Lontarkan ego itu..

Masaklah dengan menyebut nama Allah.Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga Allah permudahkan segala urusan di dunia serta akhirat dan disudahi dengan segala kebaikan.

Ratna,
Semalam merupakan “Hari Guru” dan guru pertama yang ingin kak ngah peluk adalah emak selain dari mak wa dan mak mertua. Mereka adalah guru nombor satu! Merekalah guru yang kekal mengajar kita dari kecil hingga dewasa malah selagi ada hayat di kandung badan, selagi bernafas di izin Tuhan.

Barangkali mereka melihat kita sama sahaja seperti zaman kanak-kanak dahulu. Tuturkata di tegur, tingkah laku diperbetul. Sehingga setiap kesalahan dilakukan yang diberikan peringatan tetap kita kenang sepanjang zaman. Lalu, kak ngah sering bertanya kepada diri;

“Apakah daku nanti dikenangi oleh anak-anakku seperti itu? Apakah mereka sedar kewujudanku?”

Benar, ia tidak perlu dilafazkan..

Ratna,
Semalam juga kak ngah menerima e-mail panjang dari seorang isteri dan ibu. Keluhannya bercampur baur. Namun, akhirnya kak ngah mengerti segala isi hati. Barangkali ia boleh di ambil iktibar dan menjadi peringatan malah ada sesuatu yang boleh kita belajar.

Kakak T menulis;

“Puan, sewaktu zaman bujang saya seorang yang periang, ceria dan disukai oleh rakan-rakan serumah mahupun di pejabat. Saya sangat gemar memasak. Setiap hari sayalah yang menjadi chef di dapur rumah bujang kami. Di hujung minggu, saya suka menjamu tetamu. Setiap hidangan pasti menerima pujian.

Namun, segalanya berubah apabila saya berumahtangga. Beban tugas di pejabat, urusan rumahtangga dan beban pengajian membuatkan saya bertukar karektor.

Di rumah, saya jarang sekali memasak untuk suami. Asalnya di awal perkahwinan kerana suami sering menegur setiap hidangan saya. Dia sering membandingkan dengan masakan ibunya. Dia mahu saya mempelajari masakan ibunya yang pada pandangan saya hanya biasa-biasa sahaja. Contohnya, suami mahu saya merebus ikan terlebih dahulu sebelum mengorengnya. Sedangkan pada ketika itu pada fikiran saya – ia kerja renyah dan menyusahkan. Banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan. Saya sukar menerima teguran.

Anak-anak pula banyak kerenah – meminta memasak itu dan ini sedangkan saya keletihan kerana bebanan kerja dan beban tugasan pengajian. Akhirnya suami membuat keputusan untuk makan sahaja di kedai. Jika ada tetamu datang bertandang, suami tempah makanan. Anak-anak pula di ajar memakan makanan segera. Saya berasa lega.

Begitulah..bertahun-tahun ia berlalu.

Kini, saya dan suami sudah bersara. Anak-anak pula semuanya telah berumahtangga. Kami sedang mengharungi kehidupan yang sunyi. Tiada komunikasi. Ketika duduk berdua, saya mahu memasak untuk suami. Namun, dia menolak. Katanya, ” Tak apalah.. kita makan di kedai sahaja.”

Adakalanya saya bertanya,”Abang..mahu saya bancuhkan kopi?”

Jawapannya,”Tak apalah..nanti saya buat sendiri.”

Apabila anak-anak pulang bercuti, mereka berpakat-pakat makan di restoren. Ketika hari raya, mereka menempah juadah atau isteri masing-masing membawa makanan sendiri. Saya rasa terpinggir. Pernah beberapa kali saya menyediakan makanan apabila dimaklumkan tentang kepulangan, namun apa kata mereka;

“Mummy kenapa bersusah-susah? Kami sudah makan dalam perjalanan tadi.”

Makanan tidak berjamah. Tidak seorangpun merindui masakan ibunya. Sayu hati saya apabila mengenangkannya.

Lebih sayu lagi apabila anak perempuan saya langsung tidak pandai memasak apa-apa. Sedangkan ketika saya sebaya dengannya boleh memasak segala macam juadah. Apabila ke rumah mereka, saya melihat anak perempuan kami terkial-kial membantu suaminya di dapur. Dia menyiang ikan dengan penuh susah payah.

