Mereka tidak tahu

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Ratna,
Kelmarin, usai solat asar, Kak Ngah bersiap sedia untuk menghantar Sofea ke tempat halaqah qur’an. Tiba-tiba dari saf ke dua, kami terdengar salah seorang dari sekumpulan kecil jemaah Malaysia menegur :

“Minta maaf, ini puan Roza dan Sofea?”

“Ya, saya.”

Lalu, kak Ngah dan Sofea di peluk arab seorang demi seorang. Jelas wajah teruja mereka. Barangkali mereka tidak menyangka akan bertemu kami di saf pertama masjid Nabawi ini.

“Minta maaf akak nak tanya, tadi..selepas solat asar, mereka sembahyang apa?”

Kak Ngah merenung muka mereka seorang demi seorang. Melihat mereka timbul simpati di hati.

“Oh.. itu solat sunat jenazah. Dalam satu hadis sahih ada menyebut, barangsipa mengerjakan solat jenazah pahalanya sebanyak satu qirat. Satu qirat umpama sebesar jabal Uhod. Namun, hakikatnya kita niat lakukan kerana Allah bukan kerana pahala itu. Hajjah ada bawa buku panduan solat sunat? Mari saya tunjukkan…”

Lalu, kami sama-sama mencari cara-cara sembahyang sunat jenazah dari himpunan solat-solat sunat.

“Minta maaf banyak-banyak hajjah, saya mohon menghantar Sofea ke tempat mengaji. InsyaAllah, saya datang semula ke tempat ini.”

Setelah menghantar Sofea, Kak Ngah segera kembali ke tempat mereka. Yang tinggal hanya berempat.

“Yang lain sudah pulang ke Hotel?”

“Ya. Mereka mahu berehat”

” Berapa hari hajjah berada di Madinah ini?”

“Tiga hari. Esok, kami akan berangkat ke Mekah.”

“Baik. Hajjah cuma ada 3 hari sahaja di Madinah. Minta maaf, saya bertanya, Kenapa tidak berehat sahaja di Haram, niatkan itikaf kerana Allah. Hanya 3 hari sahaja di sini.. sayangnya kita datang sejauh ini lalu menghabiskan masa berehat di hotel.”

“Entah berapa lama kita berdoa dan mengumpulkan wang untuk sampai ke sini. Di Haram, kita boleh mengaji quran. Penat mengaji, kita sembahyang sunat atau berzikir banyak-banyak. Bertasbih dan berselawat kepada rasululullah. Nanti bila pulang..kita akan merindui saat-saat seperti ini.”

Mereka mengangguk-anggukkan kepala. Benar, melihat mereka timbul simpati di hati.

“Puan..kami semua balu. Kami dengar macam-macam cerita jenayah yang berlaku. Jadi kami banyak habiskan masa di hotel sahaja.”

“Jangan begitu. Cerita-cerita seperti itu barangkali datangnya dari orang yang menjadikan alasan untuk tidak ke Haram. Di sini, InsyaAllah, semua jemaah yang datang kerana Allah. Mereka mahu mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha kuasa. Tidak mungkin dengan sengaja mahu melakukan kemungkaran kepadaNya.”

Mereka mengangguk-angguk sahaja. Seolah-olah kenyataan itu baru didengari buat pertama kali. Benar, melihat mereka timbul simpati di hati.

“Puan..apa lagi yang akak boleh pelajari di Mekah dan Madinah ini. Ini umrah kami buat pertama kali.”

“Kak hajjah, saya pun bukannya pandai..namun, dua perkara yang saya mahu kakak semua lakukan. Pertama, bangun awal ke Haram untuk berqiamulai. Di sini, InsyaAllah kita boleh terjaga seawal 2 pagi. Jika dulu kita rasa tidak mampu solat tahajud, solat taubat dan solat-solat sunat…InsyAllah, di sini Allah memberi peluang kepada kita. Kedua, cubalah puasa sunat sekurang-kurangnya Isnin dan Khamis.”

Tiba-tiba, salah seorang mencelah.

“Yalah..suami pun sudah tiada, kami makan ala kadar sahaja. Jika begitu..lebih baik berpuasa.”

Ratna,
Dari perbualan singkat, barulah kak Ngah tahu…rupa-rupanya usia tua bukan bermakna mereka tahu segala-galanya. Walau garis-garis kedut sudah jelas di wajah, bukan bermakna mereka sudah menjalankan segala amalan yang dituntut oleh Allah.

Benar, melihat mereka ada perasaan simpati di hati. Mereka itu mungkin ibu atau emak-emak saudara kita. Barulah kak Ngah tahu, rupa-rupanya banyak yang mereka tidak tahu.

Semuga Allah memberi taufiq serta hidayah kepada kita semua dengan kasih sayangNya.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Muhassabah, Umrah | 15 Comments

Wallahi..kami letih

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga sentiasa dirahmati Allah di dunia dan di akhirat.

Ratna,
Semalam, Rabu adalah hari yang mencabar. Ia barangkali seperti hari Jumaat jika di Malaysia. Hari yang paling hampir dengan cuti hujung minggu. Seringkali kak Ngah diminta oleh pelajar-pelajar agar dipendekkan masa kuliah yang bermula pada pukul 1.00 tengahari dan berakhir pada 2.50 petang.

“Teacher…wallahi we all tired.”

“Really? Wallahi, I am tired too.”

“So..teacher. Let us stop after one hour lesson, ok?”

” I love too..but Wallahi.. I am scared of Allah Subhanawatalla. Allah will questioned us about our time.”

Lalu, mereka membuat muka, sedikit mengeluh dan tunduk diam.

Begitulah.. dimana-mana sahaja, gelagat pelajar remaja hampir serupa. Mereka perlu sentiasa diingatkan agar takut kepada kemurkaan Allah, Tuhan yang menjadikan alam ini. Allah ada dimana-mana. Malah, bukan hanya di masjid, di Mekah atau di Madinah. Pemerhati serta pencatat amalan, wakil Allah ada di kiri kanan kita.

