Kimia Hidup

Alhamdulillah, MasyaALLAH, TabarakALLAH adalah ungkapan hebat bagi memulakan kuliah kali ini. Salam dan selawat ke atas junjungan mulia Muhammad SAW sebagaimana penegasan Al-Quran,

Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W); wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

(Terjemahan surah Al Ahzab: 56)

Ta’alomu minal khebra, kali ini membicarakan “kimia hidup” yang menjadi sandaran kepada siswa(I) U-MKI. Saya yakin kita semua menyedari wujudnya “chemistry” (sila baca “kimia hidup”) antara pengasas UMKI, saya, para pensyarah, pentadbir UMKI dan tetamu meliputi keseluruhan khalayak.

Jika tidak wujud “kimia hidup”  dalam konteks kita di dewan kuliah ini, nescaya hasil keringat dan idea pensyarah tidak akan berkembang panjang. Ia sekadar dibaca tetapi tidak dihayati dan kemudian diarkibkan sahaja. Lebih memilukan ia berlalu dan dilupakan.

Saya tidak fikir begitu. Sebagai insan dhoif dan fakir ilmu, saya merasakan “kimia hidup” benar-benar wujud bila penulisan dihayati dan fikiran terbuka bagi menambah uncang ilmu.

Di dalam dewan kuliah terdahulu, saya meninggalkan beberapa soalan yang bakal dirungkai melalui kuliah ini. Ia berkisar kepada satu persoalan ringkas,

Adakah sasaran hidup boleh dicapai dengan wujudnya kimia hidup antara dua jiwa yang berbeza?

Masa di zaman persekolahan, saya menggemari subjek kimia. Namun, pada satu pagi, makmal sekolah meletup gara-gara tidak cukup ilmu dan salah bancuhan bahan amali.

Saya menjadi insan pertama cabut lari menyelamatkan diri. Namun suara hati memaksa saya kembali ke dalam makmal membantu cikgu memadamkan api kecil. Ini adalah ta’alomu minal khebra dalam skop kehidupan yang sangat kecil untuk diperbahaskan. Ia menjadi bahan ketawa dan nostalgia kawan-kawan sampai ke saat ini bagaimana Ridzwan “salah bancuh bahan kimia” hingga meletup dan semua kawan-kawan cabut lari menyelamatkan diri.

Ta’alomu minal khebra, turut berlaku disepanjang perjalanan kehidupan manusia. Begitulah yang telah saya lalui bersama Prof MKI.

Pertemuan pertama di pejabat beliau kira-kira 7 tahun lalu adalah sejarah hidup bagaimana kimia hidup yang pada mulanya tidak kelihatan tetapi boleh “meletup” jika bahan kimia dibancuh secukupnya.

Biarlah saya sedikit berahsia. Namun hasil pertemuan tersebut memberi indikasi negatif bahawa dua jiwa ini tidak mampu bersatu kerana tiada “chemistry”. Itulah andaian pertama. Tidak wujud saat-saat kebenaran atau keterujaan. Hati saya membuat kesimpulan. Prof MKI kelhatan tidak memberi tumpuan dan bersikap sambil lewa.

Saya kecewa … harapan menggunung kepada beliau terdampar begitu sahaja. Puncak kelihatan terlalu tinggi sekali ketika saat saya belum pun mendaki.

Saya meninggalkan beliau dalam kehampaan. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui isi hati yang terluka. Tiba di rumah – sekitar jam 6 petang – saya fikir isteri mampu mentafsir bahasa badan terpapar pada diri. Barangkali ia begitu jelas sekali. Pengalaman bersama sebegitu lama menjadikan beliau pakar tentang perilaku suaminya. Saya tidak perlu bertutur menyampaikan isi hati.

Benar, saya tidak seceria hari-hari biasa. Ia hari berbeza. Beliaulah Insan pertama meredakan kekecewaan hati. Ia tidak perlu dengan kaedah luar biasa. Di sinilah ALLAH membuktikan kebesaranNya dan memberi kita ilmu bahawa isteri atau suami merupakah bahan kimia bersifat kesalingan. Bila ia bertemu dalam satu bancuhan sempurna maka terbentuklah as-sakinah yang mampu menyegarkan ruang hati dan minda.

