Raudhah di hatiku..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga di dalam rahmat Allah sentiasa.

Ratna,
Semalam selepas sembahyang subuh kak Ngah memohon izin dari abang Ngah untuk beritikaf lama di Raudhah. Kak Ngah tahu abang Ngah masih ada urusan yang belum selesai di universiti. Jadi pagi-pagi lagi dia mahu ke sana bagi menguruskan exit visanya dan visa ziarah bagi emak yang [InsyaAllah] datang ke Madinah Ramadhan nanti.

“Yang, sementara awak berurusan di pejabat, biar saya di Raudhah. Telefon saya setelah awak selesai.”

Dan abang Ngah bersetuju.

Semalam, abang Ngah menghantar kak Ngah sekitar pukul 8.00 pagi ke masjid Nabawi. Masuk dalam keadaaan tergesa-gesa kerana bimbang terlepas dengan kumpulan jemaah Malaysia yang akan di bawa ziarah ke makam Rasulullah SAW dan ke Raudhah.

Alhamdulillah, Kak Ngah dapati kumpulan jemaah Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura di letakkan dalam satu kumpulan dalam kategori BAHASA MELAYU – masih berkumpul di situ. Mereka mudah dikenali. Lalu, kak Ngah menjadi seperti seekor bebiri hitam di dalam kumpulan bebiri putih bersih.

Kumpulan dalam kategori BAHASA MELAYU ini kelihatan tertib, duduk dan tunduk penuh tawaduk. Mereka mudah di bentuk, akur dengan arahan malah tidak melawan.

“Pakistan, India…ziarah. Ziarah!”

“Iran..Iran. Ziarah! Ziarah!”

Terdengar kumpulan mereka di panggil masuk ke dalam. Mereka pergi dalam keadaan tergesa-gesa, berkejar-kejar dan berlari-lari. Dan kumpulan BAHASA MELAYU masih menunggu dengan penuh kesabaran. Lalu, sementara menunggu kak Ngah mulakan dengan solat sunat tahyatul masjid, kemudian solat Dhuha dan solat sunat banyak-banyak. Sebentar kemudian;

“BAHASA MELAYU..masuk ibu! Ziarah! Ziarah ke Raudhah ibu..”

Kumpulan kami mula bergerak masuk ke dalam. Namun, ia bukanlah terus ke Raudhah. Hanya perhentian ke 2. Kami diminta duduk menunggu lagi. Di dalam ada beberapa kumpulan sedang menunggu di beberapa sudut yang berbeza – kumpulan ARAB dan IRAN. Kumpulan Pakistan dan India sudah berada di kawasan Raudhah.

“Ibu-ibu sekelian…mulakan memberi salam kepada Rasullulah SAW dari sini. Itu mimbar dan disebelah kiri adalah makam Rasulullah SAW serta sahabat. Kemudian bacalah doa dari buku panduan Umrah. Berdoalah banyak-banyak. Sesiapa yang belum solat Dhuha, bersolatlah dahulu di sini.”

Allahu Akbar. Seorang mutawif dari Indonesia memberi taklimat kepada jemaah yang dibawanya. Sementara yang lain, ada yang membaca doa dari buku panduan, ada yang membaca quraan, ada yang solat sunat dan kebanyakan mereka hanya duduk bertafakur. Barangkali mereka berzikir di dalam hati. Lalu, kak Ngah mengambil kesempatan melakukan solat sunat banyak-banyak dan berdoa;

“Ya Allah ya Tuhanku..Daku ingin beritikaf lama di Raudhah. Berikan daku tempat yang paling mustajab untuk daku beribadat di sana. Daku ingin khusyuk dan aman dari gangguan ya Rabbilalamin.”

Kuasa Allah, kak Ngah digerakkan hati untuk bangun dan melangkah beberapa tapak keluar dari kumpulan. Lalu, seorang pengawal wanita melambai-lambai kak Ngah ke arah kumpulan ARAB.