Wallahi, tidak takutkah kita apabila melakukan sesuatu yang menjadi kemurkaanNya?

Ratna,
Dalam masa yang lain, kak Ngah melihat seorang pelajar yang masuk ke kelas dalam keadaan tergesa-gesa. Dia kelihatan sangat letih. Selepas meletakkan beg, dia meminta diri untuk bersolat. Kelas 10 minit lagi akan bermula.

“Eradah..awak kelihatan letih.”

“Ya. Bayi saya yang berusia 5 bulan meragam dan tidak tidur sepanjang malam.”

Lalu, lima minit sebelum kelas berakhir kak Ngah tutup dengan peringatan untuk diri tentang letih. Suasana kelas berdengung-dengung, mereka mulai resah.

“Allah, Allah ya Allah. Saya tahu kamu semua letih. Lebih-lebih lagi bagi pelajar yang sudah bergelar ibu. Kenapa saya tahu? Kerana saya telah melaluinya. Saya adalah salah seorang ibu itu ”

Mereka memberikan perhatian.

“Semasa saya menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda, saya sudah mempunyai 3 orang anak. Pagi, selepas menghantar anak ke sekolah, saya ke tempat kerja. Saya menjemput mereka dari sekolah, memberi makan tengahari kemudian menghantar mereka belajar pula di sekolah petang. Pulang kerja di waktu petang, saya menjemput mereka dari sekolah dan terus ke bilik kuliah. Malam baru saya pulang.”

Mereka memberikan perhatian.

“Saya sampai di rumah hampir pukul 10.30 malam. Saya mengutip kain baju, masukkan ke dalam mesin. Menyapu dan mengemas rumah. Kemudian menyidai baju di ampaian. Hampir pukul 12 malam baru selesai urusan. Sebelum tidur saya mandi bagi menyegarkan badan. Sambil mandi, saya sering meratap seorang diri.. Menangis menghiba-hiba mengenangkan diri. Bertanya-tanya kepada diri apa yang saya mahukan di dalam kehidupan?”

“Namun..satu perkara yang mahu saya kongsikan. Sentiasa bersyukur kepada Allah. Dia telah mengurniakan kita seorang suami yang bertimbangrasa, mengizinkan kita mengejar cita-cita. Kamu yang telah berumahtangga memilih untuk terus belajar bukan?”

“Satu lagi yang mahu saya kongsikan..bangunlah solat malam dan berdoa kepada Allah agar dikuatkan semangat serta dipermudahkan segala urusan.”

Kak Ngah tidak mahu mengulas panjang kerana mereka memahami bahasa al-Quran. Lalu, apabila pulang ke rumah kak Ngah membuka terjemahan al-Qur’an dan melihat semula surah al-Muzammil ayat 1-9. Antaranya Allah berfirman yang bermaksud:

Wahai orang yang berselimut.[2] Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),[3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,[4] Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). [6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.[7] (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;[8] Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan. [9] Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

Ratna,
Wallahi.. siapa yang tidak pernah merasa letih? Namun, biarlah seluruh kehidupan kita adalah untuk meraih redha Allah. Menyembah dan beribadat semata-mata ikhlas keranaNya. Dan.. biar sahaja mati nanti menjadi waktu rehat untuk kita dari keletihan dunia.

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Muhassabah, Taibah Universiti | 31 Comments

Demi masa

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga segala urusan dipermudahkan serta dilimpahi kasih Allah sentiasa.

Ratna,
Maaf kerana sudah lama tidak menghantar berita. Sungguh, Allah bersumpah dengan masa. Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Sibuk sangatkah kak Ngah? MasyaAllah, jika dikenangkan.. Allah memperuntukkan setiap manusia sebayak 24 jam sehari semalam. Masih tidak cukup lagikah?

Ada orang sentiasa cukup masa dalam urusannya. Dia menunaikan hak yang perlu dilunaskan sebagai hambaNya. Ada pula yang sentiasa sibuk. Malah sibuk itulah yang menghalang dia dari kecukupan masa. Lalu, tahukah dia yang sibuk itu akan terhenti apabila dia mati? Dan dia hanya akan sedar apabila masuk kubur dan setiap urusan sibuknya pasti ditanya.

MasyaAllah tabarakallah! Sibuk sangatkah kak Ngah? Kali ini kak Ngah mahu melihat urusan masa orang-orang disekeliling dan juga diri sendiri.

Ratna,
Sebelum dan lepas subuh, rutin kak Ngah bermula. Menyediakan sarapan untuk anak-anak ke sekolah dan kemudian memasak bagi hidangan tetamu Allah. Kemudian, kami bersiap sedia untuk ke bilik kuliah.

Kuliah kak Ngah bermula seawal 9 pagi dan berakhir pada 3 petang. Setiap kali memasuki kawasan kolej [dikenali sebagai girls section] kak Ngah menyaksikan remaja arab ini dengan seribu wajah. Ada yang senang bersendirian, ada berduan dan ada yang duduk berkumpulan berkelah bersama “Tharmus” qahwah.

kak Ngah suka melihat kumpulan yang riuh rendah mengejar sebiji bola. Mereka bermain futsal!

Biasanya kak Ngah ke kelas 10 minit lebih awal dan sudah ada pelajar didalamnya. Sebagaimana pelajar-pelajar di negara kita, mereka terdiri dari 3 kategori : barisan hadapan, barisan tengah dan barisan belakang.

Barisan hadapan adalah kategori yang proaktif, mereka rajin bertanya itu dan ini. Barisan tengah diperingkat sedang-sedang, mereka respon jika kita memberi perhatian kepada mereka. Pelajar di barisan belakang – mereka datang ke kelas dengan hanya membawa hati, perasaan dan badan! Kertas dan pen pun tiada di tangan mereka!

Mereka juga dibahagikan lagi kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama, mereka bercakap apabila di minta bercakap. Kumpulan ke 2, mereka sentiasa bercakap walaupun di minta berhenti bercakap dan tidak akan bercakap jika di tanya berkaitan dengan topik yang sedang di ajar kepada mereka.

