Archive for April, 2010

blog.nuaeman.com

Wednesday, April 28th, 2010

Hari ini aku ingin mengulas tentang sebuah buku yang boleh dikatakan agak baru dipasaran bertajuk Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Buku ini ditulis oleh seorang professor yang juga Pengarah UiTM Cawangan Segamat bernama Muhd Kamil Ibrahim dan ianya merupakan satu kesinabungan ke atas sambutan yang diberikan kepada buku Travelog Haji yang juga ditulis oleh beliau. Kedua-dua buku tersebut adalah keluaran PTS publication. Untuk Travelog dakwah ini harganya cuma RM 18.

Setelah selesai membaca buku terbaru tulisan beliau begitu banyak perkara yang terkesan dihati aku. Kejujuran yang disampaikan oleh penulis memang amat menghibakan orang yang membaca. Setiap  rentetan kisah yang aku baca dari buku ini dapat aku kaitkan dengan perjalanan hidup aku. Penulis tanpa segan silu menceritakan kejahilan beliau yang ketikamana usia menghampiri 40 tahun tetapi masih gagal membaca al-Quran tetapi berkat keazaman dan kesungguhan beliau tuhan menunjukkan jalan. Bukan setakat membaca al-Quran tetapi beliau dijemput menjadi tetamu Allah di kota suci Mekah. Disamping itu buku ini juga memaparkan bagaimana kesabaran seorang isteri dalam mendidik seorang suami untuk mendekati tuhan.

Membaca pengalaman Prof Muhd Kamil Ibrahim disamping saranan-saranan beliau untuk sentiasa menjaga solat jemaah, tahajjud, berpuasa sunat dan membaca Al-Quran membuat aku sendiri terfikir betapa begitu banyak ibadah yang umat Islam kini terlepas pandang termasuk aku. Penulis menceritakan bagaimana beliau seorang yang berkelulusan phd tetapi atas dasar mencari kebenaran beliau sanggup untuk bertemu dan mempelajari al-Quran dari seorang yang lebih muda yang juga merupakan pelajar sekolah pondok. Bila membaca isi seterusnya mengenai kisah antara beliau dan guru al-Qurannya yang juga imam itu ada sesuatu yang mungkin memeranjatkan bagi sesetengah orang. Tetapi bila difikirkan balik secara rasional ini biasa berlaku. Prof Muhd Kamil tidak henti-henti mengingatkan supaya jangan lupa memanjatkan doa kepada Allah serta diselitkan sekali kaedah beliau berdakwah dengan rakan-rakan dan juga para pelajarnya.

Secara keseluruhan buku ini sememangnya sesuatu yang amat berharga dan patut dimiliki. Bagi aku apa yang diceritakan oleh Prof Mohd Kamil Ibrahin dari awal hingga akhir buku ini adalah satu cerminan pada diri kita sendiri. Insya_allah sekiranya kita benar-benar menghayati segala kandungan buku ini maka dengan sendirinya hati akan berdetik untuk kembali mendampingi tuhan kerana kita sebenarnya telah semakin jauh meninggalkan apa yang sepatutnya kita laksanakan sebagai seorang hamba Allah.

ulatbuku-06.blogspot.com

Wednesday, April 28th, 2010

Sebuah journal yang ditulis penulis dengan begitu ikhlas. Tulisannya yang lahir dari lubuk hati, tembus menusuk jiwa pada siapa yang membacanya. Dia menulis penuh dengan rasa rendah diri dan sentiasa mengagung-agungkan Tuhan. Bahasanya mudah dicerna, santai-santai saja. Dia berjaya menzahirkan apa yang tersurat dan tersirat dalam pencarian untuk menjadi tetamu Allah yang teristimewa.

Baginya keimanan, ketaatan dan doa-doa yang lahir dari hati adalah senjata yang dapat mempermudahkannya untuk menjadi tetamu istimewaNya. Kini aku yakin bahawa doa tidak semestinya kita memohon dengan bahasa Arab yang kurang difahami maksudnya(jahil berbahasa Arab). Bacalah doa dengan bahasa yang kita fahami. Ia lebih mudah menzahirkan apa yang kita pohonkan. Bahawasanya Tuhan itu maha pendengar. Maha penyayang. Maha pengampunan. Subhanallah.

