Petikan Resipi 31- Popia Bangor

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan,
Semuga dirahmati Allah sentiasa.

Ratna,
Barangkali popia bukan resipi yang dianggap istemewa untuk dimuatkan ke dalam buku. Apatah lagi kalau di Malaysia, ia mudah didapati dan boleh dinikmati pada bila-bila masa. Namun, ketika menulis bab ini..Allah mengembalikan ingatan kepada Stuart, penyelia Phd abang Ngah ketika di Universiti Bangor.

Entah mengapa..perkenalan bersama Stuart memecah sempadan bangsa, budaya dan agama. Berikut adalah sebahagian dari petikan bab 31 – Popia bangor.

————————————————————————————————————————————–
Musim luruh di Utara Wales.

Ia panorama menawan. Daun-daun berwarna kuning kemerahan. Ada yang sudah luruh ke bumi meninggalkan ranting di pokok. Cuaca basah lembab. Sejuknya mula terasa. Ia suasana di penghujung pengajian PhD suami. Hanya tinggal beberapa bulan lagi untuk kami meninggalkan UK dan kembali bertugas di Malaysia.

Boleh saya jemput Stuart dan isteri ke rumah? Bila-bila pada hujung minggu.

Boleh. Kenapa awak bertanya?

Mana tahu takut giliran awak bekerja pada hujung minggu.

InsyaAllah, minggu hadapan saya OK.

Kita jemput mereka minum teh. Minum petang.

Begitulah suami yang telah dijodohkan Allah kepada saya. Beliau suka rumah kami dikunjungi tetamu. Suami sebenarnya sudah menamatkan pengajiannya. Kami hanya menunggu majlis konvokesyen. Namun ia tiga bulan tinggal bersantai di kawasan sejuk nyaman.

Suami mahu meraikan Stuart – penyelia Phd – dan isteri sebagai tanda terima kasih. Namun beliau juga tidak mahu menyusahkan isteri. Saya tersenyum di dalam hati. Saya tahu beliau bersunguh-sungguh walau tidak diterjemahkan secara terang-terangan. Memang suami sangat berhemah dalam soal ini.

Stuart dan Heather sangat istimewa dalam hidup suami. Saya mahu melayani mereka dengan cara terbaik. Lalu saya bingung seketika memikirkan menu apakah yang perlu saya ketengahkan. Paling sukar menelah resepi yang mahu membuat tetamu menjamah dan menyudahkannya sehingga ke suapan terakhir. Agak saya itulah dilema Chef semulajadi yang dilahirkan apabila bergelar sebagai seorang isteri.

Allah… Allah ya Allah. Saya memohon ilham dari Allah yang menjadikan alam, langit dan bumi. Memohon bersungguh-sungguh agar Allah permudahkan segala urusan dan disudahi dengan segala kebaikan. Agar terjalin hubungan baik antara kami. Barangkali apalah sangat permintaan sekadar memohon secebis ilham dariNya. Namun itulah kemahuan saya mahu mempersembahkan yang terbaik. Ia tanggungjawab saya menjaga hubungan baik suami dengan penyelianya.

Akhirnya saya memilih empat peringkat hidangan. Saya mahu mulakan dengan ubah-suai popia basah sebagai pembuka selera. Kemudian akan saya hidangkan sup ketam bersama jagung manis bagi menghangatkan badan ketika musim yang kian menyejuk. Menu utamanya adalah nasi goreng Cina yang diiringi dengan sayur campur, daging masak halia bergajus berserta daun bawang dan ayam goreng rangup bersoskan lemon. Akhir sekali, saya menyediakan lempeng berinti kacang merah lecek sebagai pencuci mulut. Ia masakan kebiasaan orang-orang China.

Mereka sampai tepat pada waktunya. Stuart bertubuh besar. Apabila berdiri berhampiran dengan pintu rumah, kepalanya hampir mencecah tiang gelegar di atasnya. Jika beliau berdiri betul-betul di tengah pintu, ia pasti memenuhi dua pertiga daripada pintu itu. Heather pula bertubuh sederhana. Rambut ikalnya keperangan disisir rapi. Beliau menyarung jumper yang disesuaikan dengan mafla berwarna musim luruh. Ternyata sekali beliau memiliki wajah wanita Inggeris yang berusia di sekitar awal lima puluhan.

Kedua-duanya melemparkan senyuman yang menampakkan sebaris gigi putih bersih. Wajah mereka terpancar kemesraan. Serta merta perasaan saya lega dan selesa menerima kehadiran mereka.

Selamat datang ke apartment kecil kami. Biar saya bantu sangkutkan jaket.

Mereka menghulurkannya. Sebaik sahaja mahu melangkah ke ruang tamu, serta-merta terkeluar daripada bibir dengan kata-kata spontan,

Saya mohon maaf. Kami tidak memakai kasut di dalam rumah. Tuan boleh menanggalkan kasut di sini.

Mereka akur. Suami menjeling tajam ke arah saya. Dengan tidak memandang wajah suami, saya mempersilakan mereka duduk di sofa. Kemudian saya segera menuang jus oren dan menghulurkan kepada mereka.

Sejukkah di luar sana?

Ya… ya… daun-daun sudah gugur. Pokok sudah tinggal ranting. Ia suasana menarik

Itulah ayat pembuka kata paling selamat bila mahu memula komunikasi dengan penduduk United Kingdom. Bertanyalah tentang cuaca. Ia pasti menjadi topik mudah walaupun jawapannya sudah dimaklumi. Saya berbual-bual sebentar sebelum memohon diri untuk menyediakan hidangan.