Puan..hati saya remuk. Lebih remuk lagi, apabila suami tidak mahu dimasakkan apa-apa. Sedangkan apabila saya ke dapur, saya melihat dia menyediakan makanan dan makan sendirian. Masakan yang biasa disediakan oleh arwah ibunya!

Kakak T sudahi dengan pesanan dan perasaan yang penuh dengan kekesalan di hati. Katanya hebat bagaimanapun masakan kita, tidak jika tidak disuap ke mulut anak-anak dan suami…ia tidak bererti.

Ratna,
Sungguh, masakan ibu rupanya mampu menjalinkan perhubungan ibu dan anak. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dikenang oleh anak-anak suatu hari nanti. Ada ilmu yang boleh diturunkan menjadikan ia bermanafaat.

Salam sayang buat emak, adik-kakak dan semua ibu-ibu yang dirahmati Allah. Sudah tentu, mereka guru nombor satu!

- Rumah kecil di Jabal Ohud -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Muhassabah. Bookmark the permalink.

37 Responses to Lontarkan ego itu..

  1. ayuNajwaSyafiqa says:

    Assalam…

    Allhurobbi..sedihnya kisah “Kakak T”. semoga “Kakak T” dalam lindungan dan rahmat Allah, dihilangkan rasa susah dan duka di hati oleh Allah ..

    Buat Auntie Roza yang dirindui, Semoga Auntie sentiasa di dalam limpahan rahmat Allah -Selamat Hari Guru Auntie.. ilmu yang dicurahkan melalui buku-bukumu, akan sentiasa tersemat di hati -insyaAllah-

    Allahumma ameen.

  2. InaMus says:

    Ya Allah, sedihnya membaca luahan hati Kak T.. Semoga kita semua mendapat pengajaran daripada luahan hatinya..

    Buat Kak T, belum terlambat lagi.. Masih ada peluang dan ruang utk membetulkan keadaan, biarpun agak terlewat.. Teruskan perjuangan untuk menawan semula hati dan perut suami serta anak2.. Semoga Allah memberkati segala usaha yang Kak T lakukan..

  3. cikmanggis says:

    salam Pn Roza..saya faham perasaan Pn.T tu….Zaman telah banyak berubah makin jauh dari fitrah.Makan dikedai tidak ada hubungan mesra sesama keluarga.Jadi dari awal kita kena amalkan masak sendiri dirumah.Insyallah dari pengalaman sendiri,anak-anak lebih suka masakan “biasa-biasa” yang dimasak dirumah dari makan makanan “hebat” di luar..percaya lah……..

    suami tak sepatutnya membandingkan masakan ibu dengan masakan isteri…ada hadis yang mengatakan agar jangan mengecam/negatif dengan masakan yang dihidang apa lagi jika makanan itu dimasak oleh isteri sendiri….

    oh ya..pagi tadi saya baru dapat peluang membeli buku Bukan sekadar Resipi…terima kasih kerana berkongsi resipi dan perjalanan kehidupan Pn..Alhamdulillah..saya suka sangat buku tu….Semoga Pn sekeluarga sentiasa berada didalam rahmatNya…Amin.

  4. kmy says:

    Assalamualaikum wbt kekanda Roza,

    “Selamat Hari Guru jua buatmu kekanda…”

    Terima kasih kerana berkongsi…saya akan ambil iktibar & jadikan kisah ini sebagai pemangkin serta semangat untuk lebih rajin melayan suami & anak2.

  5. misi says:

    ia bukan sekadar resepi, ia adalah jainan kasih sayang…..

  6. supiahabu says:

    Assalamualaikum Pn Roza dan sahabat RKDJO

    Subhanallah……………..Allahuakbar………..tersentuhnya hati saya . terima kasih puan kerana berkongsi dengan kami. Saya percaya puan telah memberikan nasihat yang mujarab buat “Kakak T “,namun saya ingin berkongsi juga .Kakak T yang saya kasihi,perasaan yang adik miliki menurut kisah ini perlu dibuang terus seratus peratus. Masih banyak peluang yang allah berikan kepada kita setiap saat untuk menungkatkan ibadah kita kepadaNYA,lebih2lagi adik masih punya suami dan anak2. Saya yakin “Kakak T akan berusaha kearah itu.Barokallahufik.

  7. hzm says:

    Salam Sejahtera Pn Roza,

    Mudah-mudahan tempat Pn T di Jannah jua…

  8. Shelley ab Razak says:

    Salam Sejahtera buat Puan dan keluarga, semoga sentiasa didalam pemelihaarnNya.

