Sungai Nil

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi;
Semuga esok lebih baik dari hari ini dan hari ini lebih baik dari semalam dengan izin Allah.

Ratna,

Masihkah awak ingat dengan guru mengaji qur’an kita semasa zaman kecil di kampung Paya Jakas? Senang cerita..ingat tak lagi kepada Mak Uda khemah? Selain awak, De Tuti, Adib, Azah dan beberapa orang lagi – kita mengenal ayat-ayat quran, Mak Uda Khemah juga mengajar kita berzanji.

Entah, tiba-tiba hari ini Allah mengembalikan ingatan kak Ngah kepadanya. Masih mengajar mengaji qur’an kah Mak Uda Khemah agaknya? Sihatkah dia? Jika awak ada kelapangan masa, cubalah menziarahi rumahnya. Sampaikan salam sayang kak Ngah kepada Mak Uda sekeluarga.

Awak ingat tak masa pergi mengaji..kita adik-beradik serta sepupu-sepupu akan berjalan berderet-deret menuju ke rumah Mak Uda? Sepanjang jalan kita menyanyi lagu yang tengah popular pada ketika itu – Menanti Hari Esok. Selepas balik mengaji..kita berjalan berderet-deret lagi sambil menyambung lagu yang sama. Mana-mana yang terlupa lirik, kita sebut “la..la..la..” sahaja. Kita tidak pernah peduli apa yang berlaku dan siapa yang memerhatikan kita di kiri dan kanan.

Ratna,
Kenapa kak Ngah begitu teringat kepada Mak Uda Khemah? Kerana Mak Uda ada seorang anak perempuan yang pernah belajar di universiti Al-Azhar, Mesir. InsyaAllah, kami akan melawat Mesir untuk beberapa hari sebelum raya haji. Abang ngah ada menerima beberapa undangan untuk berceramah dari Universiti yang menempatkan pelajar Malaysia di sana.

Katanya hotel kediaman kami nanti berhampiran benar dengan sungai Nil.

Sungai Nil yang pernah menghanyutkan nabi Musa di dalam bakul oleh ibu kandungnya. Lalu, bakul itu dengan ketetapan Allah, hanyut di bawa ke kawasan istana Firaun dan dijumpai oleh dayang-dayang Asiah. Asiah meminta izin dari suaminya untuk memelihara anak lelaki itu walaupun Firaun telah mengeluarkan perintah untuk membunuh anak-anak lelaki yang bukan dari kalangan kaumnya di bumi Mesir.

Allahu Akbar! Bukankah di situ ada tanda-tanda kebesaran Allah yang maha mengetahui?

Apabila menyebut tentang sungai Nil, sekali lagi kak ngah teringatkan Mak Uda Khemah. Ingat tak semasa anak Mak Uda pulang bercuti, dia membawa bermacam-macam halawa arab dan coklat? Apa lagi yang kak ngah ingat..oh ya, ada pen yang sangat besar digunakannya untuk menulis.

Dan yang paling lucunya, abah datang dengan alasan mahu menziarahi Mak Uda sekeluarga tetapi sebenarnya membuat “spot check” untuk mengetahui apakah kita benar-benar pergi mengaji. Sebelum meminta izin untuk pulang, kak ngah teringat bagaimana abah berpesan kepada kita;

“Kalau mahu sampai ke Mesir, tulislah nama awak semua di atas kertas. Minta tolong kakak Mesir tu campakkan kertas itu ke sungai Nil. Mana tahu dengan izin Allah, awak semua sampai ke sana.”

Kakak itu senyum-senyum sahaja sambil menghulurkan kertas berserta pen besar di hadapan abah. Kak ngah menulis dengan beriya-iya seolah-olah seperti menerima tawaran menaiki kapalterbang percuma.

Setelah abah pulang, kakak itu menyambut kertas yang tertera nama-nama kita. Kakak itu berkata separuh berbisik; sambil tersenyum-senyum geli-hati.

“Abah awak main-main sahaja. Kakak takut kertas ini nanti hanyut di sungai Nil dan terus masuk ke dalam istana Firaun. Nanti jika askar-askar Firaun datang mencari nama-nama yang ada di sini, macamana?”

Serta merta kak Ngah tarik balik kertas itu. Itulah..budak-budak memang mudah sangat kena tipu!

Sekian, sekali lagi sampaikan salam kepada semua.

-Rumah kecil di jabal Uhod-

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Muhassabah. Bookmark the permalink.

15 Responses to Sungai Nil

  1. misa says:

    Salam sejahtera,

    Keinginan untuk keluar negara juga ada pada diri saya. Alhamdulillah, Allah rezekikan negara pertama yang saya lawati ialah negara yang adanya kota Mekah dan Madinah. Semoga ia bukan jemputan pertama dan terakhir, bukan juga hanya untuk kami malah untuk seluruh zuriat keturunan kami.

    Keinginan melawati tempat-tempat yang ada ceritanya dalam Al Quran juga tidak pernah padam, termasuklah Masjid Al aqsa. Semoga ada rezeki untuk melihat sendiri .

