Alahai, cepatnya dia pergi…

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga di bawah lindungan kasih sayang dan rahmat Allah sentiasa,

Ratna,
Masjid Nabawi semakin sesak! Malah semakin banyak kelihatan telekung putih di dalam Haram. Itu petanda musim jemaah Malaysia menunaikan umrah telah tiba. Bukan tidak ada yang mengerjakannya sebelum ini..ada. Tetapi, boleh dikira dengan jari.

Beberapa hari yang lalu, barisan saf hadapan mula dipenuhi dengan warna-warna putih yang agak seimbang dengan warna-warna hitam. Alhamdulillah! Semangat jemaah Malaysia ternyata kental untuk berada di saf-saf hadapan. Bagi mereka yang belum ke sini..barangkali sukar untuk membayangkannya.

InsyaAllah, berdoalah sesungguh hati agar Allah memberikan rezeki kewangan, kesihatan dan kelapangan masa. Yang paling penting berdoalah agar Allah menjemput kita menjadi tetamuNya.

Kak Ngah sentiasa berdoa agar dapat berjumpa adik-beradik, ipar duai, saudara mara, rakan-rakan lama dan rakan alam maya di sini. Ya, di bumi Madinah ini! Seronok rasanya jika kita nanti dapat berpelukan disaksikan oleh Masjid Nabawi. Nanti kita akan berkata;

“Alhamdulillah! Akhirnya kita dapat berjumpa..”

Biarlah walau hanya seketika. Memang yang datang pasti akan pergi. Namun, ia berbekas di hati.

Dan..kami sekeluarga yang ditinggalkan di Madinah diam-diam berkata dalam hati,”Alahai, cepatnya dia pergi..”

Ratna,
Sudah beberapa kali kami disapa oleh jemaah Malaysia ketika duduk sebaris di saf yang sama. Rupa-rupanya ramai jemaah wanita yang datang sendirian. Mereka datang dalam tiga keadaan.

Pertama, datang bersama anak-anak mereka.
Kedua, datang sendirian kerana belum berpasangan.
ketiga, sendirian kerana sudah berpisah dengan pasangan samada hidup atau sudah kembali menemui Illahi.

Kebanyakannya yang kak Ngah jumpa adalah keadaan ke dua dan ke tiga. Allah..Allah..ya Allah. Asalnya mereka hanya bertanyakan khabar.

Akhirnya kak Ngah mengerti luahan isi hati. Kebanyakan mereka datang dari jauh, membawa doa penuh harapan dan hasrat hati yang mendalam.

“Puan, sudah bertahun-tahun saya berdoa untuk bertemu dengan pasangan jodoh yang sesuai. Allahu Akbar, usia sudah tidak lagi muda, kami semakin dekat dengan usia bersara.”

Dan yang lebih menyayat hati apabila ada wanita muda yang berbisik perlahan sambil mengalirkan air mata.

“Puan, suami saya pergi bagaikan sekelip mata. Baru tiga tahun usia perkahwinan kami. Dia kembali kepadaNya dengan meninggalkan saya bersama seorang bayi. Bayangkan bagaimana saya harus mengharungi hidup sendirian selagi ada hayat di kandung badan.

“Setiap kali saya menguruskan sesuatu urusan, saya terkenangkan dia. Selama ini dia yang menguruskan segalanya. Apabila kereta saya kehabisan minyak atau terhenti di tengah jalan, saya terkenangkan dia. Biasanya dia yang akan menguruskannya.”

“Saya tidak boleh memandang seorang bapa yang bergelak ketawa dan bergurau senda dengan anak-anaknya. Saya terkenangkan dia..”

Allah..Allah..ya Allah, dalam mana-mana keadaanpun mereka mengakhiri dengan ungkapannya;

“Alahai, cepatnya dia pergi…”

Ratna,
Ternyata benar seperti yang termaktub di dalam quran yang menyatakan sesungguhnya hidup di dunia ini bagaikan sehari sahaja. Tidakkah kita mendengar kisah beberapa pemuda beriman yang tertidur di dalam gua bersama anjing mereka? Apabila dibangkitkan, mereka merasa bagaikan tertidur seharian. Bahkan sebenarnya zaman mereka telah berlalu pergi 300 tahun lamanya..

