Pasti merinduinya..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga dirahmati serta dalam kasih sayang Allah sentiasa.

Ratna,
Minggu hadapan adalah minggu terakhir kuliah bagi pelajar Universiti Taibah. Dalam sedar, kak ngah tahu itulah hari terakhir bersama mereka. Lalu, kak ngah menyatakan;

“Saya pasti merindui kamu semua.”

Perasaan yang sama ketika kak ngah melafazkan di hadapan pelajar-pelajar UiTM Johor. Sebagaimana perasaan seorang ibu yang mahu melepaskan anak-anak keluar merantau menimba ilmu pengetahuan. Ia berbekas. Barangkali kesannya hebat di hati si ibu, tidak bagi si anak.

“Apa jua pilihan yang kamu buat, ingat kepada Allah. Katakan kepadaNya,” ya Allah ya Tuhanku, tentukanlah yang terbaik buat diriku. Sesungguhnya Tuhanku lebih mengetahui apa yang tidak daku ketahui.”

Ia adalah perpisahan yang telah diketahui tarikh, masa dan hari. Tidak sepatutnya kita bersedih hati. Yang datang pasti akan pergi. Tiada satupun di dunia ini yang kekal abadi. Hanya Allah yang satu.

Lalu, kak Ngah berjanji tidak akan menitiskan air mata di hadapan mereka. Sebagaimana kak Ngah berjaya menyekanya ketika berada di Dewan Besar Kuliah, berhadapan dengan ratusan pelajar UiTM Johor. 30 minit terakhir, kak ngah menyampaikan “Wasiat terakhir” buat mereka. Aplikasi dari manual yang terdapat dari al-quran, sedutan dari surah Luqman.

“Wahai anak kesayanganku, Janganlah lupakan Tuhan yang menjadikanMu. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan. Tidak ada sesiapa yang boleh memberikan jaminan yang usia kamu akan lebih panjang dari usia ibubapa kamu. Barangkali ibu tua kamu yang akan menatap jenazahmu terlebih dahulu.”

Saat itu kak Ngah terbayangkan arwah adik bungsu kita, Ayu. Ayu yang paling muda telah pergi lebih dahulu menghadap TuhanNya berbanding kakak-kakak yang lebih tua.

“Wahai anak kesayanganku, Jangan berlaku sombong kepada ibubapa. Mereka telah menjaga kebajikan kita sejak dari bayi sehingga kita telahpun berada di usia ini. Barangkali ilmu pengetahuan atau tingkat pengajian mereka rendah sahaja, tetapi lihatlah…apa yang telah mereka persembahkan kepada kita. Jangan lupakan mereka. Bukan wang ringgit jadi ukuran, tetapi ingatan dari anak-anak. Bertanyalah khabar berita apabila jauh di mata, apabila sudah berjaya.”

Saat itu kak ngah terkenangkan diri yang sering alpa kerana kesibukan buatan sendiri.

“Wahai anak kesayanganku, Janganlah kamu mendengar bisikan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu suka menipu dan matlamat utamanya adalah untuk memesongkan manusia agar berpaling dari Tuhannya. Agar manusia sama-sama masuk neraka sebagaimana telah tetap dijanjikan Allah kepada syaitan yang di laknat. Syaitan berjaya memesongkan hati nabi Adam [dengan ketentuan Allah] apatah lagi kita insan biasa yang lemah lagi tidak berupaya. Berdoalah mohon perlindungan Allah dari bisikan syaitan yang di rejam.”

Kak ngah membayangkan Sara dan Azrai yang sedang mengharungi usia remaja. Janganlah sampai tersalah memilih rakan-rakan yang membawa mereka ke kancah maksiat. Rakan-rakan yang melalaikan lantas menjauhkan diri dari mengingati Tuhan, pencipta alam.

Allah..Allah ya Allah. Tiada daya upayaku menjaga mereka ketika di dalam jagaanku apatah lagi ketika mereka jauh di mata. Peliharalah dan lindungilah mereka. Sesungguhnya daku serahkah kembali mereka kepadaMu.

Ratna,
Kak ngah masih berkira-kira apakah “wasiat terakhir” yang akan disampaikan kepada pelajar-pelajar Saudi yang rata-ratanya membaca quraan setiap hari. Subhanallah! Kak Ngah melihat naskah al-quran berada di mana-mana, malahan tersimpan kemas di dalam laci setiap bilik kuliah.

Barangkali kak ngah akan mengingatkan mereka tentang kematian. Kematian itu pasti berlaku. Bila dan lokasinya hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Sepatutnya ia sudah berada di dalam minda dan kita sudah bersedia bila-bila masa. Jangan sampai nanti ada yang berkata;

“Ya Allah, Dia pergi dengan tiba-tiba. Tidak pesanan terakhir. Dia hilang ketika hati sedang sayang.”

Allah..Allah ya Allah. Kak ngah masih lagi berkira-kira untuk meninggalkan “wasiat terakahir” buat mereka. Sungguh, nanti kak ngah pasti merinduinya..

Ratna,
Sampaikan salam sayang buat emak, adik beradik, sanak saudara serta rakan-rakan yang dikasihi. Mohon maaf jika sudah semakin jarang menghantar berita. Namun, Katakan yang kak ngah sentiasa merindui mereka.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Taibah Universiti. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>