Buku ini benar-benar mengajar aku untuk membelek diri. Betapa ruginya aku selama ini mengabaikan nikmat yang dipinjamkanNya. Dalam usia sudah menjangkau angka empat puluh ini, aku sudah rabun dekat. Seperti jua penulis buku ini. Perlahan-lahan nikmat yang dipinjamkanNya telah ditarik balik. Esok entah nikmat apa lagi yang diambilNya. Sedangkan Al-Quran hanya sempat ku khatamkan kurang dari lima jari.

“Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan” Ayat Ar-Rahman

Benar seperti apa yang diingatkanNYA. “Demi masa manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka itu pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran…” – Ayat Al-’Asr

Pada mereka-mereka diluar sana, dapatkanlah buku ini pasti anda ingin mendapatkan kad jemputan dariNya selepas usai membaca Travelog HAJI Mengubah Sempadan Iman.

Pada saudara-saudaraku dan jua pembaca blog ini, disini aku mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf jika ada kata-kataku yang telah menyakitkan dan keterlanjuran yang tidak disenghajakan mahupun yang disenghajakan. Astaghafirullah.

Nota kaki: Aku jua ingin seperti penulis. Doakan Dia menerimaku sebagai tetamu yang teristimewaNya. Subhanallah. Maha suci Tuhan yang menjadikan tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi.

www.syahrulnizam.com

Tuesday, April 27th, 2010

Pada minggu lepas saya menerima dua naskah buku yang saya tempah terus dari penulis – Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Saya rasa saya antara 500 atau 1000 pembaca pertama buku Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok.

Alhamdulillah, kesedaran beragama nampaknya berjaya melahirkan ramai golongan Prostaz atau Protaz (PROfesional-usTAZ). Golongan ini bukan lahir di pondok. Mereka juga bukan pemegang ijazah Syariah dari Mesir atau Jordan. Tetapi mampu menulis buku bernada agama yang mantap.
Apa yang pasti dengan iman dan kekuatan beramal, orang golongan ustaz pun boleh jadi ustaz.

Sebaliknya tanpa kekuatan iman dan amal, memang susah hendak beramal.
Namun selepas cahaya taufik dan hidayah itu datang menyimbah, segala-galanya berubah 180 darjah. Lihat sahaja amalannya sewaktu mengerjakan haji. Seolah-olah ada janakuasa tambahan yang membantu beliau bangun awal-awal pagi untuk beribadat di Masjidil Haram.
Kerana sudah terlalu seronok atau josh (dalam bahasa Urdu) membaca buku ini saya tidur hampir pukul 2 pagi! Biasanya 10 mlm dah masuk tidur.
Isteri dan ibu saya turut sama membaca buku tersebut. Kata isteri saya:
Ada bahagian dalam buku ini yang betul-betul meresap ke dalam hati. Boleh memberi perangsang untuk beramal.
Ini testimonial saya:
Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman boleh dijadikan sebagai penanda aras (benchmark) dari segi amalan Haji kepada mereka yang pernah menunaikannya. Kepada yang belum, buku ini wajar dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebelum berangkat ke tanah suci.
Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok merupakan himpunan kisah sebenar perjalanan seorang hamba Allah. Sebagai khalifah, tanggungjawab berdakwah diceritakan dalam gaya santai dan mudah difahami. Padat dengan panduan praktikal sebagai seorang muslim dan pendakwah.

Prof Kamil juga telah mendokan sesuatu kepada saya di dalam autografnya. Terima kasih Prof. AMIN.

menadahhidayah.wordpress.com

Tuesday, April 27th, 2010

“Kau baca buku ni bagus!!! … siap masuk majalah tiga lagi” Itulah kata-kata Ghaz suatu ketika dulu pada aku. Ketika itu aku tengah sibuk menghabiskan buku ‘You have got to read this book’ yang aku juga pinjam dari Ghaz. Belum sempat aku booking nak pinjam buku baru itu, Ghaz pulang ke ibupejabat di Kuala Lumpur! Aku ingat juga Ghaz bercerita susah untuk dapatkan buku itu. Walaupun di area Masjid India di Kuala Lumpur.