Bukankah itu tanda-tanda kekuasaan Allah Subhanawatala?

Jadi, hayatilah hidup ini untuk hari ini. Esok, belum pasti kita akan bernafas lagi. Jangankan esok, entah-entah malam ini kita akan pergi. Jangankan malam ini, sebentar lagipun kita tidak tahu apakah yang bakal berlaku.

Bersedialah sentiasa untuk menghadapi saat-saat kita kehilangan masa itu. Jangan nanti kita terasa masa itu cepat berlalu. Nanti kita akan di tanya apa yang telah kita lakukan dengan masa dan usia yang dipinjamkan. Ingatlah! Garisan permulaan sudah semakin jauh kita tinggalkan. Jangan pula menyesali dengan mengungkapkan kata-kata ini;

“Itu cerita semalam. Alahai, cepatnya dia pergi…”

Sekian.

- Rumah kecil di Jabal Uhod-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Muhassabah, Umrah. Bookmark the permalink.

17 Responses to Alahai, cepatnya dia pergi…

  1. ummumuhammad says:

    Semoga Puan Roza dibawah rahmatNYA.

    Saya teringat kembali kata-kata Sdr Pahrol Mohd Juoi di radio IKIM ptg semalam. Hidup ini adalah ujian, Allah mendatangkan ujian yang pelbagai untuk mengetahui sejauh mana tahap kesabaran dalam kehidupan kita. Kita belajar dari universiti kehidupan dan akan menentukan tahap kematangan kita. Ramai dikalangan wanita sering mengatakan ujian yang paling besar dan tidak akan sanggup dihadapi ialah bila suami menyatakan keinginan untuk menambah cawangan.. tapi bila ditanyakan kepada wanita yang diberi ujian dengan penyakit kanser, mereka mengatakan lebih baik berpoligami dari ditimpakan dengan ujian penyakit kanser ini. Semoga kita dikurniakan ketabahan setiap kali diberikan ujian olehNYA..

  2. supiah says:

    As Salam Puan, keluarga dan rakan-rakan sekelian,
    Memang terasa apabila suami pergi mengadap Allah buat selama-lamanya. Mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan, kerana sebelum ini semua urusan beliau yang uruskan…..

  3. linda says:

    Saya menangis membacanya…terharu…lebih terharu kerana tdk sempat berjumpa Puan Roza lewat kunjungan saya minggu lepas,semoga Puan Roza dan keluarga selalu dlm rahmat ALLAH hendaknya.Wassalam

  4. Aneeqa says:

    Assalam puan Raudzah, prof dan anak anak,

    semuga sehat sejahtera bersama keluarga.

    Semuga kita tabah dalam mengharungi apa juga ujian Allah. Semuga dengan ujian yang di hadapi dariNYA menjadikan kita lebih bertaqwa kepadaNYA.

    Jazakaullah

  5. kak nor asiah hashim says:

    assalamualaikum Pn Roza sekeluarga, semoga kita sentiasa dlm limpahan rahmat Allah.
    ‘Alahai cepatnya dia pergi’….. terima kasih atas ingatan yg sangat mendalam maksudnya dan sgt memberi kesan kpd kak yg telah lama meninggalkan garis permulaan…. Allah Allah Ya Allah

  6. idah says:

    “Setiap kali saya menguruskan sesuatu urusan, saya terkenangkan dia. Selama ini dia yang menguruskan segalanya. Apabila kereta saya kehabisan minyak atau terhenti di tengah jalan, saya terkenangkan dia. Biasanya dia yang akan menguruskannya.”

    salam semua,
    ya kita boleh jadi isteri solehah tanpa 100% bergantung pada suami hingga minyak kereta pun suami kena isi.
    islam itu dinamik,wanita solehah itu dinamik.

  7. hzm says:

    Salam Sejahtera Puan Roza

    Timbul pertanyaan di hati saya, Adakah si suami juga akan berkata “Alahai, cepatnya dia pergi…” bila kematian isteri?