Alhamdulillah, saya rasa sangat teruja untuk menjamu mereka makan. Hidangan diangkat satu persatu dan lancar sekali saya menerangkan resepi dan bagaimana ia perlu dinikmati. Pertama, hidangan pembuka mulut yang telah diubah suai mengikut rasa setempat. Saya namakan popia Bangor.

Baik, mari saya tunjukkan cara bagaimana mahu menikmati hidangan ini

Mereka beralih tempat dari sofa ke meja makan. Saya hulurkan piring seorang satu. Kemudian saya mengambil lempeng atau kulit luar popiah buatan sendiri dan letakkan ke atas piring mereka.

Di dalam dulang ini ada racikan timun, lobak merah, taugeh, sengkuang, daun selasih dan salad. Ini pula adalah carikan isi dada ayam. Ada dua jenis sos di sini, sos cili Thai dan sos Hoisen. Ini pula kacang gajus goreng yang di tumbuk.

Lalu, saya membuat tunjuk cara dengan memasukkan sedikit setiap bahan ke dalam kulit lempeng tersebut. Tambahkan sedikit sos hoisen serta sos cili dan taburkan kacang gajus. Kemudian saya mengulungnya seperti mengulung popiah basah di Malaysia. Saya mengambil alih teraju dan mula mengawal keadaan. Suami hanya membiarkan sahaja gelagat saya. Mereka teruja dan mencubanya. Serta merta suasana menjadi santai dan mesra. Mereka melakukannya sambil ketawa.

No… No… tuan isi penuh sangat.

Oh ya ke, saya terlebih memasukkan isinya.

Stuart tersengih. Kelihatan beliau kesukaran menggulung popia tersebut. Ia nampak mudah tetapi memerlukan sedikit kreativiti dan kesenian bagi menjadikan ia cantik, comel dan menawan.

Serentak kami tertawa. Lalu suasana petang itu menjadi sangat santai. Makanan menjadikan ia lebih mudah walaupun kami berbeza budaya. Ia ibarat satu keluarga atau rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Akhirnya, mereka mencuba kesemua hindangan satu persatu tanpa segan silu.

Ratna,
Apa sudahnya kisah itu? Tunggu kemunculan buku terbaru Bukan Sekadar Resipi : Aroma Antara Benua di pasaran nanti. Sekian dahulu, salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Masakan, Muhassabah. Bookmark the permalink.

15 Responses to Petikan Resipi 31- Popia Bangor

  1. Ummu Adhwa' says:

    Wow.. Very good marketing pn roza.. InsyaAllah akan mendapatkannya

  2. Hairani says:

    Assalam..

    Huwaaaaa… Kena tunggu buku sebenar ya! Baiklah… :(

    ** he he..

  3. Rina says:

    Assalammualaikum Pn Roza,

    Mcm menarik aje resipinya. InsyaAllah dh ada bukunya saya cuba resipi tersebut dgn adik saya. Utk buku yg pertama tu, adalah beberapa resipi yg kami dh try. Kek coklat, lasagna n quiche cendawan. Alhamdulillah semuanya jadi dan kami sekeluarga mmg sukakannya… Moga Allah mempermudahkan urusan Pn. Roza menyiapkan buku baru… Aminnn…

  4. ctz says:

    Baca intro pun dah best! Insyaallah. .Tak sabar nak beli..

  5. --- says:

    Salam… jelas terpancar keikhlasan dalam melayani tetamu.

    InsyaAllah… saya menanti buku Puan Roza – Bukan Sekadar Resipi : Aroma Antara Benua

  6. Nana says:

    Assalamualaikum Kak Roza

    Perkongsian yang menarik untuk melihat ke dalam diri..T.kasih Allah..t.kasih Kak Roza..

  7. RR says:

    Salam Pn Roza,

    Tersenyum bila baca entri ni….Resepi dari hati yg ikhlas.

  8. Aneeqa says:

    Assalam puan Raudzah, prof dan anak anak,

    semuga dalam redha Allah dan sehat sejahtera selalu.

    Penulisan yang mempunyai tarikan yang luar biasa sehingga tertanya tanya apa kesudahan nya. Satu lagi buku yang di nanti nati kan.

    semuga puan dan keluarga di limpahi rahmat Allah.

  9. hzm says:

    Salam Sejahtera Pn Roza,

    Harap puan sebut nama Stuart dan Heather dalam doa puan , mudah-mudahan Allah beri mereka cahaya petunjuk dan taufik hidayah.

  10. Salwa says:

    Menarik la Kak Roza.. Alhamdulillah, keikhlasan akak menyajikan hidangan terbaik utk para tetamu memang saya kagumi.. Moga Allah merahmati (“,)

  11. foziah says:

    As Salam Pn Roza

    x sabar nak tunggu buku baru pn. terima kasih

  12. Dalilati binti Muhamat says:

    Salam,
    Teringat suasana cuaca yg sama ketika saya tinggal di Shrewsbury, Shropshire dahulu – tak jauh dari Bangor. Dapat saya bayangkan juga adat melayan tetamu British. Semoga Allah memberi yg lebih baik bagi kita, pengajaran dari setiap yg dilalui.

  13. Izan says:

    Salam..Menariknya kehidupan prof @ Pn. Roza…Besarnya nikmat yang Allah kurniakan pada hambaNya..

  14. mazlina says:

    Assalamu’alaikum Pn Roza dan pengunjung RKDU

    Perkongsian indah lagi penuh pengajaran! Comelnya, kena buka
    kasut..

    WaLlahu’alam. Wassalam

  15. zarifah hanim says:

    kehidupan pn kelihatannya amat indah sekali…tp bukan semua insan dapat melaluinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>