 Bila Ghaz pulang ke Kuala Lumpur, buku itu tinggal nama saja di benak ku. Buku itu ialah ‘Travelog Haji – Mengubah Sempadan Iman’(THMSI). Karangan Prof. Muhd Kamil Ibrahim. 

Dua kali aku outstation di Kuala Lumpur, benar seperti kata Ghaz, memang tiada buku itu. Habis di jual!!!!!! 

Lantas aku tanya En. Google… manalah tau kot-kot ada di jual online. Aku temui yang lebih baik.. Blog penulis itu sendiri. Lantas terus ku hubungi penulis tersebut dan memesan sebuah buku. Buku itu sampai jua…..  

Belum pun habis bab satu buku itu aku ketepikan…. Ayat-ayatnya menyentuh hati. Aku terbayang banyak dosa aku lakukan… lantas aku sebak.. tak dapat teruskan, lalu aku ketepikan. Minggu depan aku sambung lagi, sebak lagi tak tertahan. Aku ketepikan lagi selama sebulan!!!!!! 

Bercuti di kampung halaman, aku berjumpa dengan abang sulung ku. Dia juga penggemar buku, Ku hadiahkan dia buku ‘The Secret oleh Rhonda Byrne’ bersama sebuah buku yang ditulis bagi mengulas bagaimana latihan praktik buku The Secret itu. Kata abang ku dia sibuk sekarang, banyak kerja, tak apalah buku itu nanti dia baca. 

Lantas aku ceritakan padanya, Bacalah buku THMSI, bagus, penulisnya begitu begini… aku ceritakan panjang lebar. Dia seronok dan teruja. Lantas kuhubungi lagi Prof untuk memesan lagi buku THMSI. Kebetulan semasa buku itu belum pun sampai, abang aku telah pun mendapatkan buku itu dari sebuah kedai buku di daerah ku. Lantas dia suruh aku batalkan saja pesanan aku itu. Aku hanya tersenyum dan berkata,“Tak apa, buku lebih tu, simpan saja di rumah Mak, supaya adik-adik boleh baca.” 

Pulang dari kampung halaman, selepas seminggu di daerah mencari rezekiku, aku menelefon abang ku. Dia kata dia dah habis baca buku THMSI. Bila aku tanya berapa hari dia ambil masa, dia kata dua hari! “Habis tu, buku the secret tu dah habis baca ke?,”Tanya ku, dia menjawab, “nanti dulu la, sibuk sekarang banyak kerja.” Lantas dia terus bertanya aku, “bila nak pergi Haji? Pergilah” katanya. Aku tersenyum….. “Insyallah”..kataku 

Aku teruskan pembacaan THMSI, perlahan-lahan, baca dan letak, sebak sepanjang masa, simply because aku manusia berdosa! Garapan ayat-ayat THMSI begitu menusuk nurani ku. Aku menghabiskan THMSI sambil aku menonton Diari Akademi Fantasia musim ke 6! 

Satu benda yang melekat di benak ku, Solatku selama ini, Kosong dan Tak sampai!!!!! Aku tidak menonton Diari Akademi sekadar untuk menambah bahan gosip untuk bercerita di pejabat keesokkan harinya. Aku suka melihat apa yang diajarkan, walaupun sampai hari ini, tidak kutahu apa itu pitch sebenarnya! Tapi aku faham apa itu tempo! 

Justeru dari Diari Akademi, aku mendapat ilham yang solat ku selama ini adalah seperti sekadar buat saja, kurasakan tidak sampai apa yang ku solatkan kepada Allah. Harus aku gali lagi solat ku dan ku cari pengertiannya. Kenapa melalui diari ku perolehi ini? 