MasyaAllah tabarakallah! Demi masa… Hidup itu indah.

Ratna,
Lat antara masa kuliah adalah 3 jam.Kuliah pertama bermula pada pukul 9, tamat sejam kemudian. Kuliah ke dua akan disambung semula dengan kumpulan berlainan pada pukul 1 dan selesai pada pukul 2.40 petang. Jadi, usai kuliah pertama biasanya kak Ngah terus sahaja ke Musollah [surau]. Di situlah kak Ngah duduk – mengedit manuskrip atau memahami hukum tajweed atau menghafal qur’an.

Ramai juga pelajar-pelajar dari program-program yang berlainan menumpang teduh, sementara menanti kuliah bermula. Mereka, seperti juga pelajar di negara kita, masing-masing sibuk dengan laptop dan telefon bimbit. Ada kumpulan yang tidak henti-henti bercerita, ada yang tidur, ada yang duduk termenung sahaja, ada seorang dua sembahyang dhuha dan ada juga sedang menghafal quraan.

MasyaAllah tabarkallah! Demi masa… Hidup itu indah.

Ratna,
Usai kuliah, kak Ngah bergegas pulang. Di luar pagar, abang Ngah sedia menunggu. Sampai di rumah sekitar 3.30 petang dan kami bergegas pula ke haram. Di haram, ujian hafazan quran sedia menanti, setiap hari! Selepas solat Isyak, baru kami pulang.

Di ruang atas letak kereta no.11A kami sekeluarga menunggu tetamu Allah yang sudi mengunjungi rumah kecil kami di Jabal Uhod. Kami melayani mereka sebentar dan biasanya menghantar mereka pulang ke hotel sekitar 10.30 -11.00 malam. Esok, jika masih dipinjamkan nyawa oleh Allah.. rutin itu bermula lagi.

MasyaAllah Tabarakallah! Demi masa..Hidup itu indah.

Ratna,
Ya Allah, kami sentiasa berdoa agar diberikan kesihatan yang baik, diberikan kelapangan masa serta dilapangkan dada agar dapat menjalankan rutin harian seperti yang telah ditetapkan olehNya. Sungguh, nanti… bila mati kita akan ditanyakan tentang pembahagian masa kita setiap hari. Dan ia dicatat setiap satu malah tidak akan terlepas sedikitpun hatta sebesar zarah.

Sekian, semuga Allah mencukupkan masa bagi kita untuk sentiasa mengingati dan mendekatkan diri kepadaNya. Salam sayang dari kami sekeluarga di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

Posted in Muhassabah, Taibah Universiti | 25 Comments

Impian

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semua di dalam peliharan Allah dan dipermudahkan setiap urusan.

Ratna,
Hari Selasa minggu lepas kak Ngah melapor diri untuk bertugas di Universiti Taibah, Madinah. Membuat temujanji bertemu Dr Wafa [Naib dekan] pada pukul 11 pagi dan akhirnya kami berjumpa. Perjumpaan yang sangat mesra. Dr Wafa menyambut dengan pelukan serta bertanya khabar. Sambil melepaskan pelukan, kak Ngah berkata;

“MasyaAllah..Dr Wafa, awak lebih muda dari yang saya sangkakan.”

Dr Wafa berkata sambil tertawa,” Ana lughatul inglizia.. maa arif.”

“Dr Wafa…maa fi musykil. Ante fahmi, ana fahmi..khaalas!”

Dan kami sama-sama tertawa. Begitulah. Kemudian, Dr Wafa meminta pembantu peribadinya menyerahkan jadual waktu. Kak Ngah menyambutnya lalu si buta bahasa arab ini mentafsir serta cuba menghadamkannya. Tanpa berlengah, pembantu Dr Wafa menterjemahkannya. Alhamdulillah.

“kod MGM 204. Business communication. 2 kumpulan dan ini hari serta masanya. 2 hari dalam seminggu. Jumlah masa pengajaran 6 jam.”

“Jazakallahukhairan..ana maa’lum.”

Dalam hati terkenang nota dari rakan-rakan UiTM yang sudi berkongsi ilmu,” Alhamdulillah, terima kasih Nisa Abd Rahman dan Encik Ahmad Kamil. Semuga Allah memudahkan urusan kalian di dunia dan diakhirat.”

Ratna,
Kuliah bermula keesokannya- Rabu. Kumpulan pertama pada pukul 9 – 9.50 pagi dan kumpulan ke 2 pada pukul 1-2.40 petang. Langkah pertama, kak Ngah harus mencari blok kuliah kemudian mencari kelas. Alhamdulillah, pengawal wanita dengan mesra menunjukkan tempatnya.

“Blok 12, bilik 206. TEC [Teaching enable classroom]..canggih!” kak Ngah berbisik sendiri.

Sengaja kak Ngah datang awal 15 minit untuk melihat keadaan. Puas kak Ngah mencari-cari cara bagaimana mahu membuat projektor di atas siling itu beroperasi. Tiba-tiba terkenang Encik Ashraf atau Encik Roslan, pegawai IT & Media UiTM Segamat yang akan segera datang ke bilik kuliah hanya dengan satu panggilan. Kadang-kadang, berkejar-kejar mereka datang hanya untuk menekan satu punat ajaib..lalu projektor pun menyala!

“Yang..tolong saya. Projektor ni tak menyala. Wayar ni..nak sambung di mana?”

Lalu, dari blok siswa..terdengar telefon bimbit abang Ngah memberi arahan itu dan ini. Hish..hish..masalahnya apa yang ditulis dalam bahasa arab ni?

Sepuluh minit kemudian, 2 orang pelajar muncul. Mereka menghulur tangan, kami bersalaman. Kak Ngah mengucapkan selamat datang dan mempersilakan mereka duduk. Beberapa minit kemudian muncul beberapa orang pelajar lagi. Fesyen remaja mereka beraneka rupa. Salah seorang pelajar bernama Deemah berkata;

“Teacher..biasanya minggu pertama tidak ramai yang datang. Mereka fikir kelas belum bermula. Nanti kami hubungi mereka.”

