Sahur untuk solat

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga ramadhan tahun ini lebih bermakna dengan izin Allah.

Ratna,

Alhamdulillah, kami sekeluarga selamat sampai di bumi Madinah, tempat persemadian Rasulullah SAW. Sungguh benar, Ramadhan adalah waktu puncak musim panas. Bahangnya terasa. Bagi pekebun tamar, inilah saatnya yang terbaik untuk buah-buah tamar mereka. Di sana-sini tandan-tanda tamar mulai dibebani dengan buah-buah separuh ranum.

Barangkali tamar-tamar inilah yang diagih-agihkan sewaktu berbuka puasa kepada jemaah di masjid Nabawi. Ya, tamar segar, ranggup, manis kelat serta berbagai rupa. MasyaAllah Tabarakallah! Benarlah yang diceritakan di dalam quran – tanah,air dan udara yang sama, namun, tamar-tamar di dalam kebun menghasilkan rasa, warna, kualiti dan rupa yang berbeza!

Bukankah itu ada tanda-tanda kekuasaan Allah?

Ratna,

Alhamdulillah. Emak semakin selesa berada di Madinah bersama kami sekeluarga. Beliau cepat mengubah mengikut keadaan waktu tempatan. Barangkali “jet lag” telah beransur pergi. Hari pertama kak Ngah nampak pertarungan sengit emak menantikan masuk waktu Isyak. Sungguh, 9.00 malam waktu Madinah bersamaan 2 pagi waktu Malaysia!

Namun, alhamdulillah, emak tiada masalah ketika bangun waktu sahur. Sungguh, 2 pagi waktu Madinah bersamaan 7 pagi waktu Malaysia! Ia memberikan kelebihan bagi jemaah Malaysia yang mengerjakan umrah. Allahu Akbar! Lalu nikmat Allah yang mana satukah mahu didustakan?

Ratna,

Jika dahulu awak bertanya bagaimanakah mahu istiqomah untuk bangun solat malam, SAHUR di sepanjang bulan Ramadhan inilah jawapannya! Ia suatu latihan sebulan untuk persiapan bangun malam bagi 11 bulan akan datang.

Jika kita bernekad untuk menyediakan makanan sahur untuk keluarga tersayang kerana Allah, nekadlah untuk mengambil wuduk dan solat tahajjud terlebih dahulu. Ironinya – sayangi diri sendiri serta sayangi keluarga. InsyaAllah, selepas sebulan kita melakukannya nanti..kita mula merinduinya.

Peganglah pesanan kak ngah ini – sayangilah diri sendiri kerana nanti kita masing-masing akan pergi menghadap Allah Azzawajallah sendirian. Kita akan di soal satu demi satu. Ketika itu tiada sesiapa di sisi kita – tiada suami, anak-anak, adik-beradik, sanak-saudara, rakan-taulan apatlah lagi ibubapa!

Ratna,

Sampaikan pesanan ini kepada adik-adik yang mahu berubah – yang mahu bangun solat malam. Kita boleh lakukannya dengan izin Allah. Lakukanlah segera dibulan Ramadhan. Entah, barangkali ini adalah Ramadhan terakhir buat kita.

Janganlah tunggu sampai esok adik-adikku..Esok tidak pernah kita temui. Kerana apabila saat menjelangnya hari esok, ia menjadi hari ini.

Salam sayang dari kami di rumah kecil di Jabal Uhod.

Madinah al-Munawarrah.

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah, Umrah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>