“Hina..hina ya Hajjah. Saudi Arabia, hina..!”

Tanpa berlengah kak Ngah meluru pergi ke kumpulan tersebut. Kami menunggu di hentian ke 3, bertentangan dengan mimbar. Kumpulan ARAB ini kebanyakannya tunduk tawaduk dan mereka berdoa tanpa mengangkat tangan. Sebentar kemudian, kumpulan Pakistan dan India di minta pergi. Lalu, kumpulan ARAB mengambil tempat.

Kak Ngah terus menuju ke bahagian kiri, susur di bahagian makam Rasulullah SAW dan sahabat. Memberi salam kepada baginda dan menyampaikan salam dari sanak-saudara serta sahabat-sahabat yang berkirim salam. Kaki terus melangkah ke bahagian hadapan. Keadaan agak sesak, namun masih ada ruang untuk ke hadapan. Sebentar sahaja kak Ngah sudah berada di saf ke dua. Seorang jemaah sedang bersolat. Kak Ngah menunggu di belakangnya.

Barangkali dia solat sunat 2 rakaat dan ditambah 2 rakaat lagi. Usai solat, dia memberi laluan. Segera kak Ngah solat sunat 2 rakaat. Kak Ngah berdoa panjang ketika sujud sebelum memberi salam.

Kak Ngah berkira-kira mahu pergi, namum apabila menoleh ke belakang ramai jemaah yang sedang khusuk bersolat. Tiada siapa menunggu. Lantas, kak Ngah terus solat sunat lagi dan lagi dan lagi. Akhirnya, kak Ngah memberi laluan kepada lain.

Ratna,
Waktu itu menunjukkan pukul 9.30 pagi. Kak Ngah fikir, abang Ngah mungkin masih lagi berurusan. Lalu, kak Ngah membuat U-turun. Keluar dari Raudhah dan masuk semula ke kawasan kumpulan BAHASA MELAYU. Mereka masih sabar menunggu. Usai jemaah dari IRAN, kumpulan BAHASA MELAYU di panggil duduk di hentian ke 3.

Mereka menunggu lagi. Ada yang sudah resah dan mula berbual-bual. Barangkali separuh perasaan sudah reda apabila mula terpandang mimbar dan sebahagian dari makam Rasulullah SAW. Satu jam kemudian kumpulan BAHASA MELAYU di panggil masuk ke kawasan Raudhah.

“Ibu..ke kiri ibu. Ke kiri..”

Pengawal wanita memberi arahan. Kumpulan jemaah ke arah itu. Rupa-rupanya jemaah IRAN dan sedikit jemaah Pakistan masih ada lagi tertinggal di situ. Jemaah IRAN berbaris di sepanjang laluan makam, tangan mereka mengusap-usap tiang, dinding makam dan apa jua yang ada disekitarnya sambil meratap berhiba-hiba. Sementara pengawal wanita menghalang-halang perlakuan mereka. Pengawal wanita yang lain memberi arahan kepada kumpulan BAHASA MELAYU.

“Ibu..Ibu, masuk ibu! Situ Raudhah..ke depan Raudhah!”

Namun, tidak ramai yang berani kerana keadaan sangat sesak. Masing-masing marah-marah kerana jemaah dari negara lain bertolak-tolak dan tidak mahu pergi, sedangkan giliran mereka sudah tamat.

“Ya Allah, ada lagi IRAN di sini. Bukankah sekarang giliran kita?”

“Allah, ramainya…cukuplah kita berdoa sahaja di sini. Kita solat di luar.”

“Eh! Jangan tolak-tolak!”

Ratna,
Memang suasana sesak. Namun, jika kita tumpukan perhatian, berselawat dan berdoa serta bergerak perlahan-lahan..InsyaAllah ada laluan. Dalam bertolak-tolak, InsyaAllah, kita akan tertolak ke hadapan.