Lalu, pelajar yang hadir menghubungi rakan-rakan mereka.

Hari itu, kak Ngah hanya melakukan sesi suaikenal sahaja. Mahu melihat sejauh mana pemikiran dan pandangan mereka terhadap pelajaran. Soalan kak Ngah :

1-kenapa perlu belajar Business communication?
2-Apa impian kamu di masa hadapan?

“Marhaba. Pertamanya saya sangat gembira sekali melihat wajah manis gadis Saudi. Kamu tersenyum dan tertawa rupanya.. Selama ini di luar sana, setiap kali mahu berkomunikasi, saya terpaksa melihat mata. Kadang-kadang saya harus merenung tajam ke dalam mata yang berkelubung hitam, takut-takut mereka tidak suka apa yang saya ucapkan. Kecuali di Haram..”

Mereka tertawa. Riuh rendah bunyi komen-komen mereka.

MasyaAllah..kak Ngah kagum kerana mereka boleh berbahasa Inggeris dan menuturnya dengan lancar. Apabila di tanya bagaimana kamu boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Ada antara mereka berkata,” Menonton TV.. kami mendengar sebutan mereka. Lagipun kami banyak ke luar negeri.”

Namun, ada juga yang teragak-agak sebutannya. Mereka mencuba sedaya upaya. Kak Ngah membaca resah mereka.

“Jangan bimbang…teruskan. jangan gusar kerana bahasa Inggeris itu bukan bahasa ibunda kita. Yang penting komunikasi 2 hala berlaku dan kita masing-masing faham apa yang mahu disampaikan. Sebab itu jenis komunikasi ada 2 cara – Verbal dan non verbal”

Ia berjaya. Wajah resah mereka bertukar ceria. Sedang kelas kami riuh rendah bertukar maklumat, tiba-tiba di luar kelas ada sekumpulan pelajar menjenguk. Pelajar di dalam kelas menunjukkan isyarat jam tangan yang menandakan masa belum tamat. Akhirnya,

“Hanna, jemput mereka masuk..”

Tiga orang pelajar masuk. Wajah cantik dan dengan penuh ceria mereka bertanya,

“Teacher, kelas kami dengan teacher tengahari ini. Ada kelas kan?”

“Cuba tenguk jadual kamu. Subjek apa?”

“MGM 204. Blok 8, bilik 801..”

“MasyaAllah..ya habibi. Sabar..kita jumpa petang nanti ya. Kamu mengesan jejak saya..?”

Mereka keluar sambil tertawa.

Ratna,
Petang itu juga, pengalamannya hampir serupa. Mereka meluahkan apa impian mereka. Secara kasarnya dapat dirumuskan yang mereka juga rupanya mempunyai impian. Antaranya meluahkan;

“Kami mahu belajar setinggi mungkin, jika boleh sampai peringkat Phd. Belajar bukannya sesuatu yang mudah bagi wanita Saudi.”

“Saya mahu menjadi pengurus syarikat sendiri.”

“Saya mahu belajar sekurang-kurangnya sampai peringkat Master. Saya mahu bekerja di jabatan kerajaan.”

Dengan penuh tanda-tanya kak Ngah berkata;

“Wanita Saudi boleh bekerja dan mempunyai syarikat sendiri?”

Jawab mereka;

“InsyaAllah..mungkin bukan di Saudi tetapi di U.A.E, Bahrain, Jeddah atau di luar sana.”

“InsyaAllah, saya mahu membuka syarikat sendiri bagi keperluan wanita saudi.”

“Apapun..kami mahu meningkatkan ilmu pengetahuan, mungkin bukan untuk kami..tetapi buat anak-anak lelaki kami.”

Tiba-tiba, kak Ngah melihat wajah redup mereka.

“Ya..Jangan bersedih. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kamu. Berdoalah sesungguh hati. Sungguh, Allah maha mendengar.”

Kak Ngah teruskan;

“Tahukah kamu wahai gadis-gadis Saudi.. betapa beruntungnya kamu dilahirkan sebagai Saudi? Bersyukurlah. Di luar sana, wanita-wanita harus bertungkus-lumus bekerja mengerakkan tulang empat kerat mereka. Anak-anak yang dalam susuan juga harus ditinggalkan..ada antara mereka yang bekerja bukan kerana suka-suka. Ia suatu keperluan untuk hidup.”

MasyaAllah, mereka tunduk diam. Dan sesi suai kenal hari itu kak ngah tutup dengan kata-kata;

“Hidup ini sebenarnya suatu perniagaan. Apa yang kita usahakan di dunia..untung ruginya diperlihatkan di akhirat nanti.

Belajarlah supaya kita tahu bersyukur. Teruskan impian itu, jangan berputus asa dengannya. Sungguh, Allah tidak sesekali menginaiya kita. Malahan, jika ditakdirkan kamu tidak dapat mengapai impian yang tersemat di hati..sebenarnya itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

MasyaAllah, mereka semua tunduk memandang meja sambil mengesat air mata!

Ratna,
Sekian untuk warkah kali ini. Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Muhassabah | 32 Comments

Lirik cinta siapa

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga sentiasa di dalam kasih sayang dan rahmat Allah.

Ratna,
Semalam seorang rakan FB menulis nota ringkas tentang kuliah al-quran di Shah Alam bersama link ini. Halaqah NTV9 -Lirik cinta siapa [http://youtu.be/ycTk5C1T5YY]

Entah mengapa digerakkan hati oleh Allah, lalu kak Ngah membukanya dan berderai air mata sebaik sahaja mendengarnya. Sungguh, kak Ngah tersihir dengan lirik cinta itu.

Benarlah, di dalam al-quran berulang-ulang kali menyatakan bahawa apabila junjungan besar Rasullullah SAW memperdengarkan lirik cinta itu kepada kaumnya, mereka yang kufur segera berkata;

“Itu tidak lain dari kata-kata sihir yang mahu melunakkan hati kita.”

Bagi mereka yang diberikan taufik dan hidayah – lirik itu secara halus menyentuh qalbu. Hati mereka tersentak lalu menangis teresak-esak, terhiba-hiba lantas segera sujud rebah mengakui kebesaran Allah pencipta alam ini.