    Terkedu sy membaca cerita Puan T…didalam hati sy berdoa semoga sy tak jadi macam tu. Ceritanya lebih kurang sama jer, bila kekangan masa dan kerja menjadikan sy pun tidak memasak dan jarang masuk ke dapur lg, hari2 biasa sy dan suami makan makanan yg dihantar oleh kakak sy,(catering) tetapi bila anak2 berkumpul, mereka akan bagi menu-menu tertentu yg mereka nk makan utk sy masakan, adakalanya suami menegur jugak “U kalau anak2 suruh masak, cepat jer u buatkan….” tersentap gak hati ni tapi suami faham keadaan kerja/tugasan sy seharian. Namun sy tetap bsyukur kepadaNya kerana, anak2 dan suami ada menu2 mereka yg mereka nk sy sendiri masakkan dan kerja semakin mudah kerana sy ada 3 orang anak dara, si bujang yg seorang tu pun sy ajar gak kerja2 rumah dan memasak yg simple2. Kesimpulannya, bila kt semakin berusia, kederat @ keupayaan semakin berkurangan yang ada hanya semangat yg berkobar2… Bila ada cerita2 seperti ini, menjadikan sy berkobar2 nk bersara awal, pertama utk menumpukan sepenuh masa memperbaiki diri dlm persediaan utk menemuiNya dan mengeratkan lagi kasih sayang bersama anak-anak dan suami…mudah2an Allah mengizinkan..

  9. Rozita - Shah Alam says:

    Assalamualaikum Roza,
    Semoga Roza sentiasa di dlm peliharaan Allah s.w.t di samping keluarga tercinta.. Selamat Hari Guru…drpd seorang kawan, kini Roza telah menjadi “guru” saya…insyaAllah byk ilmu yg saya peroleh melalui tulisan2 awak..
    Entah mengapa, membaca luahan ‘Kakak T’ airmata saya yg berjujuran tanpa dpt di bendung..!
    Syukur Alhamdulillah…sy juga pernah “cuti memasak” seketika… ternyata kasih Allah masih bersama saya…apabila anak2 mula tinggal di asrama, setiap kali pulang bercuti, mereka mula menagih hendak memakan itu & ini…Allah gerakkan hati saya belajar.. melalui buku atau bertanya teman2…saya cuba memenuhi setiap keinginan anak2… Alhamdulillah…syukur..kini memasak sudah menjadi kegembiraan saya…tak sabar nak mencuba resepi2 awak dalam BSR…:)
    Ya Allah…SubhanaAllah…tak dpt saya bayangkan andai ‘cuti memasak’ saya berkekalan dan saya melalui hari2 spt Kak T di usia bersara nnt..
    Buat Kak T, saya doakan beliau tabah mengharungi dugaan ini dan semoga beliau berjaya ‘mengetuk’ semula pintu hati suami n anak2 utk kembali menikmati ‘air tangan’ beliau…
    Sekali lagi Roza…terima kasih atas perkongsian yg sgt2 menyentuh hati..
    AllahuAkbar..

  10. mummy says:

    mohon share di facebook.

  11. Saenie88 rumah B10 says:

    Assalaam…sahabatku Roza,

    Subhanallah..sesungguhnya satu pengalaman yg patut dijadikan iktibar.Semoga Puan T tidak berputusharap mohonlah kpdNya sesungguhnya tiada yg terlambat selagi hyt dikandung badan.Sedangkan Rasulullah saw pernah berpesan sekiranya esok hari kiamat tanam lah benih pd hari ini.InsyaAllah Puan T…

    Buat Roza yg diingati teruskan lah perjuanganmu menjadi guru kepada segenap khalayak.Semoga dirahmatiNya,ameen.

  12. jas says:

    Pn Roza, ingat sya lagi ,perjumpaan di Masjid Nabawi menanti solat Isyak , amat bermakna bagi saya.
    Luahan hati Puan T sangat menyentuh hati para ibu terutama yg bekerja.Masakan yang mudah hasil tangan ibu seiring dgn kasih sayang adalah menu yang membuat anak2 rindu ……..