Dan kak Ngah menunggu beberapa jemaah IRAN yang masih bersolat sedangkan pengawal wanita sudah beberapa kali meminta mereka pergi. Mereka bersurai, kak Ngah mengambil tempat. Di kiri kanan terdapat beberapa jemaah Indonesia yang turut bersolat sunat di saf hadapan.

Usai solat sunat 2 rakaat, kak Ngah menarik jemaah dari Indonesia yang sedang menunggu agar mengambil tempat. Kemudian, kak Ngah menarik seorang lagi rakannya yang agak terkebelakang.

“Ibu, kemari. Tunggu di belakang jemaah ini. Usai dia memberi salam, ibu minta untuk mengambil tempatnya.”

Dia mengangguk dan mengalirkan air mata. Kak Ngah cuba keluar, namun tersekat di saf kedua. Lalu, setiap kali terpandang jemaah BAHASA MELAYU, kak Ngah tarik tangan mereka. Meletakkan mereka agar menunggu di belakang jemaah di saf pertama.

“Hajjah, tunggu di belakangnya. Usai dia memberi salam, ambil giliran. Hajah kena beritahu kepadanya ..kalau tidak dia akan sambung solatnya 2 rakaat lagi.”

Dia mengangguk dan mengalirkan air mata. Bagusnya jemaah BAHASA MELAYU, mereka hanya solat sebentar dan memberi laluan kepada yang sedang menunggu. Kak Ngah masih tersekat di situ. Jika jemaah sudah usai, tempatnya ditinggalkan kosong..lalu kak Ngah mengisi kekosongan itu. Usai solat, kak Ngah toleh ke belakang dan menarik mana-mana muka dari kumpulan BAHASA MELAYU.

Akhirnya..apabila kak Ngah menoleh ke belakang. Sudah tiada siapa lagi yang menunggu. Masing-masing dari kumpulan pakaian jubah hitam yang sedang khusyuk bersolat. Dan kak Ngah solat sunat lagi dan lagi dan lagi. Sehingga akhirnya, di saf pertama di Raudhah itu sudah tiada sesiapa. Apabila kak Ngah mengangkat kepala untuk menyudahkan tahiyat akhir, hanya yang kelihatan pengawal wanita dan cleaner.

“Khalas? Hajjah…khalas.”

Alhamdulillah. Kak Ngah melangkah pergi sambil menjeling ke arah jam dinding yang tersangkut di situ – pukul 11.30 pagi. Lalu, dalam hati terdetik,

“Allah ya Allah. Sungguh, Allah maha mendengar. Terima kasih Allah kerana memberikan ruang untuk daku beritikaf lama di Raudhah sebagaimana yang dimahukan.”

Allahu Akbar! Rupanya ada baiknya jemaah BAHASA MELAYU diberikan giliran akhir sekali. Pertama, agar jemaah yang kasar-kasar tubuhnya dan kelihatan tidak sabar..biar usai segera. Lalu, jemaah BAHASA MELAYU yang sangat sabar dan bertenang boleh beribadat dengan lebih aman.

Kedua, giliran kumpulan BAHASA MELAYU sebenarnya yang terakhir. Jadi, banyak ruang dan masa yang aman di Raudhah. Cuma…kita hanya perlu bertahan bagi 30 minit pertama. InsyaAllah.

“Allah..Allah ya Allah. Barangkali itu ziarahku ke Raudhah buat kali ini. Namun, jangan jadikan ia yang terakhir ya Rabbi. Jemputlah kami lagi. Jemputlah kami lagi dan lagi. Sungguh, ia berbekas di hati.”

Ratna,
Sekian sahaja buat kali ini. Barangkali ini coretan yang terakhir dari kak Ngah di Madinah al-Munawarrah. InsyaAllah, kita bertemu di Malaysia.

Salam sayang dari kami.

- Rumah kecil di Jabal Uhod-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>