MasyaAllah Tabarakallah! Ia lirik cinta dari Allah!

Ratna,
Kak Ngah teringat kisah bertahun-tahun dahulu, sebelum kami berangkat ke Scotland. Naskah lirik cinta itu kak Ngah bawa bersama. Di Scotland, kak Ngah membacanya ketika sunyi sambil tertanya-tanya di dalam hati.

“Allah Ya Allah, sering daku mendengar ustaz menyatakan naskah ini adalah panduan kepada umat Islam. Tetapi, bagaimana mungkin ia dapat menunjukkan jalan sedangkan lirik ini, maknanya tidak daku fahami.”

Apabila kami pulang sebentar dan pergi lagi ke North wales, United Kingdom, kali ini kak Ngah membawa naskah lirik cinta itu bersama terjemahannya. Kak Ngah juga membacanya ketika sunyi dan ketika bersedih hati. Ketika itu, kak Ngah hanya memilih-milih surah yang pendek sahaja.

MasyaAllah Tabarakallah! Ia lirik cinta dari Allah!

Ratna,
Ketika kami baru pulang dari UK, 12 tahun yang lalu..Sara pernah tidak mahu ke sekolah. Puas memujuk secara baik, namun, kadangkala kak Ngah memarahinya. Ia berlaku setiap Jumaat. Katanya dia sakit perut dan muntah-muntah. Sehinggalah suatu hari, 2 orang guru menghantar Sara pulang. Kata cikgu;

“Anak puan tidak sihat. Dia mengadu sakit perut, pening kepala dan muntah-muntah. Anehnya..setiap Jumaat.”

Kak nagah terkenang, Sara sangat petah dan aktif ketika di UK. Di sekolah, guru kelas akan menunggu sehingga Sara menyudahkan karanganannya. Karangan Sara juga sering terpapar di papan notis sekolah. Malah, ketika menjemput Sara pulang, guru-guru akan melambaikan tangan serta mengajak kak Ngah duduk-duduk bersembang di bilik guru . Kata mereka,

“Mari kita minum secawan teh dahulu. Biar Sara menyudahkan karangannya. Budak-budak lain sudah pulang. Mereka hanya menulis semuka sahaja sedangkan Sara mampu menulis sehingga 3-4 muka”

Bayangkanlah..tiba-tiba di Malaysia, Sara tidak lagi seperti itu. Malahan, dia mula membisu.

Ratna,
Kak Ngah masih teringat bagaimana keras hatinya membisu seribu bahasa apabila kak Ngah bertanya kenapa dia bersikap begitu. Sambil menyelimut dan memeluk tubuhnya, Kak Ngah memujuk-mujuk dia.

“Sara..ceritalah pada mama. Ada sesiapa buli Sara?”

Namun, tiada tanda-tanda yang dia akan bercerita. Sehinggalah suatu hari, Allah memberi ilham agar membawa Sara ke kedai buku berhampiran. Kak Ngah biarkan dia memilih buku yang dimahunya dan membawanya ke rak diari remaja. Kak ngah katakan kepadanya;

“Sara pilihlah mana-mana diari yang disukai. Didalamnya Sara boleh tulis cerita setiap hari.”

Hari itu, Sara kembali bersuara sepatah dua dan wajahnya ceria. Dia memilih diari berkunci. Semasa membuat bayaran di kaunter, satu kunci kak Ngah ambil dan satu lagi diserahkan kepadanya. Lalu, setiap hari apabila Sara ke sekolah..[maaf Sara].. diari itu kak Ngah baca.

Ratna,
Tahukah awak apakah yang ditulis didalamnya? Sara menulis di dalam bahasa Inggeris. Antara lain terjemahannya..

“Diariku, Kalau boleh diputarkan masa..mahu rasanya saya kembali seperti ketika di UK. Di sini saya tidak dihargai. Saya tidak pandai berbahasa melayu dengan baik. Hari Jumaat ada pelajaran pengetahuan Islam. Ada hafazan”

“Diariku, Ustaz kata bacaan qu’ran saya pelik. Tidak ada orang Islamkah di UK?”

“Diariku, Ustaz kata saya bermasalah dengan hafazan. Susah sekali terjemahan qur’an..mama, sebutan Sara pelik.”

Lalu, kak Ngah menangis sehingga bengkak mata. Ya Allah, anakku..

Begitulah Ratna… lalu, setiap hari selepas sembahyang berjemaah di rumah bersama anak-anak, Kak Ngah mengajar mereka mengaji dengan merangkak-rangkak. Kak Ngah sama-sama bersusah payah menghafal hafazan dan terjemahan. Kak ngah ceritakan maksudnya sehingga Sara mampu membacanya.

Sara kembali ceria ke sekolah akhirnya. Begitulah..lirik cinta Allah. Seluruh kehidupan serta pandangan mula berubah kerana Allah.

Ratna,
Kak Ngah terkesima dengan lirik cintanya, panduan pedoman, nasihat serta amaran juga kisah-kisah untuk iktibar malah keadaan di hari pembalasan, syurga dan neraka. Didapati, banyak sekali soalan-soalan serta jawapan bocor serta segala tips bagaimana mahu menjadi hamba yang dekat di sisi Allah di dunia dan di akhirat.

Bacalah…lirik cinta milik Allah!

Sekian. Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Halaqah al-qur'an, Muhassabah | 11 Comments

Kenapa mama menangis?

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga Allah permudahkan segala urusan dan disudahi dengan segala kebaikan.

Ratna,
Suasana hening subuh di Makkah pada Jumaat yang lepas sungguh syahdu sekali. Apatah lagi kaabah berada di hadapan mata. Melihat ribuan manusia bertawaf dan yang lain tunduk sujud penuh tawaduk kepada yang maha Esa. Dan kami sekeluarga diberi peluang untuk berada di situ. Lalu, hati bertanya;

“Allah ya Allah, nikmatMu yang mana satukah mahu didustakan?”