  13. mak iman says:

    kadang kala keadaan semasa menbuatkan kita sebagai isteri memilih jalan yg mudah. Kini tinggal berdua saja dirumah , kerja dari pagi , pulang kerumah selalunya dah 10 malam keatas, nak masak dah tak terlarat lagi kerana kepenatan, pemutusnya singgah kedai makan saja, namun suami dan anak saya masih mencuba pikat dan tambat kenangan selera mereka dgn cuba masak resepi baru bila ada kelapangan,tak mau jadi macam saya yg lebih ingat masakan kak ngah kesayangan “hebat dari biasa-biasa”dari masakan mak kerana mak sibuk berjualan dan tugas memasak kak ngah yang lakukan.

  14. Amna says:

    Assalamualaikum Pn Roza,

    Akhirnya terdetik ingin mencatatkan komen di sini selepas setahun saya mengikuti blog Prof Kamil dan Puan Roza. Tersentuh dengan kisah ‘Kakak T’, semoga beliau masih berpeluang memperbetulkan situasi ini. Alhamdulillah, setakat hari ini, saya masih gembira memasak untuk anak-anak dan suami. Namun belum bekesempatan mendapatkan buku Puan, mungkin tahun depan, bila kami semua pulang ke tanahair. Teringin sangat nak tengok buku tu dan isi kandungannya. Semoga ada peluang tu nanti.

    Salam dari Exeter UK

  15. sofea says:

    sedihnya baca kisah kak T…
    sedih amat2 sedih..
    Allah ya Allah
    kurniakan kami hidayahMu
    sinarilah kehidupan kami dgn cahaya kasih sayangMu

  16. sofea says:

    sedihnya baca kisah kak T
    sedih amat2 sedih…

    terima kasih puan ats perkongsian ini… ia amat berbekas di hati ini

  17. mahziah says:

    sayu dan sedih baca kisah kak T. semoga Allah merahmati beliau. Insya Allah masih belum terlambat. Saya telah lapan tahun menjadi surirumah sepenuh masa.. sebelum ini bekerja sebagai pegawai di Bank tempatan. Tak tahu la jika cara saya ni ok ke tak kerana dari hari isnin hingga ke jumaat saya akan memasak apa apa makanan kegemaran anak anak dan suami… tetapi bila hujung minggu iaitu sabtu dan ahad saya minta rest memasak 2 hari… termasuk sarapan…

  18. sue says:

    Salam;
    terima kasih untuk paparan kisah Kak T
    kita jadikan ianya satu pengajaran berguna.

  19. mum2h says:

    Salam,

    Saya pernah melalui peristiwa yang sama. Dikritik suami di awal perkahwinan. sering membandingkan masakan ibunya denagan saya. Tapi saya akui ada yang benar2 sedap tapi ada yang biasa saja. Tapi saya kuatkan semangat. mana masakan yang ibu mertua saya tidak pernah masak or mungkin biasa saja, saya cuba buat yang lebih baik. Macam2 resepi yang saya cuba termasuk dari internet, bertanya kawan2 yang mmg saya tahu masakan mereka sedap. mana yang memang kepakaran ibu mertua saya, saya belajar dari beliau. Siapa sangka dia ajar saya perkara mudah yang tidak pernah saya ambil berat iaitu membaca selawat dan berdoa agar makanan itu diberkati Allah. Alhamdulillah , banyak perubahan yang berlaku. Suami sudah mula menghargai masakan saya. Malah ada yang suami akui sama atau lebih baik dari masakan ibu dia.

    Macam mana penat pun saya cuba sediakan kecuali benar2 tak mampu. Insya Allah kalau niat kita ikhlas…masaklah apa pun pasti memikat hati mereka.

  20. nurindah says:

    Assalamualaikum puan roza,
    Moga puan roza dalam keadaan sihat selalu.
    Ya Allah, kasihannya kak T. Saya tidak tahu nak berkata apa. Kehidupan kita tidak sama, dan pastinya kak T sangat beruntung mempunyai suami yang menerima kak T seada dirinya. Ramai suami yang suka membandingkan isteri dgn orang lain, tidak hanya dengan ibunya. Itulah nikmat Allah, seorang suami yang setia dan mencintai diri kak T seadanya… Apa yang dah lepas, memang tidak boleh diulang lagi. Cinta bukan hanya diukur dgn masakan, tetapi belaian juga kasih-sayang yang bererti. Ada kelebihan kak T di situ… :)
    Saya juga pernah bersikap payah ditegur, tetapi saya akhirnya menerima satu istilah, “Willing to learn, willing to accept”. Berani belajar benda yang baru dan menerima kelemahan sendiri. Insya Allah, saya juga masih belajar…
    Salam ukhuwwah.

