Hanya sebentar..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga diri dan keluarga sihat sejahtera serta dalam perlindungan Allah sentiasa.

Ratna,
Kelmarin, seorang pelajar datang menerpa sejurus kak Ngah keluar dari kelas kumpulan FA. Pelajar itu dari kumpulan kelas FB. Ditariknya lengan tangan kak Ngah ke sudut kiri bangunan. Wajahnya lesu serta pucat lesi.

“Teacher..boleh kita berbicara sebentar. Hanya sebentar.”

Untuk memulakan bicara, secara berseloroh kak Ngah berkata;

“Wajah awak tidak ceria hari ini. Tidak bawa lipstiks?”

“Teacher, saya sudah tidak fikir tentang diri apatah lagi untuk memakai lipstiks. Saya ada masalah besar.”

Serta merta Kak Ngah hentikan gurauan kerana melihat dia tidak keruan. Hati jahat Kak Ngah berkata, jangan-jangan ada masalah dengan projek kumpulan atau mahu meraih simpati agar dinaikkan markah peperiksaan baru-baru ini.

“Iya, Kenapa?”

“Teacher, saya ada masalah dengan suami. Terima kasih kerana mengingatkan kami tentang surah Muzammil di dalam kelas semasa awal semester dahulu. Kini, saya percaya dengan kekuatan sembahyang malam yang diperintahkan oleh Allah di dalam al-Quran.”

Kak Ngah merenung wajah pelajar itu. Diam dan mendengar namun, jauh disudut hati memohon keampunan Allah. Allah..Allah ya Allah, telahan daku tersasar.

“Suami mahu saya berhenti belajar. Dia mahu saya tumpukan kepada anak-anak kami yang masih kecil seramai 3 orang. Lagipun sejak akhir-akhir ini dia banyak kerja luar kawasan Madinah. Puas saya memujuk suami dan meminta dia bersabar. Hanya 2 semester sahaja lagi…2 semester sahaja.”

Mata dia berkaca.

” Teacher.. Saya sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu memenangi hatinya. Saya tidak mahu menyusahkannya. Saya lakukan semua kerja rumah dan ketika waktu kuliah anak-anak ditumpangkan di rumah ibubapa saya. Saya sering menangis malah sembunyikan dan simpan rahsia ini seorang diri. Namun, ibubapa dapat mengesan pergeseran hubungan kami suami isteri.”

Pelajar itu diam seketika.

“Kesilapan besar yang telah dilakukan adalah bercerita kepada ibubapa serta adik beradik saya. Ia semakin memburukkan keadaan kami suami isteri rupanya..”

Tiba-tiba dia kelihatan bersemangat.

“Lalu, apabila mereka mahu bersemuka dengan suami, saya keras menolak dengan menyatakan kepada mereka suami adalah bapa kepada anak-anak saya. Saya tetap mahu bertahan walau apapun yang terjadi.”

“Teacher, dahulu saya paling takut jika diceraikan oleh suami. Saya tidak bekerja dan tidak mempunyai apa-apa. Saya tidak mahu anak-anak kehilangan bapanya. Tetapi …kini tidak lagi. Semakin saya kerap sembahyang Tahajjud, bermunajjah dan berdoa kepada Allah… hati saya semakin cekal. Saya yakin dengan qada dan qadar. Jika ini takdir ke atas diri…saya redha. Saya sudah bersedia.”

Lalu, sambil menarik nafas panjang serta beristighfar, kak Ngah bersuara.

“Suami, anak-anak, hartabenda serta perhiasan dunia ini adalah anugerah yang juga merupakan ujian dari Allah. Semua itu hanya sebentar. Teruslah bersabar dan bersolat. Sesungguhnya ia sangat sukar kecuali orang yang khusyuk.”

“Benar, saya maklum..terima kasih teacher.”

“XYZ..apakah kamu fikir kamu beriman selagi Allah tidak mengujinya? InsyaAllah, ia hanya sebentar. Bukankah di dalam surah Insyirah Allah menyatakan setiap kesusahan diakhiri dengan kemudahan. Dan Allah tegaskan sebanyak 2 kali di dalam surah ini.”

“Benar, saya maklum..terima kasih teacher kerana sudi mendengar. Semuga Allah memberi rahmat kepada teacher dan keluarga sentiasa.”

Ratna,
Pelajar itu beredar dan wajahnya mengambarkan sedikit perasaan lega. Barangkali kisah seperti pelajar itu banyak berlaku kepada ramai wanita di mana-mana sahaja di pelusuk dunia. Kak Ngah juga telah merasai apa yang sedang dia alami. Dilema seorang isteri, ibu, anak dan juga pelajar. Alhamdulillah, ujian itu singgah sebentar lantas beredar.

Sambil melangkah perlahan, kak Ngah panjatkan doa kepada Allah yang maha mendengar;

“Allah ya Allah..berikanlah kekuatan kepada pelajar, isteri serta ibu muda itu. Semuga ujian itu cepat beredar.. biar hanya sebentar.”

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Taibah Universiti. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>