Subuh itu, imam membaca surah sajadah pada rakaat pertama dan surah al-Insan pada rakaat ke dua. Entah mengapa, tiba-tiba hati jadi sayu dan pilu apabila dibacakan barisan ayat ini dari surah al-Insan. Antara firmah Allah yang bermaksud;

Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang; (25) Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam. (26)

Gementar. Selepas memberi salam kak Ngah dan Sofea segera ke dataran kaabah, tunduk sujud rebah. Hati berbisik;

“Allah ya Allah, janganlah daku di hukum jika terlalai atau terlupa menyebut namaMu sewaktu jagaku. Jangan lenakan tidurku di buai mimpiku. Kejutkan daku di sebahagian malamMu agar dapat daku tunduk sujud rebah kepadaMu.”

Tiba-tiba Sofea bertanya,

“Mama… kenapa mama menangis?”

“Mama takut, sayang..”

“Takut apa?”

“Takut dengan azab Allah. Takut tidak dapat melakukan suruhanNya seperti dalam surah tadi.”

“Surah tadi kata apa?”

“Suruh kita mengingati Allah pagi dan petang. Suruh kita dalam keadaan apa sekalipun kena bangun malam, bertasbih memuji Allah dengan mengerjakan sembahyang di sebahagian malam.”

Sofea diam. Barangkali dia belum faham.

Dan di hadapan kaabah itu kak Ngah terkenangkan diri, suami, ibubapa, anak-anak, adik beradik, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi. Apakah kita benar-benar telah melakukan segala suruhan Allah dan telah meninggalkan segala laranganNya? Apakah bibir kita sahaja menyatakan “Mahu” namun hati dan jasad merasa berat lantas sedikitpun tidak berusaha melakukannya.

Lalu dipanjatkan doa agar kita semua diberikan kekuatan untuk melakukan seperti tuntutanNya.

Ratna,
Semakin hari garis permulaan perjalanan terasa semakin jauh ditinggalkan, sedangkan hentian terakhir terasa semakin dekat. Sempatkah kita melaksanakan apa yang mahu kita lakukan?

Sekian.

- Rumah kecil di Jabal Uhod –

Posted in Kerenah anak-anak, Muhassabah | 15 Comments

Biarlah ia menyusu..

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga sentiasa di dalam rahmat Allah hendaknya.

Ratna,
Semasa di Haram kak Ngah melihat ramai ibu-ibu yang membawa anak-anak serta bayi mereka yang masih menyusu. Ada juga menyusukan bayi sedangkan mereka sedang mengikuti halaqah al-qur’an.

Melihat mereka, kak Ngah terkenang kunjungan tetamu ke rumah kami dari sekitar Saudi beberapa bulan yang lepas. Kebanyakan mereka terdiri dari Ibu-ibu muda yang mengikut suami bekerja di Saudi. Mereka menyusukan bayi ketika berada di sini. Lalu, terdengar perbincangan mereka sesama sendiri.

“Ya Allah, susah betul anak menyusu badan ni. Sukar berenggang..”

“Ya..anak saya pun begitu. Sudah mahu masuk 2 tahun. Berbagai cara telah saya cuba, namun tidak berjaya.”

Si bayi menyusu dengan tenang tanpa menghiraukan perbincangan ibu-ibu mengenai mereka. Sebentar kemudian bayi mereka terlena. Perbincangan diteruskan.

“Bukannya apa.. saya bimbang jika balik Malaysia nanti. Terlalu terikat dengan kita, susah kita mahu bekerja.”

Sambil membancuh teh nak-nak, kak Ngah terfikir-fikir bagaimanakah cara terbaik untuk menasihati ibu-ibu muda itu kerana kak Ngah pernah mengalami perasaan seperti itu. Benar, kita mahu berikan yang terbaik untuk bayi namun, dalam masa yang sama ada perasaan lain yang bergelodak di dalam hati.

Tiada masalah menyusukan bayi jika tiada banyak tugasan menanti. Namun, kadangkala ia menjadi terbeban apabila bayi itu bagaikan mengongkong si ibu agar tidak pergi ke mana-mana. Bayi bagaikan menyatakan,”Ulit lah saya. Jangan buat kerja..”

Si ibu akan merasa lebih bersalah, lemas dan tertekan apabila mereka juga mempunyai anak-anak lain yang perlu disediakan makanan dan di tambah lagi dengan kerjarumah yang perlu dibereskan.

Sambil menuang teh panas ke dalam gelas, sebagai kakak, kak ngah cuba memberi pandangan sisi kepada mereka.

“Berapa tahun umur bayi ini?”

“1 tahun 6 bulan.. ”

“Biarlah ia menyusu..dalam al-quran ada menyatakan tunggu sehingga bayi berumur 2 tahun. Tidak lama, cuma 6 bulan sahaja lagi”

Dalam surah Surah Al-Baqarah, ayat 233, firman Allah SWT yang bermaksud,

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian.

Apabila keduanya ingin meleraikan susuan (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Ratna,
Sebenarnya kak Ngah terkenangkan anak-anak yang telah membesar. Rasanya baru semalam mereka masih menyusu dan masih terasa hangat memeluk mereka. Merenung anak mata bundar mereka di dalam pangkuan.

Kak Ngah suka sekali apabila melihat bayi menyusu sambil menggengam jari tangan ibunya, bagai tidak mahu dilepaskan. Itulah saatnya ibu paling dekat dengan si bayi. Dan itulah saatnya bayi mengharapkan ibunya. Tiada yang lain.

Tahukah mereka, anak-anak membesar dengan cepat. Lalu, zaman bayi mereka tidak akan berulang. Mereka akan berdiri, berjalan, berlari dan pergi. Sekali mereka keluar dari rumah, segalanya berubah. Mereka akan dewasa, menemui pasangan jika ada jodoh mereka lalu berumahtangga.

Akhirnya ibu bersendirian dan berseorangan.