  21. amelia says:

    Assalam Pn Roza,
    Terima kasih kerana berkongsi cerita ini.
    Buat Kakak T, yakinlah belum terlambat untuk memenangi hati suami dan anak2… teruskan memasak dan berdoalah (bangun malam dsb mcm Prof selalu nasihat) insyaAllah….Allah maha mendengar.

  22. mnurulyaqin says:

    Assalamualaikum,

    Memang tersentuh dengan cerita Kak T, walau bagaimana pun, seperti juga pendapat yang lain, belum terlambat untuk melakukan perubahan diri dan keluarga Kak T – the secret – mohon lah keampunan dengan suami dan anak-anak, juga mohonlah dengan Allah, kerana setiap sesuatu adalah di dalam gengamanNya. Alhamdulillah disebalik kisah ini terselit rasa kesyukuran kepada Allah kerana walau pun didalam kesibukan yang berbagai seperti ibu-ibu lain yang bekerjaya, saya masih mampu menguatkan diri mengalahkan rasa penat dan letih untuk menyediakan masakan untuk suami dan anak-anak, walau pun hanya dengan menu ikan goreng dan sayur sahaja setelah balik dari bekerja, tetapi ikan goreng dan sayur yang dimasak sendiri tetap tak sama dengan yang di kedai. Disitulah letaknya keberkatan untuk keluarga apatah lagi jika diadun dengan doa-doa semasa menyediakan masakan itu. Wallahu a’lam.

  23. asiah says:

    Assalamualaikum pn roza dan keluarga…semoga sihat walafiat di bawah lindungan dan kasih sayang ALLAH SWT… terima kasih atas perkongsian nukilan yg amat berbekas di didalam diri sy..Insya ALLAH sy akan cuba gagahkan juga utk memasak utk anak2 sy…. sayang anak2 sy

  24. k.roza…cerita yang sungguh terkesan di hati…

  25. Rabbi zidni ilma says:

    Allahu ya Allah..saya ni pun ‘ada harapan’ jadi kakT nih..moga Allah hidayahkan kepada saya/kita kekuatan untuk membuat perubahan..Saya sering baca blog kakRoza dan Prof untuk ‘motivasi’ terutama dalam bab ikram (melayan /memuliakan orang/anak/keluarga/pasangan) ..terutama sekali bila badan penat…

    Kami mohon keampunanMu wahai Allah..

  26. hufaidah says:

    Assalamualaikum Puan Roza,
    Alhamdulillah pencarian saya pada buku puan berakhir semalam setelah suami membeli sendiri di pejabat Galeri Ilmu.Telah juga saya khatamkan pagi ini.Cuma bab resepi2 saya belum habis menuntutnya lagi.Terima kasih atas panduan berguna terutama buat ibu muda seperti saya yg memang dangkal ilmu masak memasak. Benar, garapan puan membuat saya tertawa untuk kisah kek coklat dan juga menangis buat nostalgia Allahyarhamah Yan. Terima kasih sekali lagi dan teruskan untuk pengajaran berguna buat kami.

  27. ZAM says:

    Alhamdulillah saya terbuka hati membaca blog puan roza. Sudah lama saya tak menjenguknya. Saya simpati dengan Puan T tapi masih ada masa untuk membetulkan keadaan dengan hati yang ikhlas. Saya juga banyak belajar dari perkongsian blog puan Roza. Semoga saya berupaya memasak dengan baik walaupun sentiasa dibandingkan dengan hasil masakan arwah ibu anak-anak saya…amin.

  28. Najwa says:

    Puan Roza,
    Cerita yg amat terkesan dihati.
    Mohon share di Facebook ya.
    Terima kasih

  29. ummumuhammad says:

    Terima kasih sangat2 atas entry Roza, akak betul2 terkesan, lebih kurang macam cerita akak jer, insyaallah akak cuba melakukan perubahan, nak masak hari2 untuk suami dan anak2 tercinta, memang air tangan ibu memang akan dikenang sampai bila2..

  30. mdm choc says:

    Allahuakbar…..sedihnya baca cerita kak T tu….thanks Roza…..menjadi satu peringatan pada diri ini…..semoga Allah berkati dan lindungi Roza, kak T dan ibu-ibu yang lain….