Kerana pencarian aku untuk mendekati Allah telah berlegar di benak ku semasa aku membaca THMSI dua bulan sebelum aku menonton diari AF! 

Jika kita mencari Allah, maka Allah akan pasti mengilhamkan kita di mana-mana sahaja. Walaupun ketika kita sedang merasa kasihan melihat seekor anjing mati di tepi jalan di langgar kereta. Mungkin ketika itu kita baru pulang dari parti dunia yang penuh dengan maksiat! Melihat anjing itu mati, terdetik di hati, kalau aku mati hari ini seperti anjing itu, aku tidak mungkin akan masuk syurga! Lalu apabila pulang kita membentangkan sejadah yang sudah dua tahun ditinggalkan dan sujud mengadap Allah lalu bertaubat! Hal ini agak pelik tapi tidak mustahil terjadi. Kerana sudah fitrah setia manusia di lahirkan begitu. (Penghuraian ini lebih lanjut di entri akan datang!) 

Abang aku juga dalam perbualan telefonnya berkata, dia sempat rekomenkan buku itu kepada dua rakan nya. Kedua-dua rakan nya itu telah habis membaca dan berniat untuk mengerjakan haji dan umrah. Ahamdulillah. 

Seorang rakan ku, akan pergi melanjutkan pelajaran di UK. Lantas ku hadiahkan buku THMSI dan Sebuah Terjemahan Al-Quran (Versi Indonesia). Dia bertanya “Kenapa, kau beri buku dan hadiah macam tu kat aku?” Sambil tersenyum aku ceritakan pengalaman aku membaca THMSI dalam kepayahan (3 bulan lamanya baru aku mampu menghabiskannya) dan ilham dari AF6! 

Pulang saja sebelum sampai dirumah ku, sedang aku menunggu rakan untuk mengambil aku di airport, satu sms masuk, rupanya kawan ku yang aku jumpa semalam. Dia berkata, “aku baru baca buku ni suku, dah terasa macam nak pegi haji… Thank you.. Thank you.” 

Besoknya, di pejabat aku serahkan buku THMSI kepada rakan sebelah kubikel ku (dia telah memesan buku itu kerana dia tahu aku akan ke K.L minggu lalu, dan dalam lawatan aku ke K.L itu, aku hanya membeli dua buku THMSI. Tapi aku harus mencarinya di dua kedai berbeza, kerana stau naskah yang ku perolehi dari kedai pertama adalah yang terakhir!!), rakan sepejabat ku itu yang baru separuh membaca buku THMSI yang aku pinjamkan kepadanya, begitu gembira. Dia teruskan pembacaan melalui buku yang di pinjam dari ku itu. Apa yang menarik apabila buku baru yang dia perolehi itu, dia pinjamkan kepada rakannya.

 Aku manusia berdosa, dosa ku ini terlalu banyak sehingga hatiku gelap. Ada peristiwa mengusik hati ku tahun lepas yang membuat aku tersedar bahawa Cinta Allah lah yang perlu di cari, Lantas aku temui THMSI, melalui seorang rakan yang suka membaca, dia berkongsi sesuatu yang begitu mengusik hati ku agar melihat semua ibadah yang aku selama ini kerjakan. Aku manusia berdosa, mungkin nasihatku, tidak mungkin menyentuh hati sesiapa, namun dengan adanya cerita THMSI aku dapat berkongsi bersama rakan. Kerana terbukti, banyak jiwa tersentuh kerana membaca buku itu. 

Hebatkan penulis THMSI? Ya, Hebat sekali… tapi hebatnya bukan menagih riak, hebatnya bukan membina bangga. Hebatnya kerana ikhlas berkongsi pengalaman dia sebagai hambaNya yang mendambakan cinta suci dari Allah Yang Maha Mencintai. 

Anda mungkin, tidak akan tersentuh apabila membaca cerita THMSI, kerana mungkin anda manusia Alim yang suci dan bersih. Tapi saya pasti, ada sedetik perasaan yang anda akan akui yang di ceritakan oleh Prof Muhd Kamil itu benar dan jujur – lantas anda mengangguk. Ketika anda menggangguk itulah, sedetik waktu itulah, yang mungkin kecil atau tidak signifikan bagi anda. Begitu signifikan dan besar buat saya khususnya sebagai Hamba Allah yang penuh noda. 

