Sentuhan qalbu

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga setiap urusan seharian dipermudahankan dan amal ibadat kita diredhai oleh Allah Subhanawatala.

Ratna,
Minggu ini kehidupan seharian kami mulai penuh dengan pelbagai aktiviti. Kuliah di universiti taibah sudah bermula, kelas fardu ain bagi Sofea & Amirul serta anak rakan-rakan dan peperiksaan akhir hafazan quran [ halaqah di masjid nabawi] serta Tajweed.

Allah..Allah..ya Allah. Semuga kami diberikan rezeki kesihatan, rezeki kekuatan semangat, rezeki ilham, rezeki kefahaman, rezeki daya ingatan yang kuat dan rezeki hati yang sentiasa berlapang dada serta ketenangan untuk menghadapi segalanya.

Ratna,
Semalam kak Ngah dan Sofea, seperti biasa duduk di saf hadapan sambil masing-masing berusaha menghafal surah-surah al-Qur’an. Kak Ngah cuba membaca dengan tartil, secara perlahan tetapi menekupkan tangan ke telinga agar dapat mendengar bacaannya. Barulah kak Ngah tahu kenapa Qari atau Qari’ah melakukan seperti itu. Ya Allah.. jahilnya daku.

Sesekali Sofea bertanya dan meminta kepastian sebutan ayat dari surah yang sedang dihafalnya. Sesekali kak Ngah membetulkan dan meneruskan hafazan tiga surah terkemudian dari surah yang sedang di hafal oleh Sofea. Kami sama-sama mentela’ah sepenuh hati bagi persediaan periksaan bermula hari sabtu.

Sambil menghafal, sesekali kak Ngah menjeling-jeling Sofea. Dia terdiam memandang lantai. Kak Ngah biarkan sahaja sehingga usai surah yang dihafal. Tiba-tiba Sofea berkata;

“Mama..pernah tak kita terasa sedih membaca qur’an walaupun kita tidak tahu maknanya?”

“Mama pernah..semasa mendengar surah ar-Rahman..”

“Mama tahu..tiba-tiba Sofea rasa sedih apabila membaca pada penghujung surah ini. Agaknya apa maknanya?”

Lalu, kak ngah melihat ayatnya dan mengingatkan kembali terjemahannya.

“Ya Allah. Surah ini mengingatkan kita agar jangan memasamkan atau berpaling muka jika ada orang yang datang serta bersungguh-sungguh mahu mengetahui ilmu yang mendekatkan dirinya kepada Allah. Sekalipun orang buta. Barangkali ia lebih berguna kepadanya dari orang yang kita beria-ia mengajak ke arah kebaikan namun tidak dihiraukan.”

“Oo..tapi Sofea rasa sedih bila sampai diakhir surah.”

Lalu, kak Ngah membuka terjemahan surah Abasa [ سُوۡرَةُ عَبَسَ ] dan membacakan kepadanya dari ayat 33 – 37. Firman Allah bermaksud;

Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat; (33) Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, (34) Dan ibunya serta bapanya, (35) Dan isterinya serta anak-anaknya; (36) Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. (37)

Allahu Akbar!

Rupa-rupanya ayat-ayat Allah itu juga mampu menyentuh qalbu anak-anak berusia 9 tahun seperti Sofea. Lalu, kak Ngah ceritakan serba sedikit bagaimana yang dikatakan akhirnya nanti kita semua akan kembali kepada Allah secara sendirian – di dalam kubur, ke padang mahsyar dan ketika berdebar-debar menanti keputusan pemberian kitab amal di hari pembalasan. Tiada abang, kakak, ibu dan bapa yang dapat menolong kita. Semuanya sibuk dengan perihal diri sendiri.

Kak Ngah ceritakan lagi, jika berat timbangan amal kebaikan.. kitab itu diberikan kepada mereka dalam tangan kanan. Lalu, mereka akan kembali kepada keluarga dengan perasaan gembira. Dan ada juga diantaranya yang bertanya kepada orang-orang disekelilingnya mana-mana yang mahu melihat catatan amal kebajikan yang tercatat dalam buku amal mereka. Mereka dijanjikan kesenangan dan keindahan syurga yang mengalir sungai dibawahnya.

Bagi mereka yang kurang amal, yang kufur serta munkar – buku catatan mereka diberikan disebelah belakang dengan tangan kiri. Lalu, meraung-raunglah mereka menyebut tentang kebinasaan. Mereka dijanjikan neraka yang sentiasa marak menyala api bakarannya.

Allah..Allah ya Allah. Ada rakan-rakan yang berkata jangan diceritakan kisah seperti itu kepada kanak-kanak yang belum cukup usia baligh. Bimbang terencat dan mereka melihat Islam sebagai agama yang menakutkan. Namun, tidak ramai yang takut menceritakan kisah-kisah dongeng puteri-puteri raja yang menanti di cium oleh putera raja sambil menunggu kehadiran di menara terpenjara yang dikawal oleh perempuan sihir yang terkenal majiknya!

Allah..Allah ya Allah.

Bertahun-tahun anak-anak kita disogokkan dengan ilusi cerita ahli sihir purbakala dan kini keturunannya yang remaja sudah berada di Institusi pengajian tinggi. Cerita kehebatan pengamal sihir yang baik hati ini sangat digemari oleh generasi kini. Mereka sanggup membeli bersiri-siri novel mengenainya dan sanggup pula menunggu bersiri-siri tayangannya di kaca-kaca TV.

Allah..Allah ya Allah.

Jangan lakukan kesilapan sebagaimana kak Ngah telah lakukan. Setiap kali anak-anak membeli atau membaca novel fantasi sihir yang terkenal, hati kak Ngah sentiasa bimbang. Bimbang mereka percaya ada kekuasaan lain selain kekuasaan Tuhan pencipta alam, langit dan bumi serta seluruh kejadian ini. Bimbang mereka tersirik kerananya!

Ratna,
Sentuhan qalbu tidak berlaku dengan semena-mena tanpa kita berusaha mendekatkan diri kepadaNya, Allah yang maha berkuasa. Allah tidak akan datang mendekati kita, jika kita melarikan diri dariNya.

Cukup! Hentikan khayalan dengan menunggu siri-siri di kaca TV yang sia-sia lagi melalaikan. Jika ibubapa sendiri yang meminati siri-siri seperti itu..jangan salahkan anak-anak jika suatu hari nanti mereka juga begitu.

Sekian, salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Halaqah al-qur'an, Keluarga, Kerenah anak-anak, Muhassabah, Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>