Wallahi..kami letih

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga sentiasa dirahmati Allah di dunia dan di akhirat.

Ratna,
Semalam, Rabu adalah hari yang mencabar. Ia barangkali seperti hari Jumaat jika di Malaysia. Hari yang paling hampir dengan cuti hujung minggu. Seringkali kak Ngah diminta oleh pelajar-pelajar agar dipendekkan masa kuliah yang bermula pada pukul 1.00 tengahari dan berakhir pada 2.50 petang.

“Teacher…wallahi we all tired.”

“Really? Wallahi, I am tired too.”

“So..teacher. Let us stop after one hour lesson, ok?”

” I love too..but Wallahi.. I am scared of Allah Subhanawatalla. Allah will questioned us about our time.”

Lalu, mereka membuat muka, sedikit mengeluh dan tunduk diam.

Begitulah.. dimana-mana sahaja, gelagat pelajar remaja hampir serupa. Mereka perlu sentiasa diingatkan agar takut kepada kemurkaan Allah, Tuhan yang menjadikan alam ini. Allah ada dimana-mana. Malah, bukan hanya di masjid, di Mekah atau di Madinah. Pemerhati serta pencatat amalan, wakil Allah ada di kiri kanan kita.

Wallahi, tidak takutkah kita apabila melakukan sesuatu yang menjadi kemurkaanNya?

Ratna,
Dalam masa yang lain, kak Ngah melihat seorang pelajar yang masuk ke kelas dalam keadaan tergesa-gesa. Dia kelihatan sangat letih. Selepas meletakkan beg, dia meminta diri untuk bersolat. Kelas 10 minit lagi akan bermula.

“Eradah..awak kelihatan letih.”

“Ya. Bayi saya yang berusia 5 bulan meragam dan tidak tidur sepanjang malam.”

Lalu, lima minit sebelum kelas berakhir kak Ngah tutup dengan peringatan untuk diri tentang letih. Suasana kelas berdengung-dengung, mereka mulai resah.

“Allah, Allah ya Allah. Saya tahu kamu semua letih. Lebih-lebih lagi bagi pelajar yang sudah bergelar ibu. Kenapa saya tahu? Kerana saya telah melaluinya. Saya adalah salah seorang ibu itu ”

Mereka memberikan perhatian.

“Semasa saya menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda, saya sudah mempunyai 3 orang anak. Pagi, selepas menghantar anak ke sekolah, saya ke tempat kerja. Saya menjemput mereka dari sekolah, memberi makan tengahari kemudian menghantar mereka belajar pula di sekolah petang. Pulang kerja di waktu petang, saya menjemput mereka dari sekolah dan terus ke bilik kuliah. Malam baru saya pulang.”

Mereka memberikan perhatian.

“Saya sampai di rumah hampir pukul 10.30 malam. Saya mengutip kain baju, masukkan ke dalam mesin. Menyapu dan mengemas rumah. Kemudian menyidai baju di ampaian. Hampir pukul 12 malam baru selesai urusan. Sebelum tidur saya mandi bagi menyegarkan badan. Sambil mandi, saya sering meratap seorang diri.. Menangis menghiba-hiba mengenangkan diri. Bertanya-tanya kepada diri apa yang saya mahukan di dalam kehidupan?”

“Namun..satu perkara yang mahu saya kongsikan. Sentiasa bersyukur kepada Allah. Dia telah mengurniakan kita seorang suami yang bertimbangrasa, mengizinkan kita mengejar cita-cita. Kamu yang telah berumahtangga memilih untuk terus belajar bukan?”

“Satu lagi yang mahu saya kongsikan..bangunlah solat malam dan berdoa kepada Allah agar dikuatkan semangat serta dipermudahkan segala urusan.”

Kak Ngah tidak mahu mengulas panjang kerana mereka memahami bahasa al-Quran. Lalu, apabila pulang ke rumah kak Ngah membuka terjemahan al-Qur’an dan melihat semula surah al-Muzammil ayat 1-9. Antaranya Allah berfirman yang bermaksud:

Wahai orang yang berselimut.[2] Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),[3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,[4] Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). [6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.[7] (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;[8] Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan. [9] Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

Ratna,
Wallahi.. siapa yang tidak pernah merasa letih? Namun, biarlah seluruh kehidupan kita adalah untuk meraih redha Allah. Menyembah dan beribadat semata-mata ikhlas keranaNya. Dan.. biar sahaja mati nanti menjadi waktu rehat untuk kita dari keletihan dunia.

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Taibah Universiti. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>