Buku ini bukan khusus untuk mereka yang mahu pergi haji, kalau anda renungkan, perubahan pada Prof. bermula sebelum beliau pergi haji lagi. Justeru, jangan fikir, buku ini harus dibaca apabila mahu pergi haji ataupun umrah saja. Banyak pelajaran lain yang boleh diperolehi. 

Kesyukuran pada Allah dipanjatkan kerana di dalam dunia yang melekakan ini, masih terdapat insan-insan tabah seperti Prof Muhd Kamil yang berkongsi rasa berdosanya dengan kita, lalu tidak lah dia riak apabila berkongsi bahagianya bersama kita apabila dia mendapatkan percikan cinta Allah Yang Maha Kuasa daripada ibadat yang dilakukannya.

Semoga kita semuanya mendapat hidayah Allah berterusan- Amin

Travelog tulisan Muhd Kamil Ibrahim

Tuesday, April 27th, 2010

mesejabdul.wordpress.com

Tuesday, April 27th, 2010

Agak lambat untuk saya memperolehi buku ini kerana sukar untuk mendapatkannya di kedai-kedai yang berdekatan. Namun, peluang ketika berada di Kuala Lumpur pada Mac yang lalu dimanfaatkan sepenuhnya dan akhirnya ia berada dalam genggaman juga walaupun dengan edisi jimat.

Saya begitu tertarik untuk mendapatkan buku ini atas ketakjuban sambutannya yang begitu menggalakkan di pasaran sehingga ia terjual lebih 10,000 dalam tempoh 6 bulan. Selepas membaca dan mengulitnya, baru saya faham dan mengerti kenapa buku ini menjadi bestseller di pasaran. Satu nikmat dan bersyukur kerana menjadi salah seorang memiliki buku ini. Nyata sekali, Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman tulisan pengalaman daripada Prof. Muhd Kamil Ibrahim ini harus dimiliki semua orang.

Ia mengisahkan bagaimana daripada seorang individu yang serba kekurangan ilmu agamanya namun dengan berkat doa berubah kepada seorang insan yang berpegang kuat pada agama. Di permulaan dan akhir buku, penulis mengingatkan bahawa segala apa yang diceritakan adalah semata-mata bukan untuk membuka pengkung di dada, riyak atau membanggakan diri namun adalah demi untuk menyampaikan dakwah bahawa ibadat haji memberi pengajaran dan bukti Allah s.w.t sentiasa mendengar doa hambanya yang memerlukan pertolongan. Allah itu Maha Membantu.

Segala peristiwa dan apa yang berlaku sepanjang perjalanan dan kegiatan penulis diceritakan dimulai sebelum mengerjakan haji, ketika haji dan selepas haji. Nyata sekali, ia menyentuh emosi pembaca apabila membayangkan diri berdiri di tempat sebagaimana penulis. Tetapi yang paling menyentuh hati saya menerusi novel ini sebagai iktibar adalah bagaimana golongan yang mengambil ringan mengenai ibadat haji dengan hanya berehat-rehat, tidur, membeli belah dan tidak memanfaatkan peluang yang ada untuk beribadat sepenuhnya ketika berada di Tanah Suci.

Yang pasti, dapat dilihat bagaimana hikmah yang berlaku meletakkan penulis di tempat istimewa oleh Allah s.w.t dengan mendapat kesenangan ketika mengerjakan haji. Ini adalah akibat keberkatan usaha untuk berdoa sepenuh hati kepada-Nya. Sesungguhnya, travelog ini harus dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira yang sudah bergelar haji mahupun yang bakal mengerjakan haji. Ia sebuah buku yang dikategorikan sebagai dakwah yang amat sempurna bagi mendapatkan keredhaan-Nya.

rafidabahaudin.blogspot.com

Tuesday, April 27th, 2010

Seorang kawan yang sama-sama akan menunaikan fardhu haji tahun ini pernah suatu hari mencadangkan kami membaca Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman tulisan Muhd Kamil Ibrahim.