Ratna… kalau boleh kak ngah luahkah, mahu sahaja kak Ngah katakan kepada ibu-ibu muda itu;

“Susuilah bayi itu dengan kasih dan sayang. Pasti kita tenang dan tidak rasa terbeban. Ia amanah Allah, lakukan dengan ikhlas keranaNya. Sesungguhnya kita manusia lemah lagi tidak bermaya, mahu melakukan perkara yang baik pun kita perlu memohon dari Allah yang maha berkuasa.”

“Lagipun manakan sama susu ibu dengan susu lembu..”

Ratna,
Katakan kepada mereka,” Bayi itu nanti akan meleraikan diri dari menyusu apabila sampai masanya. Biarlah ia menyusu…berikan hak mereka. Nanti, si ibu akan terbayang serta rindu saat itu apabila anak-anak mula meninggalkan mereka. Yang tinggal hanya kenangan.”

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Keluarga, Muhassabah | 11 Comments

Al-Hijr الحِجر

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga sentiasa di dalam lindungan Allah yang maha Pengasih lagi maha Penyayang.

Ratna,
Warkah ini sepatutnya dihantar 2 minggu yang lalu, namun kak Ngah tidak berkesempatan berbuat demikian. Walau apapun keadaannya, ada sesuatu yang menarik mahu dikongsikan bersama.

Dengan izin Allah, Kami sekeluarga melalui sekitar Mada’in Salleh atau Al-Hijr untuk ke al-Ula baru-baru ini. Ia sebuah tempat kaum Nabi Soleh sebagaimana yang terdapat di dalam surah Al-Hijr, Juz 14. Allah berfirman yang bermaksud;

Dan demi sesungguhnya penduduk “Al-Hijr” telah mendustakan Rasul-rasul. (80) Dan Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran agama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya). (81) Dan mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya). (82) Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi. (83) Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikit pun. (84)

Ratna,
Sungguh benar. Terasa benar getaran hati apabila sekadar lalu tempat ini. Perkuburan mereka di pahat dari gunung-gunung batu dengan skill senibina yang mengkagumkan, bayangkan pula bagaimanakah agaknya kediaman mereka? Kata penduduk al-Ula, barangkali perkampungan kaum Thamud ada di sekitar sini namun masih belum ditemui.

Kami pulang dengan rasa penuh keinsafan mengenangkan kaum terdahulu yang dikurniakan serta diilhamkan Allah dengan ilmu kepandaian, namun mereka kufur ingkar kepada Allah yang mencipta mereka, langit dan bumi serta alam ini. Mereka dibinasakanNya.

Na’uzubillah! Kami takut dengan kemurkaanMu ya Allah. Kami mohon keampunanMu ya Allah.

Lalu, kami semakin gementar apabila mendengar سُوۡرَةُ الشّمس yang di baca Sofea berulang-ulang, firmah Allah yang bermaksud;

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; (1) Dan bulan apabila ia mengiringinya; (2) Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; (3) Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), (4) Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya); (5) Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); (6)

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (7) Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; (8) Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (10)

(Ingatlah), kaum Thamud telah mendustakan (Rasulnya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas; (11) Ketika orang yang paling jahat di antara mereka menerima perintah dari mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat), (12) Maka berkatalah Rasul Allah (Nabi Soleh) kepada mereka: (Janganlah kamu ganggu) unta betina dari Allah itu dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab)! (13) (Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Dia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya). (14) Dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) yang demikian, (kerana itu adalah balasan yang adil). / (15)

Ratna,
Berjalanlah ke merata dunia kerana Allah. Lihatlah dengan matahati yang terbuka. MasyaAllah, ternyata kerdilnya diri melihat kekuasaanNYa. Sungguh, banyak kisah-kisah pengajaran yang telah disampaikan Allah di dalam al-Qur’an. Dan tempatnya barangkali kita lalui setiap hari. Bacalah…untuk mengetahuinya!

Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Muhassabah | 5 Comments

قاعدة نورانية

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Semuga Allah permudahkan segala urusan dan disudahi dengan segala kebaikan.

Ratna,
Sudah seminggu kak ngah mengikuti kuliah قاعدة نورانية. Ia diajar oleh mualimah bernama Ai’syah selepas solat Asar. Pada mulanya tidak ramai yang berminat. Hanya beberapa kerat sahaja yang berhimpun untuk mengikuti kuliah itu. Barangkali kerana ia ا ب ت ث ج sahaja.

Ramai yang senyum-senyum apabila poster besar ا ب ت ث ج disangkutkan di rak rehal. Mualimah Ai’syah memulakan kuliah dengan membaca hadis sahih mengenai belajar dan mengajar al-qur’an. Katanya;

Dari Utsman r.a : Nabi saw bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.” [Hadis 1452]

Dan diteruskannya;

Dari Aisyah r.ha : Nabi saw bersabda, “Orang yang ahli (mahir) dalam Al-Quran akan bersama dengan para malaikat yang mulia lagi benar. Orang yang terbata-bata (merangkak-rangkak) dalam membaca Al-Quran dan dia bersusah payah mempelajarinya, untuknya pahala dua kali lipat.” [Hadis 1454]

Namun, katanya “marilah kita niat belajar al-quran ini kerana Allah.” Lalu, akhirnya seorang demi seorang datang sehingga ia menjadi kumpulan yang besar.

Ratna,
Mendengar cara pengajaran dan pembacaan mengingatkan kak Ngah kepada kaedah mengaji al-qura’an pada zaman silam. Ketika kita baru belajar mengeja.

Untuk mendengar قاعدة نورانية [ klik disini]qnorania-1A

Akhirnya, Ai’syah menutup kuliah dengan membaca hadis yang dipetik dari Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1859 Topik adalah Perintah. Maksudnya;

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Natil (bin Odis Al Hazami), seorang penduduk Syam, bertanya kepadanya, “Wahai, Tuan Guru! Ajarkanlah kepada kami hadis yang Anda dengar dari Rasulullah saw.”

Jawab Abu Humirah, “Baik! Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: “Orang yang pertama-tama diadili kelak di hari kiamat, ialah orang mati syahid. Orang itu dihadapkan ke pengadilan, lalu diingatkan kepadanya nikmat-nikmat yang telah diperolehnya, maka dia mengakuinya. Tanya, “Apakah yang engkau perbuat dengan nikmat itu?” Jawab, “Aku berperang untuk agama Allah sehingga aku mati syahid.”

