Ya Mutaffifin

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasih,
Semuga amalan kita hari ini lebih baik dari semalam, semuga kita melaksanakan apa yang telah diniatkan semalam.

Ratna,
Semalam merupakan hari terakhir kak ngah bersama pelajar. Dan, seperti selalu, sebelum kuliah berakhir kak ngah tinggalkan pesanan dari hati seorang ibu kepada anak.

“Ada beberapa perkara yang mahu saya ingatkan kepada kamu. Pertama, bacalah. Kedua, patuhilah arahan sebelum melakukan sesuatu perkara. Pasti kamu dapat melakukan sesuatu yang betul apabila arahan di baca dan difahami sepenuhnya.”

Mereka mengangguk tanda faham.

“Bacalah dan pastikan kamu dapat mengeja dengan betul. Ini penting apabila mahu menyampaikan maksud apabila berkomunikasi. Salah ejaan, salahlah maknanya.”

Kak Ngah menyampaikan pesanan sambil mengingatkan diri perihal membaca quran. Al-quran perlu dibaca dengan sebutan huruf pada mahraj yang betul berserta hukum tajwidnya. Tiba-tiba seorang pelajar dengan penuh semangat berkata;

“Teacher, itu tidak adil. Ini bukannya subjek bahasa Inggeris. Memang kami tidak mampu mengeja dengan betul.”

“Ya. Tetapi subjek ini bahasa penghantarnya adalah dalam bahasa Inggeris. Mahu atau tidak, kamu harus menyampaikan pesanan melalui penulisan. Ia lebih tidak adil jika saya harus membetulkan ejaannya sedangkan kamu tidak berusaha mempelajarinya.”

“Patutlah kami tidak dapat markah penuh..”

“Ya..kerana kamu salah mengeja, lalu salah maksudnya. Apakah kamu mengira dengan salah mengeja dan salah samasekali maksudnya kamu tetap juga dapat markah penuh? Bukankah itu timbangan akal yang tidak betul?”

Kak Ngah teringat firmah Allah dalam سُوۡرَةُ المطفّفِین yang bermaksud;

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), (1) Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, (2) Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. (3) Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? (4)

Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), (5) Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? (6) Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam “Sijjiin”. (7) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia “Sijjiin” itu, (8) Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata, (yang menghimpunkan amalan orang-orang yang berdosa). (9)

Allah..Allah ya Allah. Lalu, Kak ngah panjangkan sedikit lagi ulasan.

“Dengar sini kamu semua. Saya adalah guru kamu. Saya berpesan, mengajar dan mengingatkan agar kamu tidak melakukan kesilapan. Selagi kamu tidak mahu di tegur dan merasakan diri sentiasa betul..kamu tidak akan ke mana-mana. Kamu tidak akan memperbaiki diri. Muhasabah..tanya dan sukatlah diri sendiri.”

Ratna,
Hari itu rasanya kelas berakhir dengan cepat sekali. Sebagai penutup kata, kak ngah meminta salah seorang membaca surah yang paling disukai.

“Safaa, boleh perdengarkan surah Ar-Rahman dari ayat 1- 13?”

Lalu, pelajar itu membacanya dengan penuh penghayatan. Kak ngah melihat ramai yang tunduk dan ada yang mengesat airmata. Allah..Allah..ya Allah. Mengapa perlu dihairankan..itu bahasa mereka. Tentulah mereka memahaminya.

Semalam, sambil melangkah keluar dari kampus Universiti Taibah yang mulai sunyi..kak ngah bertanya kepada diri;

“Nikmat Allah yang mana satukah mahu daku dan mereka dustakan?”

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Taibah Universiti. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>