Bila aku menanyakan judul buku itu pada seseorang lain, jawapannya ringkas sahaja, ” A very typical & stereotype book by Lembaga Tabung Haji — I m not so convinced.”  Saat-saat terakhir, buku yang dicanangkan akhirnya berada di tangan kami.

Aku meminjam buku itu dengan perasaan ingin tahu kandungan lanjut tulisan Muhd Kamil Ibrahim ini yang juga pernah menjadi penceramah jemputan di Qatar awal tahun ini. Membaca epilog pengatar kata buku ini sudah cukup meremangkan bulu roma ku.

Tulisannya lahir dari perasaan seorang insan yang merasakan diri cukup kerdil di sisi Penciptanya. Travelog Haji – Megubah Sempadan Iman bukanlah buku panduan mengerjakan ibadah Haji, bukan juga buku fikh atau panduan doa.

Sebaliknya buku ini menceritakan perjalanan hidup seorang profesor institusi pengajian tinggi yang cemerlang kerana kesungguhannya untuk mengubah sempadan imannya dengan menjadi tetamu Allah pada musim haji 1428H. 

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” Quran : Surah Al Rahman 55:33

Pengertian yang cukup besar, cukup dalam dan cukup menginsafkan. Seorang intelek yang tidak malu mengaku kekurangan dirinya yang tidak tahu membaca Al Quran pada usia 40 tahun. Beliau mengubah sempadan itu , merobohkan tembok keegoan dan kejahilan dengan kesungguhan meminta, memohon, merayu kepada Allah SWT supaya dipermudahkan laluannya.

Subhanaallah. Air mata mengalir laju setiap kali buku ini dibaca. Pengalamannya dibukukan dengan penuh rasa sayu dan rendahdiri. 

“Then which of the Blessings of your Lord will you deny?” (Qur’an 55:13)

Semoga Allah menganugerahkan keazaman yang sama buat diriku,  melihat perjalanan kehidupan ini dari sudut yang berbeza, bukan sekadar rukun Islam ke-5 maupun sekadar menepati syarat persepsi manusia tapi perjalanan yang mengubah sempadan imanku ….

” Hajj is unique , it ll give you a different perspective in life ….” quoted by a friend ….

azizah-aling.blogspot.com

Tuesday, April 27th, 2010

Sebenarnya sudah lama aku ingin kongsikan dengan sahabat-sahabat semua tentang buku ini. Sudah beberapa bulan yang lalu naskhah ini aku hadamkan selepas dibeli di toko buku. Kekangan masa selalu menjadikan aku selalu bertangguh.

Apapun, rahmat Zulhijjah baru sahaja berlalu, kiranya wajar untuk aku kongsikan naskhah ini dengan sahabat-sahabat semua. Buku ini aku kira ditulis dari lubuk hati paling ikhlas oleh penulis yang bukan calang-calang cemerlang dari sudut akademik.

Barangkali dikalangan cendikiawan, kalian sudah biasa dengan sosok pemilik nama Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim. Benar, dia hebat di lapangan akademik tetapi berkat keikhlasan ibadah yang beliau laksanakan, beliau juga sekarang ini muncul sebagai seorang dai’e yang kebal sifat tawadhu’.

Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman peribadi penulis dan orang-orang yang dekat dengan beliau semasa mengerjakan ibadah haji. Aku akui, kembara mencari damai di bumi Makkah dan Madinah tidak menyamai keindahan perjalanan ke tempat-tempat lain.

Keindahannya sukar digambarkan dengan kata-kata. Kerinduannya ada ketika menyesakkan dada. Menggetarkan jiwa. Membenih cinta yang luar biasa. Hidup adalah kembara menelusuri belantara menuju Kekasih sejati, Allah Rabbul Izzati. Bermula dengan kisah bagaimana penulis menggambarkan dirinya sebagai insan yang cetek agama dilayangkan kad jemputan oleh Allah untuk menjadi tetamu Al-Haramain.