Firman Allah, “Engkau dusta! Sesungguhnya engkau berperang supaya dikatakan gagah berani. Dan gelar itu telah engkau peroleh.” Kemudian dia disuruh seret dengan muka telungkup lalu dilemparkan ke neraka.

Kemudian dihadapkan pula orang ‘alim yang belajar dan mengajarkan ilmunya serta membaca Al Quran. Dihadapkannya kepadanya nikmat yang telah diperolehnya, semua diakuinya. Tanya, “Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu?” Jawab, “Aku belajar, mengajar, dan membaca Quran kerana Engkau.” Firman Allah, “Engkau dusta! Sesungguhnya engkau belajar dan mengajar supaya disebut orang Alim, dan engkau membaca Al Quran supaya dikatakan sebagai Qari (ahli baca). Semua itu telah dipanggilkan orang kepada mu.”

Kemudian dia disuruh seret dengan muka menghadap ke tanah lalu di lemparkan ke neraka.

Sesudah itu dihadap pula orang yang diberi kekayaan oleh Allah dengan berbagai macam harta. Semua kekayaannya dihadapkan kepadanya lalu diingatkan segala nikmat yang telah diperolehnya, ia pun mengakui. Tanya, “Apa yang telah engkau perbuat dengan harta sebanyak itu?” Jawab, “Setiap bidang yang Engkau sukai tidak ada yang ku tinggalkan, melainkan aku sumbang semuanya kerana Engkau.”

Firman Allah, “Engkau dusta! Sesungguhnya engkau melakukan semuanya itu supaya engkau disebut orang yang pemurah, dan gelar itu telah engkau peroleh.” Kemudian dia disuruh seret dengan muka menghadap ke tanah lalu dilemparkan ke neraka.

Na’uzubillah …muga kita tidak tergolong dari kumpulan itu.

Ratna,
Marilah kita berpesan-pesan ke arah kebaikan, semuga kita diredhai serta dirahmati Allah sentiasa.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Halaqah al-qur'an, Muhassabah | 11 Comments

Bijak

Menemui adikku Ratna, sanak saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,
Salam sejahtera dan semuga di dalam rahmat Allah sentiasa.

Ratna,
Semalam semasa dalam perjalanan pulang dari Haram, Amirul dan Sofea sibuk bercerita pengalaman mereka. Amirul bercerita tentang pertemuannya dengan abang-abang yang datang sejauh Jordan untuk berada di Madinah. Mereka semua pelajar universiti yang sedang menghabiskan musim cuti – datang lebih 1000 km dengan menaiki bas.

Lalu, kak ngah berpesan kepadanya;

“Jadi Amirul harus bersyukur kepada Allah kerana berada di bumi Madinah. Mereka sanggup datang sejauh itu untuk menziarahi masjid yang telah disyariatkan oleh Allah. Rugi besar jika kita yang berada di sini tetapi tidak ambil peduli dengan masjid Nabawi.”

Amirul mengangguk perlahan. Sofea pula bercerita.

“Mama…tadi kawan Sofea membaca surah Al-Bayyinah, tetapi terlupa separuh jalan. Jadi Sofea angkat tangan dan abla meminta Sofea membacanya. Sofea macam jadi cikgulah, mama. Bijak Sofea kan?”

Sofea berpuas hati. Cepat-cepat kak ngah mengingatkannya;

“Emm…awak bijak? Sofea, bukankah itu ilham dari Allah? Allah pinjamkan kepada awak. Bijak itu bukan milik kita tetapi Allah pinjamkan sementara.. Allah boleh tarik bijak itu bila-bila masa.”

Sofea mengangguk mengiakannya sambil tersenyum sipu. Amirul mengepal tangan dan diletakkannya di atas hidung. Ibu jari tangannya mengaru-garu hidungnya. Sesekali ditegakkan ibu jari itu tanpa memandang Sofea. Sofea menarik muka sambil menepis tangan abang Ciknya. Sofea teruskan kata-kata;

“Mama betullah.. biasanya kawan itu paling bijak. Dia selalu angkat tangan bila kawan-kawan lain terlupa semasa membaca surah. Tapi.. hari ini bila sampai giliran, dia terlupa pula.”

Ratna,
Sofea adalah jenis anak-anak yang harus selalu diingatkan. Sifat rasa diri lebih tahu, lebih baik serta rasa diri hebat memang ada dalam jiwanya. Bimbang jika tidak di kawal, ia menjadi tabiat yang mencipta bibit-bibit riak serta ujub dalam diri. Namun, memang lumrah sifat anak-anak yang mahu di puji.

Kak Ngah ambil hati dia.

“Sofea..bagus awak bantu ingatkan kawan tu. Tenguk.. Memang Allah jadikan dia terlupa supaya dia sedar diri yang dia tidak sentiasa bijak dan tidak sentiasa hebat. Memang Allah menjadikan manusia sentiasa menghadapi kesulitan dan kesukaran. Supaya kita ingat kepada Allah.”

Sofea dan Amirul diam.

MasyaAllah Tabarakallah. Tiba-tiba kak Ngah teringat kembali terjemahan dari سُوۡرَةُ البَلَد yang sedang dihafal. Antara firman Allah bermaksud;

Demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya; (3) Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya); (4) Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)? (5)

Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut dia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa). (6) Adakah dia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu)? (7)

(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) (8) Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? (9) Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? (10) Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; (11)

Ratna,
Sungguh benar. Kesulitan dan kesukaran itu sering membuat kita merintih, berdoa, mengadu kepada Allah serta kembali kepadaNya. Sering pula kegembiraan dan kejayaan membuatkan kita lalai dari mengingati serta bersyukur dengan kurniaanNya.

Sehingga berjumpa lagi dengan izin Allah. Salam dari Madinah.

- Rumah kecil di Jabal Uhod -

Posted in Kerenah anak-anak, Muhassabah | 8 Comments