Demi masa

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga segala urusan dipermudahkan serta dilimpahi kasih Allah sentiasa.

Ratna,
Maaf kerana sudah lama tidak menghantar berita. Sungguh, Allah bersumpah dengan masa. Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Sibuk sangatkah kak Ngah? MasyaAllah, jika dikenangkan.. Allah memperuntukkan setiap manusia sebayak 24 jam sehari semalam. Masih tidak cukup lagikah?

Ada orang sentiasa cukup masa dalam urusannya. Dia menunaikan hak yang perlu dilunaskan sebagai hambaNya. Ada pula yang sentiasa sibuk. Malah sibuk itulah yang menghalang dia dari kecukupan masa. Lalu, tahukah dia yang sibuk itu akan terhenti apabila dia mati? Dan dia hanya akan sedar apabila masuk kubur dan setiap urusan sibuknya pasti ditanya.

MasyaAllah tabarakallah! Sibuk sangatkah kak Ngah? Kali ini kak Ngah mahu melihat urusan masa orang-orang disekeliling dan juga diri sendiri.

Ratna,
Sebelum dan lepas subuh, rutin kak Ngah bermula. Menyediakan sarapan untuk anak-anak ke sekolah dan kemudian memasak bagi hidangan tetamu Allah. Kemudian, kami bersiap sedia untuk ke bilik kuliah.

Kuliah kak Ngah bermula seawal 9 pagi dan berakhir pada 3 petang. Setiap kali memasuki kawasan kolej [dikenali sebagai girls section] kak Ngah menyaksikan remaja arab ini dengan seribu wajah. Ada yang senang bersendirian, ada berduan dan ada yang duduk berkumpulan berkelah bersama “Tharmus” qahwah.

kak Ngah suka melihat kumpulan yang riuh rendah mengejar sebiji bola. Mereka bermain futsal!

Biasanya kak Ngah ke kelas 10 minit lebih awal dan sudah ada pelajar didalamnya. Sebagaimana pelajar-pelajar di negara kita, mereka terdiri dari 3 kategori : barisan hadapan, barisan tengah dan barisan belakang.

Barisan hadapan adalah kategori yang proaktif, mereka rajin bertanya itu dan ini. Barisan tengah diperingkat sedang-sedang, mereka respon jika kita memberi perhatian kepada mereka. Pelajar di barisan belakang – mereka datang ke kelas dengan hanya membawa hati, perasaan dan badan! Kertas dan pen pun tiada di tangan mereka!

Mereka juga dibahagikan lagi kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama, mereka bercakap apabila di minta bercakap. Kumpulan ke 2, mereka sentiasa bercakap walaupun di minta berhenti bercakap dan tidak akan bercakap jika di tanya berkaitan dengan topik yang sedang di ajar kepada mereka.

MasyaAllah tabarakallah! Demi masa… Hidup itu indah.

Ratna,
Lat antara masa kuliah adalah 3 jam.Kuliah pertama bermula pada pukul 9, tamat sejam kemudian. Kuliah ke dua akan disambung semula dengan kumpulan berlainan pada pukul 1 dan selesai pada pukul 2.40 petang. Jadi, usai kuliah pertama biasanya kak Ngah terus sahaja ke Musollah [surau]. Di situlah kak Ngah duduk – mengedit manuskrip atau memahami hukum tajweed atau menghafal qur’an.

Ramai juga pelajar-pelajar dari program-program yang berlainan menumpang teduh, sementara menanti kuliah bermula. Mereka, seperti juga pelajar di negara kita, masing-masing sibuk dengan laptop dan telefon bimbit. Ada kumpulan yang tidak henti-henti bercerita, ada yang tidur, ada yang duduk termenung sahaja, ada seorang dua sembahyang dhuha dan ada juga sedang menghafal quraan.

MasyaAllah tabarkallah! Demi masa… Hidup itu indah.

Ratna,
Usai kuliah, kak Ngah bergegas pulang. Di luar pagar, abang Ngah sedia menunggu. Sampai di rumah sekitar 3.30 petang dan kami bergegas pula ke haram. Di haram, ujian hafazan quran sedia menanti, setiap hari! Selepas solat Isyak, baru kami pulang.

Di ruang atas letak kereta no.11A kami sekeluarga menunggu tetamu Allah yang sudi mengunjungi rumah kecil kami di Jabal Uhod. Kami melayani mereka sebentar dan biasanya menghantar mereka pulang ke hotel sekitar 10.30 -11.00 malam. Esok, jika masih dipinjamkan nyawa oleh Allah.. rutin itu bermula lagi.

MasyaAllah Tabarakallah! Demi masa..Hidup itu indah.

Ratna,
Ya Allah, kami sentiasa berdoa agar diberikan kesihatan yang baik, diberikan kelapangan masa serta dilapangkan dada agar dapat menjalankan rutin harian seperti yang telah ditetapkan olehNya. Sungguh, nanti… bila mati kita akan ditanyakan tentang pembahagian masa kita setiap hari. Dan ia dicatat setiap satu malah tidak akan terlepas sedikitpun hatta sebesar zarah.

Sekian, semuga Allah mencukupkan masa bagi kita untuk sentiasa mengingati dan mendekatkan diri kepadaNya. Salam sayang dari kami sekeluarga di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Taibah Universiti. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>