Dinukilkan bagaimana persediaan seorang yang menganggapkan dirinya sebagai jahil berusaha memahami setiap gerak laku dan ayat-ayat hafazan terutama lafaz talbiyyah untuk dibaca dan diamalkan sepanjang musim haji. Aku sangat tertarik bagaimana solat sunat tahajjud yang dilaksanakan saban malam akhirnya berjaya mendidik hati seorang manusia yang “nakal” di usia muda untuk mencari keagungan dan kebesaran Tuhannya sendiri, Tuhan kita semua.

Di sebalik kad jemputan yang dilayangkan, penulis turut mengisahkan suka duka perjalanan sepanjang berada di Tanah Haram dan pelbagai cabaran yang mesti dilalui. Cabaran bukan hanya dipersembahkan di Tanah Haram, tetapi ia bermula sejak dari bumi Malaysia lagi.

Apapun, sifat tawadhuk, sifat kehambaan yang tinggi dan disuburkan dengan limpahan keikhlasan menyebabkan penulis mampu menghadapi segala getir yang menjadi teman di sepanjang jalan ibadah dengan baik. Segala pelaksanaan rukun haji diceritakan dengan lengkap, malahan diceritakan kaedah tersendiri hasil pengamatan dan pemerhatian penulis mengenai disiplin manusia yang ternyata lebih mudah untuk diikuti bagi melaksanakan ibadah dengan baik.

Contohnya seperti apakah laluan paling mudah untuk mengucup Hajarul Aswad dan saat paling mudah untuk melaksanakan ibadah melontar di beberapa Jamrah. Intipati terpenting yang banyak menyentak hati aku adalah bagaimana penulis begitu meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah sepanjang menunaikan ibadah haji. Doa dipanjatkan tanpa putus dan Allah itu sememangnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Tuhan sentiasa mengabulkan permintaan hamba-Nya yang dipanjatkan dengan hati yang ikhlas.

Allah memungkinkan untuk jasad dan roh beliau merasai nikmat beribadah di usia 42 tahun. Di usia sebegitu, penulis gambarkan sebagai panggilan kematian semakin hampir. Pengorbanan untuk mendapat haji yang mabrur sangat besar dan tentunya kesabaran diletakkan di tingkat teratas. Tapi, aku percaya apabila pengorbanan dilakukan dengan niat ikhlas, pasti akan mendapat balasan kemuliaan di sisi Allah.

Kesannya, tawadhu’ dan malu dijadikan perhiasan dan pakaian pada diri sehinggakan pakaian yang ingin dipakai sekembalinya penulis ke tanahair pun diambilkira agar ia tidak terjumlah kepada perasaan ujub dan takabbur.. subhnallah.. indahnya hidayah.. Kesannya, sekembalinya penulis ke Malaysia, ada natijah besar yang diizinkan Tuhan untuk berlaku.

Surau yang selama ini dikunjungi beberapa insan yang hatinya terikat dengan masjid mula diimarahkan dan medan dakwah menjadi jalan pilihan. Inilah orang-orang yang gharib yang mampu bertahan menongkah arus menyebarkan syariat Allah.

Maka, tidak hairanlah jika buku ini dikategorikan sebagai THE NATIONAL BEST SELLER yang mana saat aku membeli, ia telahpun terjual melebihi 10,000 naskhah dalam tempoh 6 bulan. Sejujurnya, mata ini banyak kali tumpah dengan manik-manik jernih. Aku sayu, sebak dan terharu kerana nukilan kisan tentang Al-Haramain sangat dekat dengan jiwa.

Aku kagum dengan pengorbanan seorang hamba dalam perjalanan memburu redha Sang Pencipta. Buat semua, selamat menelusuri indahnya perjalanan dakwah seorang hamba yang memburu cinta Al-Khaliq : suatu perjalanan yang berjaya mengubah sempadan iman, mengubah tradisi dalam mencari redha Illahi sebagai bekal menuju negeri abadi.