Tahniah anakku!

Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga dibawah lindungan serta kasih sayang Allah sentiasa di dunia dan di akhirat.

Ratna,
Dua tahun dahulu, kak Ngah pernah berpesan kepada pelajar-pelajar tahun akhir di akhir semester. Kak ngah katakan kepada mereka;

“Duhai pelajar-pelajarku, kamu umpama anak-anak saya kerana anak-anak saya seusia kamu. Jadi, dengar pesanan ini baik-baik. Barangkali ini wasiat terakhir dari saya buat kamu.”

Mereka memasang telinga, merenung tajam dan mana-mana yang mengantuk membulatkan mata. Lalu, kak ngah membacakan Surah Luqman, ayat 13-19 kepada mereka;

“Duhai pelajar-pelajarku, saya ingin menyampaikan pesanan sebagaimana nasihat yang disampaikan oleh Luqman kepada anak-anaknya. Luqman berkata kepada anaknya:

Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Ratna,
Mereka tunduk diam sambil mengangguk-anggukan kepala. Lalu, kak Ngah teruskan lagi ;

“Duhai pelajar-pelajarku, Barangkali selepas ini kamu bakal menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Kemudian, Insya Allah..barangkali kamu menjawat jawatan besar.

Setinggi mana pun jawatan, jangan lupa kepada guru yang telah mengajar kamu dari tidak tahu membaca sehingga kamu telah celik ilmu. Jangan lupa mengenang jasabaik ibubapa yang sentiasa mendoakan kejayaan kamu sejak bayi. Walaupun kamu telah berumahtangga nanti, ibubapa masih mengenang ketika kamu berbelit-belit di kaki. Kasih sayang mereka tidak berubah walaupun perasaan, fikiran dan fizikal kamu telah berubah.

Jangan sombong kepada mereka. Walaupun pelajaran mereka barangkali tidak tinggi tetapi dengan doa dan izin Allah, mereka berjaya menyekolahkan kamu sehingga ke peringkat universiti.

Ingatlah..sujud syukur kepada Allah. Ketika kamu bergembira menyambut skrol di hari konvokesyen, orang pertama yang perlu bagi kamu untuk berterima kasih adalah ibu dan bapa. Kemudian guru-guru yang pernah mengajar kamu. Sekurang-kurangnya hantarkan pesanan ringkas berbunyi :

“Terima kasih emak dan abah. Juga terima kasih cikgu.”

Atau apakah keadaan menjadi sebaliknya? Ibubapa dan guru-guru dari jauh perlahan-lahan berbisik-bisik di dalam hati,”Tahniah anakku di atas kejayaan mu!” Sedangkan anak-anak atau pelajar-pelajar itu sudah tidak lagi peduli. Malah guru-guru yang semakin tua sudah semakin tidak dikenali.

Ingatlah.. jangan jadi seperti anak Nabi Nuh, sebagaimana yang diceritakan dalam surah Hud. Antaranya Allah berfirman:

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. (42)

Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. (43)

Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim. (44)

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri dan bahawa janjiMu itu adalah benar dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya. (45)

Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil. (46)

Nabi Nuh berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi. (47)

Ratna,
Allahu Akbar! Tiba-tiba kak ngah sebak mengenangkan Sara dan Azrai yang jauh di mata. Bimbang.. apakah sudah jelas pesanan kami sebagaimana pesanan Luqman kepada anak-anaknya? Bimbang..apakah usaha kami gagal sebagaimana Nabi Nuh gagal membawa anak dan isterinya ke syurga? Na’uzubillah..

Allahu Akbar! Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Mudah-mudahan kita semua tergolong dari orang-orang mukmin yang berjaya di sisi Allah dan bertemu semula di syurgaNya.

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

About rozaroslan

Living in Madinah
This entry was posted in Keluarga, Kerenah anak-anak, Muhassabah. Bookmark the permalink.

13 Responses to Tahniah anakku!

  1. Hazizah... says:

    Terima kasih Pn Roza…
    entri ini menjentik rasa saya… sebagai anak… sebagai ibu.. sebagai guru… sebagai hamba allah….

  2. mazlina says:

    Assalamu’alaikum Pn Roza dan pengunjung RKDU

    Ya, mudah-mudahan bagi yang mempunyai murid atau pelajar,
    dapat sentiasa cuba suntik pengisian seperti ini kepada mereka.
    Moga kita tergolong sebagai insan yang berusaha menjaga adab
    susila terhadap ibu-bapa, bahkan guru dan bekas guru.

    WaLlahu’alam. Wassalam

  3. SALIZA says:

    Salam Pn Roza…
    Entry ini benar2 menyentuh rasa..tiap kali saya menghadam tulisan2 Pn..rasa cemburu atas apa yg mampu Pn lalui…Pn..sungguh kuat dan tabah..pasti Allah Yg Maha Mengetahui akan mmbalas setiap kebaikan yg Pn kongsikan bsama khalayak…Semoga Allah Merahmatimu saudara seagama yg dikasihi….

  4. zeqzeq says:

    Aaaminnn ikut nasihattt cikgu

  5. farabella_rizal says:

    Assalamualaikum,

    Ini merupakan pertama kali sy membaca blog Pn. Roza. Alhamdulillah, byk pengajaran dan peringatan yg sy dpt. Syukur.

    Ada jgk sedikit sbyk sy share bersama teman2 fb sy. Minta halal ye Puan.

