Siapa di situ?

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga di dalam rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa.

Ratna,
Salam aidil Fitri dari kami di Madinah al-Munawarrah. Kami tahu emak rindukan anak menantu serta cucu-cucunya yang ramai di kampung halaman apatah lagi hanya di hari raya sahaja lah mereka dapat berkumpul bersama. Emak berulang-ulang kali menyebutnya. Barangkali ada sebak di dada kerana kebiasaannya setiap kali berhari raya salah satu agenda yang tidak boleh tidak adalah menziarahi pusara mereka yang telah pergi dahulu menemui illahi.

“Anak-anak arwah Ayu balik raya tahun ini. Kasihan Zaini…jauh-jauh datang. Memandu seorang…”

Dalam masa yang lain pula emak berkata;

“Agaknya di pagi raya mereka pergi beramai-ramai ke kubur abah dan Ayu..

Kami hanya mampu mendengar keluh kesahnya tanpa dapat melakukan apa-apa

Ratna,
1 Syawal kami sekeluraga sudah berada di masjid Nabawi seawal 4.00 pagi. Itupun kami terpaksa duduk di dalam saf tanpa permaidani. Kesihan emak, dia kesejukan. Kami bergegas pulang ke rumah sebaik sembahyang aidil fitri. Tambahan pula ada rakan-rakan dari sekitar Saudi yang sudi berhari raya bersama kami sekeluarga.

Pada 1 Syawal juga kami menyempurnakan hajat aqiqah bagi anak bungsu arwah Ayu dan Zaini. InsyaAllah, kata ustaz yang menguruskannya, daging aqiqah itu mereka jamu fakir miskin dan jemaah di sekitar Makkah.

2 Syawal kami membawa emak dan anak-anak ke Makkah. Kami menyambut Syawal di sana. Barangkali kemeriahan berhari raya tidaklah semeriah di kampung halaman. Namun, terpancar keceriaan dan kebahagiaan setiap wajah yang ada di sana. Sungguh, persona rumah Allah amat ketara perasaannya. Cubalah..rasai sendiri sebagaimana yang kami rasai.

Ratna,
Memimpin tangan emak ketika membuat umrah bersama Ayu pada tahun 2009 sudah tidak sama seperti baru-baru ini. Emak semakin tidak yakin jika ditinggalkan sendirian apatah lagi untuk ke tandas berseorangan. Setiap kali kami masuk dan keluar dari pintu yang berlainan, emak sudah hilang arah.

Allahu Akbar! Masa sudah berubah. Dahulu, emak yang memimpin tangan kita, kini giliran emak pula. Semakin sesak masjidil haram dengan jemaah yang datang beribadat, pautan emak ke lengan tangan kak Ngah semakin erat.

“Awak jangan jalan cepat-cepat. Nanti dirempuh orang ramai, kita terlepas…emak tidak tahu jalan pulang.”

“InsyaAllah mak.. saya jaga mak. Saya jaga..”

Allahu Akbar! Tidak sedar ada takungan air mata.

Ratna,
Kami menginap di hotel Rayhaan yang diuruskan oleh Rotanna berhampiran Bin Dawood. Emak sangat gembira kerana katanya itu nama kaum keluarga kita. RAIHAN- RATNA- BIN DAUD!

Suatu pagi selepas subuh, ketika kami berjalan pulang ke hotel, emak berkata;

“Ya Allah cantik betul menara jam makkah tu. Masa buat haji tahun 2010 dulu abah pernah berkata siapalah agaknya yang menyewa hotel di situ..

Tiba-tiba emak terdiam…tetapi menyambungnya semula.

“Ya Allah..siapa sangka emak merasa berada di situ. Kalaulah abah ada..”

Sungguh. Ada getaran suara yang disembunyikan.
Sungguh. Barangkali jauh kenangan yang tersimpan dalam ingatan..

Ratna,
Setiap insan yang dicipta Allah, dilahirkan, menjalani kehidupan dan akhirnya mereka pergi menemui illahi. Tiada yang kekal di sisi. Hanya cinta Allah yang abadi.

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Muhassabah, Umrah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>