  2. hashimie says:

    Salam dihulur, Pn. Roza, smoga bahagia dlm rahmat Allah. Alangkah indah hidup ini…Allah yg mengaturnya. Saya telahpun membaca pelbagai kisah nabi-nabi…Nabi Musa satu drnya. Saya ingin berdiri di tebing Sg Nil…tp belum kesampaian lg. Nti bila PnRoza berada disana…tentu apa yg Allah ceritakan dlm al quran akan terbayang2 dimata spt berada di zaman itu…Subhanallah…Allahuakbar…

  3. salmah says:

    betul Pn Roza……anak2 mudah kena tipu….comel kisah ini. Saya dapat bayangkan bagaimana tangan comel itu cepat2 ke hadapan mengambil balik kertas yang tertulis namanya…takut ooo kalau ditangkap askar firaun!

  4. supiahabu says:

    Assalamualaikum Pn Roza

    Menarik cerita hari ini…………kisah pergi mengaji di waktu malam,saya juga tersenyum sendirian teringatkan kisah kami pergi mengaji bawa daun kelapa yang dinyalakan untuk menggantikan lampu jalan. ada pulak budak lelaki yang nakal dia tunggu kita di balik pokok besar dengan berselubung kain putih…bayangkan apa jadi dengan budak perempuan ….otomatik terus jadi juara pecut.
    Semoga ziarah mesir mendapat baarokah.

  5. zeqzeq says:

    indah maniz sememangnya kenangan

  6. Aneeqa says:

    Assalam puan Raudzah dan keluarga,

    Semuga dalam limpah rahmat Allah.

    Mesir sebuah negeri yang banyak sejarah. Semuga puan dapat kongsi dengan kita warga RKDJO.

    Semuga dimudahkan perjalanan ke sana.

  7. Munawwarah says:

    Asslm k.roza,
    Tolong tulis Nama Saya Dan campak ke sg nil juga…hee, mana tau Saya juga dpt sampai ke sana (gurau je..). Tapi tlg doakan Saya juga dpt berdiri ditebingnya Dan menangguk sedikit airnya buat membasahkan muka…semoga kisah nabi musa berbekas dihati selamanya..

  8. hzm says:

    Salam Sejahtera Pn Roza,

    Terbayang-bayang Pn Roza sekeluarga sedang “cruise” di Sungai Nil sambil menikmati hidangan dan pemandangan.

    Apa yang termaktub dalam AlQuran sejak azali lagi pasti akan berlaku dan begitulah kisahnya dengan Firaun. Tiada yang aneh, tiada yang pelik. Semuanya adalah skrip Allah SWT

  9. Nieda says:

    Tentu mak Uda berbangga anaknya berjaya ke Mesir. Abahnya tentu lagi rasa bangga anak2 abah juga telah berjaya ke mesir juga.

  10. ummu naura says:

    seronok baca cerita ini.

    fyi, saya baru menghabiskan buku Travelog-Travelog puan masa cuti raya baru ni. Buku yang dah dibeli setahun yang lalu tapi tak pernah terusik nak baca. Sekali dah buka, sehari suntuk saya pulun baca sambil layan anak-anak :)

    tahniah kerana berbakat dan kreatif!

  11. foziah says:

    as salam pn roza

    teruja betul nak ke cairo bila pn bercerita tentang sg nil. sudut pandangan yg berbeza, terharu… smoga mak uda sihat2 shj dlm rahmat Allah swt. amin

  12. kak La says:

    Alhamdulillah….. hampir percaya k.la dgn kata2 abah roza. cerita yg sgt menarik. Teruskan dgn penulisan n k.la tdk akan melepaskan peluang membacanya.

  13. Aiman says:

    assalamualaikum, saya mohammad aiman (11 tahun) cucu kepada tok uda khemah.Terima kasih kerana masih ingatkan mak tok saya,saya akan ceritakan kepada mak tok,tapi sekarang dia tidak mengajar ngaji lagi kerana masalah penglihatan,tetapi dalam majlis yaasin dan majlis potong jambul mak tok tetap berzanji dengan cara menghafal. :D

  14. assalamualaikum, saya mohammad aiman bin zainuddin (11 tahun) cucu kepada tok muda khemah, mak tok saya kurang sihat , dia mempunyai masalah mata dan dia tidak mengajar lagi al’quran,walaupun dia tidak mengajar al’quran lagi tetapi mak tok tetap menghafal ayat2 al’ quran dan berzanji.Saya akan memberitahu kepada mak tok tentang perkara ini, dia pasti sangat gembira kerana anak muridnya masih ingat padanya.

  15. assalamualaikum, ptg tadi saya melawat mak tok (uda khemah) dia mengirim salam kepada mak cik Roza dan sekeluarga.Semoga sihat selalu, jika makcik berkesempatan balik ke Malaysia, mak tok (uda khemah) ingin sekali bertemu dengan mak cik Roza.
    :D

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>