  6. zeqzeq says:

    Assalammm tumpang tanya kenapa KRTS slow bila nk buka,,,my problem atau sebaliknya?

  7. Muna Fairuz says:

    Assalamualaikum wbt Puan Hajjah Raudzah serta keluarga dan khalayak RKDJU,

    Terima kasih di atas perkongsian di atas.Semoga menjadi ilmu yang bermanfaat.

    Tahniah buat Sara Fateha dan Haris Azrai!

  8. sharifah nilawati says:

    Assalamualaikum..pn hajah Raudhah

    Saya teman baru yg selalu buka blog pn…saya rasa pn adalah og yg bertuah sbb diberikan Allah ilmu dan kebolehan menulis yg seronok dibaca dan mudah difahami… tambahan pula pn dpt solat setiap hari dimasjid nabawi bersama keluarga… Allah pilih pn dan Prof….memang pilihan Allah sangat tepat…perancangan Allah sangat hebat.. Tahniah…doakan saya juga semoga Allah berkati keluarga saya.. walaupun kita tak pernah bersua muka tapi rasa kenal rapat dgn pn dan prof sbb tulisan pn dan prof sentiasa memberi motivasi bagi org yg hendak berubah berhijrah kepada yg lebih baik.

  9. ummi says:

    Assalam puan Roza, entry menarik yang sepatutnya juga dibaca oleh anak-anak. Seronoknya hidup berkeluarga bila anak2 juga membesar di depan mata. Sebagai ibu dan bapa memang kita tak pernah mengharapkan apa-apa dari anak2, tetapi kalau apa-apa terjadi kepada kita, kita selalu berharap agar anak-anak mengerti dan mengenang apa-apa yang telah kita lakukan untuk mereka. Semoga anak-anak kita tergolong di dalam insan-insan yang soleh dan solehah, pandai berterima kasih, selalu berterima kasih dan berpanjangan kasih mereka kepada kita….amiinn..

  10. Faridah Ipoh says:

    Assalamualaikum Pn Roza sekeluarga dan warga RKDJU , semoga dalam peliharaan Allah.
    Semoga rindu Puan terhadap anak anak remaja Sara dan Azrai di tanahair terubat dengan curahan bait bait ayat yang berupa doa penenang jiwa. Rintihan yang sama tentunya menjadi penawar kepada ibu ibu lain yang berpisah jauh dengan anak-anak,
    Tahniah kerana terus dapat mengkongsikan cetusan rasa keibuan yang syahdu sekali.Semoga terus diberi hidayah untuk berkongsi penulisan sebegini..amin.

  11. hzm says:

    Salam Sejahtera Pn Roza,
    Macam itulah sebuah kehidupan, kita bersyukur ibubapa kita telah berjaya membentuk kita dengan izin Allah SWT dan dengan izin Allah SWT jualah , kita akan berjaya membentuk anak-anak kita pula.
    Untuk anak-anak yang yatim piatu atau yatim kita harapkan yang terbaik untuk mereka dalam menghadapi ketentuan Illahi ini. Mereka sesekali tidak akan tertinggal dalam turut menerima ucapan, ‘Tahniah” bila tiba waktu dan saat sewajarnya.
    Bagi mereka yang tidak dikurniakan zuriat sehingga akhir hayat mereka semoga menjalani kehidupan dalam keredhaan (begfitulah juga untuk mereka yang dipinjamkan zuriat untuk waktu yang amat singkat)
    Bersyukurlah kita yang diizinkan Allah dapat ucapkan tahniah kepada anak-anak kita semasa kejayaan mereka dalam pelajaran, mendapat jodoh dan seterusnya dikurniakan zuriat.

  12. Noram.noor says:

    Assalamu’alaikum Pn. Roza serta keluarga…..
    Saya pertama kali menjengah ruangan Puan…Masyallah…perkongsian pengalaman dan ilmu puan sungguh memberi kesan disanubari. Saya telah pun membaca karya Prof:Travelog haji dan dan airtangan puan : Bukan Sekadar Resepi…..hati terdetik…bertuahnya puan dan suami diberi anugerah kepandaian berkarya….saya pernah berhasrat utk menulis berkongsi rasa dan kisah hidup setelah bergelar ibutunggal…terutama cabaran membesarkan anak-anak yg sedang membesar….tp nampaknya tidak kesampaian. Mungkin saya hanya mampu kongsi dan mengadu kpd Allah yg Maha Mendengar dan Maha Pengasih lagi lagi Penyayang…
    Apa yang saya mampu lakukan sekarang adalah berdoa dan berdoa serta mengharapkan kasih sayang Allah agar diberi kekuatan utk mendidik anak-anak disamping mencari rezeki….Nasihat Lukmanul Hakim yg Puan kongsikan di ruangan ini amat tepat sekali utk semua pembaca….terima kasih Puan….semoga Allah memberkati segala usaha Puan….

  13. ROIHAN BINTI IBRAHIM says:

    Salam Sejahtera Pn Roza,
    semoga Pn Roza dan keluarga sentiasa sihat serta di berkati Allah..
    saya sangat menyukai buku-buku Pn Roza,,ia bukan sekadar buku yang biasa malah menjadi luar biasa,,bila membacanya,maksud yang mendalam bila difahami dan di hayati..menimbulkan keinsafan dalam diri ini…

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>