Nasihat seorang ibu

Menemui adikku Ratna, sanak saudara serta rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga di dalam kasih sayang dan rahmat Allah sentiasa.

Ratna,
Alhamdulillah, kami tidak kesunyian di Madinah. Ramai tetamu Allah yang sudi mengunjungi ke rumah kecil kami di Jabal Uhod. Rumah kecil kami kosong sahaja, tanpa perabot apatah lagi hiasan dalaman. Namun kami berbesar hati menerima kehadiran mereka.

“Silalah haji dan hajjah..silakan duduk bersila.”

Kami berseloroh. Bagaimanapun bagi tetamu yang sakit lutut, ada sofa terpakai pemberian ikhlas dari seorang rakan tempatan, untuk digunakan. Malukah kami dengan keadaan begitu? Tidak..itu sahaja yang kami ada.

Pernah juga terlintas di hati kecil untuk memenuhkan ruang tamu dengan perabot yang sepatutnya. Terutamanya apabila diakhir pertemuan kami dihulurkan dengan sekeping kad perniagaan. Lalu, dengan rendah hati kami nyatakan;

“Allahu Akbar..mohon maaflah Tan Sri, Puan Sri, Datuk, Datin, Yang Mulia, Yang berhormat, Professor, Dr…”

Benar, bukan salah mereka. Kekok mereka duduk bersila kerana tidak biasa. Canggung makan di dulang kerana bukan kebiasaan.

Ratna,
Dalam ramai-ramai jemaah yang datang menunaikan umrah, kak Ngah terkesan dengan sesaorang. Wajah mereka penuh keibuan. Tuturkata mereka penuh santun, nada perlahan. Wajah manis sentiasa melontarkan senyuman. Siapa memandang pasti tertawan.

Salah seorang dari mereka berkata;

“Ketiga-tiga anak kami perempuan.”

Semasa anak-anak mereka bersekolah di asrama penuh, jika ada permintaan, ibu itu akan memasak lalu menghantar makanan ke asrama. Tambahan pula jika anak-anak tidak dapat pulang ke rumah.

“Kami membawa bekalan makanan dan makan bersama mereka. Bayangkanlah jika mereka berada di lokasi yang berbeza.”

Seorang ibu lagi berkata;

“Itulah satu-satunya anak perempuan kami. Berbanding dengan abang-abangnya, dia paling terserlah dalam pelajaran.”

Akhirnya, anak-anak mereka semuanya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi hingga ke luar negeri. Mereka bertemu jodoh pasangan yang berjawatan tinggi. Lalu, setelah beberapa tahun berumahtangga, anak-anak mereka “terpaksa” mengikut suami masing-masing yang ditugaskan bekerja di luar negara. Mereka “terpaksa” bercuti bekerja tanpa gaji.

“Rumah dan kereta mereka di luar negara…masya Allah.Sangat bergaya.”

Tetapi akhirnya mereka berkata;

“Puan, anak perempuan kami sudah bertahun-tahun cuti bekerja tanpa gaji. Lalu, sebagai ibu saya cuba menasihati agar mereka meletakkan jawatan sahaja. Gaji suami mereka sudahpun memadai. Lihat sahaja segala kelengkapan rumah yang serba mewah.”

Dan mereka mengakhiri dengan nasihat agar dipertimbangkan oleh anak-anak perempuan;

“Kami katakan kepada mereka, lebih elok letaklah jawatan kerana ia menyusahkan majikan. Majikan kekurangan tenaga pekerja sedangkan ianya tidak boleh diisi kerana jawatannya ada tetapi tenagakerjanya bercuti tanpa gaji.”

Ratna,
Dalam diam kak ngah memandang ibu-ibu itu dengan penuh kekaguman. Tiada apa lagi yang perlu dibuktikan oleh si anak. Ibubapa sudah berbangga dengan kejayaan mereka. Bagi ibu, kejayaan sebenar anak-anak apabila melihat mereka bahagia di alam rumahtangga.

Allah..Allah ya Allah. Mampukah kita melakukan seperti apa yang telah emak lakukan kepada kita?

Sekian, salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>