Menu 5 Roti Arab Dundee

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga dirahmati Allah sentiasa.

Ratna,
Maaf, kerana tidak menghantar sebarang berita. Kami ada tugasan yang perlu dibereskan segera. Namun, percayalah..tidak ada hari yang membuatkan kami terlupa mendoakan untuk semua di sana. InsyaAllah, semua di hati ini.

Untuk makluman Ratna, kak ngah tengah di peringkat akhir bagi menyudahkan buku terbaru. Barangkali judulnya Aroma Antara Benua. Berikut adalah petikan dari bab 5.

Roseangle, Perth Road, Dundee DD1, Angus. Scotland.

Begitulah alamat kediaman apartment kami. Lokasinya hampir dengan universiti. Ia sekadar lima minit berjalan kaki. Sebagaimana yang saya catatkan sebelum ini, apartmen ini mempunyai dua laluan masuk. Laluan kami ditempatkan pelajar Iran, Ethopia, Malaysia dan Mesir. Laluan kedua dipenuhi oleh pelajar dari benua Eropah, Amerika dan Australia. Kesemuanya sudah berkeluarga.

Kesemau mereka jiran-jiran kami. Ada yang hampir jarak dan hati. Ada pula yang hanya tersenyum sambil menyebut hi dan hello bila berselisih. Apa pun, kami tahu mereka tinggal di bangunan yang sama. Namun saya mempelajari banyak perkara melalui kehidupan di sini terutamanya tentang bahasa, bangsa dan budaya.

Paling utama saya melihat kekuasaan, kehebatan dan kebesaran Allah SWT. Jelas Allah mencipta manusia dengan pelbagai rupa, gaya, bahasa, budaya dan bangsa. Ia unik sekali. Akhirnya kita saling kenal-mengenal, bermesra dan saling hormat menghormati berdasarkan perbezaan tersebut. Subhanallah, segalanya telah Allah ceritakan melalui ayat 22, surah ar-Rum yang bermaksud,

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.

Di sini saya bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, mengurus anak-anak – Sara dan Azrai – yang masih kecil, membeli barang keperluan harian dan memastikan keperluan suami terjaga supaya tidak mengganggu urusan pengajian. Itulah tugas yang saya nikmati sepenuhnya. Saya rasa teruja dan gembira.
Salah satu tugasan yang saya gemari ialah membawa Sara dan Azrai membeli keperluan harian seperti susu, telur dan roti. Kebiasaannya kami akan terserempak dengan jiran-jiran sebangunan. Senyuman adalah respon yang paling mudah apabila bertemu. Ia berbalas menandakan di antara kami mudah mesra. Cuma bahasa pertuturan mencipta kekangan komunikasi. Ia menjadi halangan. Namun Allah yang Maha Berkuasa mencipta satu lagi bentuk bahasa untuk berkomunikasi iaitu bahasa badan!

Komunikasi tanpa kelancaran bahasa sangat menarik dan menghiburkan. Misalnya, saya pernah bertembung dengan salah seorang jiran berbangsa Arab. Beliau langsung tidak pandai berbahasa Inggeris. Apabila kami berkomunikasi, banyak pergerakan badan, mimik muka dan tangan perlu dilakukan. Sambil tangan menunjuk-nunjuk ke arah dirinya, jari-jari menunjukkan angka tiga dan dua.

“Marwa. Ana Marwa. Kaherah, Mesir. Binti 3. Bin 2”

“Your name is Ana Marwa?”

“La. Marwa. Mafi ana. Ana yakni me.

Saya dapat menangkap yang beliau berasal dari Mesir dan mempunyai dua anak lelaki dan tiga anak perempuan. Allahu Akbar! Saya yang buta bahasa arab berfikir nama beliau adalah Ana Marwa. Rupanya “ana” bermakna “saya”.

Memang saya terlupa perkataan itu kerana jarang menggunakannya. Sedangkan bahasa arab adalah antara mata pelajaran yang pernah diajar oleh ustaz ketika menuntut di sekolah agama Johor. Alhamdulillah – kuasa Allah – segera saya memahami maksudnya. Sambil tertawa saya membalas ucapannya,

“Ana Raudhah or Roza. Malaysia. Binti 1. Bin 1.”

“Ya Allah.. Alhamdulillah. Ante muslim. Islam?”

Saya mengangguk sambil tersenyum dan kami saling berpelukan. Akhirnya saya meminta diri kerana semasa kami sedang bersusah-payah berkenalan, Sara dan Azrai hilang dari pandangan mata. Saya tahu mereka menyelinap di cela-celah pokok ros, rhubab dan resberi liar di laman apartmen kami. Saya bimbang jika mereka di sengat lebah atau barangkali ada ular!

Saya tahu di mana mahu mencari apatah lagi apabila terdengar suara kecil di celah rimbunan rhubab. Rupa batang rhubab itu seperti caleri dan daunnya lebar seperti daun keladi. Warnanya merah keungguan. Saya mendekati dan erpura-pura tidak nampak lalu berkata,

“Eh.. mana Sara dan Azrai ni..? Ya Allah, mana perginya budak berdua ni?”

Kedengaran suara kanak-kanak di celah rhubab semakin jelas. Suara kanak-kanak yang berpuas hati kerana berjaya menyorokkan diri dari ibunya.

“Emm.. kalau Sara dan Azrai tidak ada, nampaknya coklat ini mama kena habiskan seorang. Emmm.. sedap coklat ni”

Sara dan Azrai keluar dengan wajah cemas. Saya segera berjalan cepat-cepat seolah-olah mahu meninggalkan mereka. Mereka berlari mengejar dari belakang. Tanpa menoleh, saya senyum-senyum sendirian. Begitula kanak-kanak. Mereka begitu mudah diperdaya.

Itulah sebahagian daripada kegembiraan berada di Dundee. Berkenalan dengan jiran tetangga dan bermain-main dengan anak sendiri sambil merasai aroma cuaca Dundee yag sentiasa sejuk dan segar.

Petang itu, semasa bersiapkan Sara dan Azrai, kami terdengar ketukan di pintu hadapan. Sebaik sahaja saya membuka pintu, tercegat di hadapan saya jiran Mesir yang baru sahaja berkenalan di sebelah pagi. Beliau datang bersama dua orang anak perempuan yang masih kecil. Sebelah lengan kiri tangannya mengendung bayi dan di belah lengan kanannya mengepit dua keping roti yag saiznya hampir sebesar dulang kecil. Ia dibawa tanpa plastik dan tanpa alas. Lebih mudah, tanpa apa-apa. Ia sangat hampir dengan celah ketiaknya.

“Take.. take. Eat. Eat.”

Sambil melemparkan senyuman mesra, dia menghulurkan roti itu dengan tangan kanannya. Saya menyambutnya dengan mulut sedikit terngangga.
Begitulah uniknya kekuasaan Allah. Lain bangsa, lain budaya dan lain tatacara. Namun ia masih juga berbekas di hati apabila melihat keikhlasan mereka.

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Kerenah anak-anak, Masakan, Muhassabah, Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>