Raya musim melaram?

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga Allah memberi taufiq dan hidayah serta rahmatNya di akhir Ramadhan yang tersisa.

Ratna,

Allah..Allah..Allahu Akbar! Ramadhan telah sampai ke penghujungnya. Apakah yang telah kita pelajari di sepanjang Ramadhan tahun ini? Sudah terasakah kemanisan beribadat? Sudah terjagakah dengan mudah di waktu sahur untuk solat? Mudah-mudahan Ramadhan kali ini lebih bermakna. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah suatu “turning point” dalam hidup kita.

Dahulu, kak ngah selalu berpesan kepada pelajar-pelajar perempuan semasa mengajar di UiTM Johor. Pesanan tulus ikhlas dari seorang ibu kepada anak-anak yang masih alpa dengan hiburan dunia. Dunia yang suatu masa dahulu.. kak ngah juga tenggelam dengan keasyikannya.

“Wahai anak-anak perempuanku.. Bulan Ramadhan adalah masanya untuk kita berubah. Jika ada diantara kamu belum bertudung dan menutup aurat dengan sempurna..inilah masanya. Orang tidak akan mengata dan kekuatan kita menjadi luarbiasa di bulan ini. Jangan bertangguh lagi. Mulakan hari ini.”

Mereka mengangguk-anggukkan kepala.

“Jika ada yang tersenyum sinis memandang kita atau mengeluarkan kata-kata memperolok-olokkan kerana kita mahu kepada kebaikan, kerana mahu mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha kuasa..tinggalkan mereka. Jauhi mereka. Tidak ada ruginya meninggalkan mereka, tidak ada baiknya bersama mereka.”

Mereka tunduk diam.

“Di akhirat nanti, kawan karib tidak dapat membantu kawan. Jangankan dapat menolong, malahan mereka tidak akan bertanya khabar kerana masing-masing sibuk dengan urusan diri sendiri. Berdoalah kepada Allah agar kita ditemukan dengan rakan yang mendekatkan diri kepada Allah, mana-mana yang melalaikan kita – minta Allah menjauhkan dari mereka!”

Mereka tunduk memandang meja. Kak ngah teruskan lagi.

“Sudahkah anak-anak perempuanku terbaca surah An-Nur, ayat 31 Allah berfirman yang bermaksud;

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalia n kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

“Apa maksudnya? Benarkah hari raya membenarkan kita untuk melaram? ”

Tiba-tiba, bersuara seorang pelajar dengan nada terketar-ketar;

“Puan..pilihan baju-baju saya dibuat oleh ibu. Saya tiada pilihan. Bagaimana mungkin saya memilih yang mengikut syariat Islam sedangkan ibu sendiri melaram dengan fesyen rekaan yang merangsang mata memandang.”

Kak Ngah terpegun dengan ketulusan hati anak yang taat kepada ibunya. Perlakuan ibu sendiri yang tidak menyedari ia menyeret anak-anak perempuannya ke jurang api neraka. Bukankah anak-anak itu ibarat kain putih dan terpulanglah kepada kebijaksanaan si ibu untuk mencoraknya?

“Wahai anak-anak kesayanganku..katakan kepada ibu agar ajarlah kamu menutup aurat dengan sempurna. Tanyakan kepada mereka bukankah tanda aras pakaian wanita mulia adalah yang boleh terus dibawa sembahyang? Yang tidak menampakkan susuk badan, yang tidak berbayang apatah lagi menampakkan dada dan lengan. Jauh sekali mengeluarkan betis atau sebelah kaki.”

Allah..Allah ya Allah. Ampunkan kami ya Allah yang hanya pandai menyebut untuk patuh kepada perintahMu dan meninggalkan segala larangan. Namun, sebutan itu hanya dibibir sahaja sedangkan perlakuan sebenar tidak mengambarkannya.

Ratna,

Entah bagaimana lagi yang Allah mahu tunjukkan dan tidak sampai lagikah ajaran yang Rasullah SAW sampaikan? Tidak ingatkah kita peringatan demi peringatan yang Allah menyatakan didalam al-quran. Bukankah Allah menyebut yang manusia itu mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya? Mempunyai telinga tetapi pekak lagi tuli. Sering membuat pilihan yang menundingkan kesalahan ke arah lain.

Tidak ingatkah kita bagaimana kesudahan yang menimpa kaum nabi Nuh, Nabi Lut, Firaun dan kaum Thamud. Sungguh, mereka sombong bongkak kepada Rasul yang mengajak ke arah kebaikan. Mereka menyumbat telinga dan menyelubung tubuh badan kerana tidak mahu menerima teguran.

Allah..Allah..ya Allah. Setiap seorang nanti akan bertanggungjawab dengan perlakuan mereka. Jangan salahkan pereka fesyen yang mencipta rekaan yang mendedahkan tubuh badan. Jangan salahkan pelanggan kerana membuat tempahan demikian.

Esok, di akhirat nanti..bibir kita akan terkunci rapi. Apakah alasan yang mahu kita berikan kepada Zat yang menjadikan?

Ratna,

Pesanlah kepada adik-beradik dan katakan kepada mereka “Cukuplah.. kita tidak semakin muda. Raya bukannya masa untuk kita melaram memperagakan tubuh badan dan fesyen terkini. Ia masa untuk kita mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha berkuasa. Ia masa untuk kita mensyukuri setiap nikmat kurniaanNya. Ia masa untuk kita menyembah dan memperbaiki amal ibadat kepadaNya.

Yang lebih penting lagi..apakah yang telah kita pelajari iktibar dari Ramadhan tahun ini?

Salam sayang dari kami sekeluarga.

Rumah kecil di Jabal Uhod.
Madinah al-Munawarrah.

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>