  31. sue says:

    entry yang terkesan. tq for sharing! mudah-mudahan ia menjadi pengajaran yangbaik buat saya. buat Pn T. insyaAllah, masih ada peluang, jangan putus asa!. doa selalu..

  32. nina says:

    salam…terharu baca kisah Puan T…mudah-mudahan terus berusaha utk membuat imrpovement…Insyaallah, sentiasa ada ruang selagi kita mahu…saya juga pernah menghadapi situasi yg sama, di bandingkan makanan yg dimasak dgn ibunya, awal2 saya memang sedih, tension sgt….tapi alhamdulillah, saya pikir positif jadi apa yg saya buat, cool kan diri sendiri dulu, kena faham yg selama 27 tahun dia dok makan air tangan ibunye…then bila kawin dgn saya, tak mustahil la dia kalau bole nak sama ngan apa yg dia dah rasa selama ini…initiatif saya, saya tanya mak mentua…mcm mana dan apa cara yg dia buat utk masak lauk yg hubby suka tu…pd saya, itu salah satu cara yg nak tunjuk kt hubby bahawa saya berusaha, tapi at the same time saya explain kat dia, yg mcm mana perfect pun saya cuba, mungkin takkan sama 100% dgn hasil masakan maknye…hubby kena cuba faham ini…alhamdulillah, bila ada kerja sama dan tolak ansur, komunikasi lebih mudah, dan semua rasa gembira. tapi seboleh mungkin saya cuba masak jika ada di rumah…betul, air tangan seorang ibu sgt berharga…sekarang anak sy yg sulung pun dah cuba tunjuk skill, nak masak mcm umi ..katanya :) yg penting, bukan panadai atau tidak…tapi hendak atau tidak :) …wassalam

  33. ummiIyad says:

    assalamualaikum.
    saya memang mengikuti coretan puan dari dulu lagi tapi tak pernah meninggalkan sebarang komen. Tapi cerita entri kali ini sangat menyentuh hati . Saya rasa sangat bersyukur membacanya kerana yakin satu hari nanti penat lelah kita sekarang akan menjadikan kita sentiasa ada dalam hati anak2 kita walaupun kita telah tiada lagi. Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita.

  34. Munawwarah says:

    Asslm…sstu yg sdg Saya alami…sy akui sdg berusaha supaya tidak br kecil hati dgn anak Dan Suami..doakanlah.amin

  35. Anonymous says:

    salam..Puan Roza…
    memang tersentuh hati baca kisah Kakak T, harap beliau bersabar dan memohon doa byk2 agar dibuka kembali pintu hati suami dan anak2 kembali merinduai masakan beliau…berdialah hanya kepadnya kita berserah….Terima kasih Puan Roza dgn buku yg disajikan ….dan coretan nasihat yg tak putus..terima kasih atas perkongsian ini walaupun bukan selalu tapi yg sentiasa dicoretkan sungguh bermakna!terima kasih!

  36. mama says:

    Assalamualaikum..

    Marilah sama-sama kita sebagai isteri amalkan selawat zikir dan doa dalam masakan kita….

  37. Sue says:

    cerita saya dan kak t ada persamaan..cuma sy masih muda dan anak2 masih kecil..sy suka memasak, baik resepi apa pon sy mmg minat mencuba. alhamdulillah anak2 menerima..tetapi malangnya tidak untuk suami saya. selain mengharapkan masakan saya sama seperti masakan ibunya, dia juga sangat cerewet. pernah dia menjamah sesudu dan kemudiannya terus ditinggalkan kerana tekaknya tidak boleh menerima..tak cukop dengan itu, dibandingkan masakan saya dengan masakan kedai yang pada saya so-so saja rasanya. saya tak berpuas hati, masakan yang sama saya simpan dlm peti ais dan dibawa ke ofis pada keesokan harinya, niatnya adalah untuk kawan2 pula merasa. ternyata kawan2 berkata “kalau buka kedai ni, pasti kaya, sedap”. saya hairan kerana kawan-kawan lebih menghargai saya berbanding suami. Sudah hampir 8tahun kami bersama, tak lebih 10jari pujian yang saya dapat daripadanya. tetapi saya tetap ‘hati kering’. masih terus memasak untuknya dan juga anak2. walaubagaimanapun, sejak akhir-akhir ni, saya sudah mula patah semangat. saya takut untuk masak. takut untuk dikritik dan takut untuk terus rasa seolah2 diri ini dihina. saya risau perasaan ini akan terus berpanjangan..

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>