Jika panjang umur..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini, InsyaAllah.

Ratna,
Semalam merupakan hari terakhir kak Ngah berjumpa dengan rakan-rakan kumpulan halaqah di masjid Nabawi. Seperti biasa kami berpeluk-peluk arab sambil bersalaman setiap kali berjumpa. Mulut masing-masing sibuk bertanya-tanya khabar. Inilah perkataan bahasa arab yang mula-mula kak Ngah pelajari dan masih digunakan sehingga ke saat ini.

“Assalamualaikum. Khaifa haluk? Taiybah..?”

“Alhamdulillahirabil alamin..khaifa anti?”

“Alhamdulillah..Alhamdulillah. Taiyb..”

Setelah hampir setahun berpeluang menghela nafas di bumi Madinah ini, rupa-rupanya itulah satu-satunya perkataan umum yang kerap digunakan. Walaupun pertama kali atau setiap kali berjumpa.

“Tahukah kamu apa perkataan umum yang digunakan jika kamu berada di United Kingdom?” kak Ngah pernah bertanya pelajar di dalam kelas.

” How’s the wheather like there? Or nice wheather yea,” salah seorang menjawab. Barangkali dia biasa ke luar negeri.

“Tahukah kamu apakah ucapan umum jika bertemu dengan rakan berbangsa China?”

Mereka mengeleng-gelengkan kepala.

“Tanyalah kepada mereka : Kamu sudah makan ke belum?”

Mereka tertawa. Begitulah bagaimana Allah menjadikan manusia ini dengan pelbagai bahasa dan perbezaan budaya untuk kita saling kenal-mengenal. Bukankah di situ ada tanda-tanda kebesaran Allah?

Mereka yang beriman memberi salam sesama mereka sebagaimana ucapan penghuni syurga. Tetapi bagi yang tidak diberikah hidayah Allah, mereka bertanyakan apa yang berlaku pada hari itu atau perkara yang bersifat sementara.

Tidakkah kita mahu bersyukur ditakdirkan dan dilahirkan sebagai seorang Islam?

Ratna,
Kelas halaqah sudah hampir sampai ke hujungnya. Ramai abla yang sudah menamatkan kelas lebih awal lagi. Kumpulan-kumpulan halaqah yang biasa kedengaran membaca al-quran kini semakin berkurangan. Esok adalah hari terakhir kak Ngah bersama mereka.

Allah..Allah ya Allah. Dalam diam kak Ngah sujud penuh kesyukuran. Tidak pernah termimpi yang Allah memberi peluang sebesar ini – dapat duduk bersimpuh bersama-sama mereka di masjid nabawi ini bagi mengaji quran. Belajar sebutan huruf pada makhraj yang betul. Mempelajari tajwid agar dapat membaca dengan tartil. Padahal suatu masa dahulu kak Ngah sudah redha untuk membaca quraan dengan keadaan merangkak-rangkak seperti itu.

“InsyaAllah, kami sekeluarga berada di Malaysia sepanjang bulan Syaaban dan kembali dipertengahan Ramadhan.”

Kak Ngah memberitahu mereka dengan penuh susah payah di dalam bahasa arab. Subhanallah! Anehnya mereka faham! Kak ngah katakan lagi;

“InsyaAllah, jika panjang umur kita berjumpa lagi..”

Ratna,
Esok juga adalah merupakan hari terakhir peperiksaan akhir bagi semester musim ini. Kertas akhir merupakan subjek yang diajar oleh kak Ngah. Awal-awal lagi koordinator kursus sudah menghantar e-mail;

“Mohon ambil perhatian. Laporan keputusan peperiksaan akhir harus di hantar dalam masa 24 jam.”

Mahu rasanya kak Ngah menjawab,”InsyaAllah, jika panjang umur..

Allahu Akbar! Terasa cepat masa berlalu. Malah ianya semakin terasa apabila kita telah sampai kepenghujungnya..

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Halaqah al-qur'an, Muhassabah, Taibah Universiti. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>