Takut

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga Allah permudahkan segala urusan dan disudahi dengan segala kebaikan.

Ratna,
Kuliah sudah hampir ke hujung semester. Hanya tinggal 2 minggu sahaja lagi sebelum pelajar Universiti Taibah, Madinah menduduki peperiksaan akhir. Benar, kak Ngah melihat kepayahan mereka mengkhadamkan subjek Business Communication. Ramai yang bersusah payah mengeja bagi menjawab soalan pendek [short essay].

“Teacher..bahasa Inggeris susah. Bahasa arab lebih mudah kerana bahasa al-quraan.”

Lalu, Kak Ngah sarankan mereka agar bangun sembahyang di tengah malam dan berdoa bersungguh-sungguh memohon kepada Allah yang maha berkuasa. Mohon agar dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat.

“Allah menjadikan alam ini, setakad subjek Business Communication seperti ini…apa sangatlah bagi Allah.”

Bagi yang bersungguh-sungguh, mereka diam merenung lantai sambil mengangguk-anggukan kepala. Namun, bagi mereka yang tidak kisah..barangkali tiada apa-apa yang perlu dikhuatiri oleh mereka. Seperti biasa, tanpa buku, tanpa nota dan tanpa pen di tangan mereka. Benar, bukankah tidak sama bagi mereka yang celik dan yang buta!

Ratna,
Semalam, Rabu adalah hari terakhir kuliah sebelum cuti di hujung minggu. Hari yang paling liat bagi mereka barangkali. Dan semalam paling ketara..dari seramai 39 pelajar hanya 5 orang sahaja yang hadir. Lalu, kak Ngah teringat peristiwa ketika di UiTM Johor suatu ketika dahulu…kes yang sama. Ah! Di mana-mana sahaja berlaku fenomena yang serupa.

Semasa mengakhiri kuliah, seorang pelajar berseloroh;

“Teacher..adakah kami yang hadir pada hari ini mendapat markah bonus?”

“Ya..dari Allah Subhanawatalla. Bukankah hadir ke kelas adalah amanah Allah kepada kamu sebagai seorang pelajar?”

Pelajar itu terkedu dan rakan sekelas yang lain juga memberikan tumpuan.

“Kita semua ini telah diberikan amanah oleh Allah sebagai seorang khalifah Allah di mukabumi ini. Kita pasti akan di tanya tentang amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Kamu memikul amanah sebagai seorang pelajar dan sebagai anak. Jika kamu sudah berumahtangga, kamu diberikan amanah sebagai seorang isteri dan ibu.”

Mereka memberikan tumpuan.

“Sebab itulah saya perlu mengajar kamu walaupun hanya 5 orang sahaja yang datang. Saya takut pada hari pembalasan. Hari di mana tiada sesiapa yang dapat menolong saya. Tiada bantuan dari ibubapa, suami, anak-anak apatalah lagi saudara mara serta rakan-rakan.”

“Hari itu kita sendirian…menjawab setiap persoalan di mahkamah Allah Azawajallah.”

Ratna,
Hari itu kak Ngah melihat sekilas ketakutan di raut wajah mereka. Mereka yang memahami bahasa al-quran. Sungguh! Sesungguhnya mereka benar-benar memahami ketakutan yang kak Ngah alami.

Sekian sahaja dari kak Ngah buat kali ini. Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Taibah Universiti. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>