya seperti ummi hafiy, lagi sebulan balik msia setelah lebih 5 thn di uk. Sangat risau dan moga cerita sara saya ambil pelajaran. Doa, doa dan doa di sepertiga mlm adalah apa yg saya boleh bawa bekal dari sini ke msia. Dan nasihat tunjuj ajar roza dan prof saya hargai. Tq Allah. Tq roza n prof.

  8. hzm says:

    Salam Sejahtera Pn Roza,

    Dalam kita menanam rasa takut dan gerun kepada Allah SWT , aneh ya, boleh pula ada perasaan cinta dan kasih kepadaNya.

  9. asiah says:

    Salam pn roza n keluarga..

    Salam Maulidur Rasul .. ya saya pun ada menonton siaran ulangan Halaqah yang bertajuk Lirik cinta siapa…Subhanallah ..Maha Besar Allah… lantunan ayat-ayat cinta yang dibaca amat menusuk jiwa dan menitiskan airmata bagi sesiapa yang menghayatinya… semoga ALLAH sentiasa memberikan masa untuk kita membaca dan memahami Al-Quran sepanjang hayat kita ..amin

  10. Salam~

    Saya sebak membaca entri ini. Alhamdulillah Allah kurniakan nikmat iman, islam dan istiqomah pada jalanNYa pada kita semua. Allah jualah yang memberi hidayah kepada para wanita dan ibu dalam mendidik anak-anak.

  11. mm says:

    Assalamualaikum Sis Roza,

    Apa khabar? Lama dah tak baca blog ni. Asyik tengok blog Prof je. Thank you so much for sharing. It’s funny orang yang tinggal di Malaysia dapat dengar program ni dari orang yang tinggal di Madinah! Saya tertinggal rancangan pada malam tu. Thanks again.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>