  8. Zaidah says:

    Salam sejahtera , saya doakan agar Roza sentiasa dalam lindungan kasih sayang Allah. Saya juga berdoa moga kita ditemukan Allah semula di Madinah atau di Malaysia, jika boleh bertemu semula di Jannah Firdaus. Cepatnya dia pergi……Masya Allah, ujian yang dihadi ada kalanya berat dipikul, tapi setiap kali menghayati Surah Rahman, saya mohon keampunan Allah, begitu banyaknya nikmat yang dilimpahi kepada saya oleh Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang……walaupun hilang pasangam di dunia, saya berusaha metaih cinta abadi yang hanya milik Allah semata2, mudah2an dengan cinta dan belas kasihan Allah, sudah cukup bagi saya di dunia ini dan lebih2 lagi di akhirat, kerana di sana nanti, apa sahaja cinta kita di dunia tak pasti mengiringi kita…..terimgatkah kisah Rabiatul Adawiyah, wanita hebat yang mengabdikan diri buat Allah swt……

  9. Sariah.. says:

    Salam…saya pernah merasainya…ketika arwah pergi anak saya yg ke 7 berumur lapan bulan, saya tidak bekerja…pada Allah saya berserah. Saya tidak punya ibu bapa atau adik beradik…tapi Allah Maha Adil….

  10. supiahabu says:

    Assalamualaikum Pn Roza & Sahabat RKDJO

    Semoga Pn Roza,adinda Ratna dan sahabat semua dalam lindungan Allah setiap masa. Aminn Ya Rob……
    Sesungguhnya UJIAN Allah itu berbagai,terpulang pada kita untuk mentafsirkannya.Sesungguhnya janji Allah itu benar,disebalik kesakitan itu banyak nikmat menanti. Allah tidak membebankan kita kecuali sesuatu yang kita mampu memikulnya. Ujian Allah adalah bukti kasihnya kepada kita. Wallahu ‘aalam

  11. Nikmat mana yang mahu didustakan…yatie pergi dengan izin suami…
    “betul, saya jumpa no 2 dan no 3 juga…MasyaAllah”

  12. Assalam…

    Semoga Pn Roza dan keluarga sentiasa dalam berkat Allah..
    Hati begitu tersentuh apabila membaca N3 ini…
    Rindu kat arwah mak dan abah…
    Semoga roh keduanya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama org2 yg beriman…
    Aamiin….

  13. Sahabat dari Segamat says:

    Usah ditangisi pemergiannya sekiranya kewujudannya tidak dihargai.
    Terasa hati ini belum bersedia untuk menghadapi peristiwa yang pastinya akan berlaku.

  14. saenie88 RumahB10 says:

    Assalam sahabatku Roza…
    Sesungguhnya segala sesuatu itu adalah pinjaman semata-mata.Tiba masanya ia akan kembali kpd Yg Maha Mencipta.Sebagai hamba,kita hanya mampu bersabar dan redha dgn ketentuan yg telah tersurat.
    Dgn mengingati kita masih punya Allah pasti akan mengubat hati yg lara.Tiada yg kekal melainkan Allah.
    Subhanallah,Alhamdulillah,AllahuAkbar!

  15. Anonymous says:

    Salam K.Roza..
    Terima Kasih atas nasihat K.Roza..Walau seketika kita bertemu di Masjid Nabawi tapi nasihat yg diberi amat dihargai..Alhamduliliah..semoga hijrah ini berterusan..

  16. Noram.noor says:

    Assalamu’alaikum….Pn. Roza dan keluarga…semoga dirahmati Allah.
    Saya terkesan membaca entri ni. Saya juga diuji Allah dgn kehilangan suami 5 tahun lalu. Anak-anak masih kecil . Saya berkesempatan mengerjakan umrah bersama suami sblm arwah meninggal. Bila terkenangkan semua kenangan bersama arwah….Allah ya Allah….rasa berat sungguh ujian yg Allah beri. Tapi…Allah Maha Adil, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani Hambanya….ujian Allah yg menimpa datang bersama hikmah yg tidak pernah terduga….

  17. liza b.beruntung says:

    saya baru enam bulan kehilangan suami .ia memang terlalu menyakitkan.namun kita harus pasrah ,kerana allah pasti akan mengambil setiap apa yang dia pinjamkan pada kita

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>