Musim periksa

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga Allah permudahkan segala urusan dan disudahi dengan segala kebaikan.

Ratna,
Sesi pengajaran di Universiti Taibah, Madinah al-Munawarrah telah sampai ke pertengahan semester. Peperikasaan pertengahan semester akan bermula. Sana sini pelajar sibuk bertanyakan slide, jawapan tutorial, buku teks yang digunakan malah ada yang tergamak meminta “Test bank” dari pensyarah mereka!

Biasanya..mereka ini adalah golongan yang duduk di barisan belakang. Datang ke kelas hanya dengan jiwa dan raga. Tanpa nota, tanpa pen dan senyum-senyum sahaja memandang kita. Alhamdulillah, itu lebih baik daripada mereka berbual sesama mereka.

Ratna,
Melihat mereka, sesekali kak Ngah teringatkan bekas pelajar di UiTM Johor. Entah di mana agaknya mereka semua. Alhamdulillah, FB ada juga manafaatnya. Ada sebilangan kecil yang menghubungi lantas mengucapkan terima kasih disertai dengan gambar-gambar konvo. Ada yang dikhabarkan telahpun berumahtangga. Ada yang menyampaikan berita pasangannya kini bukan lagi pasangan ketika di kampus dahulu. Ada juga yang menayangkan bayi mereka.

Allah..Allah..ya Allah. Pantasnya masa berlalu.

Masih terbayang bagaimana muka-muka mereka dahulu, apabila kak Ngah membayangkan apa yang akan berlaku jika mereka bekerja atau setelah berumahtangga.

Lebih-lebih lagi apabila kak Ngah menyatakan yang hidup ini merupakan suatu perjalanan dan banyak terdapat tempat-tempat hentian. Kita berhenti di suatu hentian bagi melepaskan lelah serta menimba pengalaman. Dan perjalanan mesti diteruskan. Terkadang, dalam perjalananan itu, kita tempuhi bukit bukau, duri ranjau, lautan yang dalam, pelabuhan, bumi yang gersang dan hamparan bumi hijau. Setiap satu ada sesuatu yang boleh diambil iktibar.

Namun..akhirnya, kita menuju ke destinasi yang satu. Perjalanan itu akan terhenti di situ.

Lalu, kak Ngah katakan kepada mereka lagi,

“Hidup ini umpama menyelak helaian demi helaian dari sebuah buku yang telah tertulis sejak azali. Buku tentang diri sendiri. Setiap kali kita melepasi suatu chapter, cubalah bertanya – Apakah chapter terakhir yang telah ku baca? Ada iktibarkah yang boleh di kutip darinya?”

Yang paling penting, bertanyalah diri sendiri – Sudah bersediakah kita menduduki musim periksa? Apabila yang bertanya soalan hanyalah dua pemeriksa. Soalan yang telah sekian lama bocor di pasaran terbuka.

Contoh soalannya :

1. Siapakah Tuhan kamu?
2. Siapakah Rasul mu?
3. Apakah kitab mu?
4. Apakah agama mu?

Allah..Allah..ya Allah. Dapatkah kita menjawab soalan ketika musim periksa itu?

Ratna,
Musim periksa hanya akan bermula apabila menyudahkan helaian terakhir dari buku kita. Buku yang tersimpan rapi di lauh mahfuz. Tebal atau nipiskah buku kita itu.. hanya Allah SWT yang tahu.

Salam sayang dari kami sekeluarga di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Taibah Universiti. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>