Isteri langsung tidak mendesak bertanya kenapa saya begitu. Lalu bila saya kisahkan hari panjang yang telah dilalui, beliau dengan suara manja menyatakan,

Tidak mengapa bang, itu ujian ALLAH. Bila kita berserah kepada ALLAH atas segala usaha kita, sudah tentu ada cahaya jalan keluar.

MasyaAllah … Subhanallah … saya tidak dapat membayangkan bagaimana rasa hati jika beliau membancuh bahan kimia yang boleh meletupkan rasa hati dan minda yang sedia kusut pada ketika itu. Jika ia berlaku, maka saya fikir, fikiran saya akan lebih tertekan dan akan terus bersama mengutuk sang Profesor ibnu Ibrahim (MKI) yang berjiwa besar  ini. Akhirnya … dosa tercipta, pahala berkurang.

Hakikatnya, kejadian petang tersebut mengganggu emosi dan fikiran saya sehingga ke malam.

Saya mempelajari sesuatu. Ada ketikanya kita melihat satu kejadian dari aspek kecil dan tidak membina, sehingga menjejaskan kesihatan dan kemajuan. Mungkin budaya dan persekitaran menjadikan kita begitu, atau kita membiarkan iblis begitu kuat memaut perasaan. Atau mungkin juga kita tidak mempunyai teman untuk meluahkan perasaan sehingga ciri malaikat tidak dapat kita tonjolkan.

Al-Qur’an mengingatkan kita. Rasululah SAW turut berpesan dan alim ulama sering berbicara agar kita melihat sesuatu dari sudut yang baik. Meskipun ia mengambil sedikit masa tetapi – akhirnya – hati saya berbicara,

Dunia saya tidak mungkin bernoktah tanpa Prof MKI. Misi memburu ijazah kedoktoran perlu diteruskan dengan menyusun strategi lain … Prof MKI, saya maafkan kamu …

Malam itu sungguh syahdu. Hati dan minda merenung masa yang bakal saya lalui. Suasana di luar – hujan turun renyai-renyai – menambah lagi rasa tersebut. Di kala hati semakin tenang, tidak semena-mena telefon bimbit saya berdering.

Deringannya kelihatan amat mendesak sekali. Nama Prof Kamil PA VC UiTM berkelip-kelip memberi cahaya kawasan sekitar. Hati saya berkata, kenapa pula orang tua ini membuat panggilan ketika jam sudah menunjukkan 10.30 malam?

Assalamualaikum Prof.

Walaikumusalam. Wan, maaf  pagi tadi fikiran saya tidak fokus untuk berbincang lanjut tentang cadabngan tesis you …

Nada suara Prof MKI  terus menuju apa yang tersirat di hati beliau. Belum sempat saya respon, beliau berkata lagi,

Saya sudah cuba fikirkan cadangan tesis tersebut. Pada peringkat ini ia kelihatan baik dan relevan dengan apa yang sedang saya usahakan. Buat temu janji dengan saya dan datang semula ke pejabat bila you free.

Saya terkejut!

ALLAH Maha Mendengar bisikan hati dan fikiran hambaNya. Ketika kita sudah mula berputus harapan, ALLAH membuka jalan pertemuan antara dua jiwa. Begitulah … ia ibarat bancuhan dua sumber bahan kimia. Ia menghidupkan rasa dan jiwa yang sudah berputus asa. Itulah yang saya rasai.

Bermula dari detik itu, saya dapat melihat dunia dan harapan bergelar “Dr”.  Saya merasa akan wujudnya kimia hidup antara guru dan orang yang mahu belajar.  Diasak kiri-kanan oleh guru merupakan saat manis perjalanan hidup.

Saya banyak belajar mengenai kehidupan melalui pengalaman ijazah kedoktoran ini.  Satu satu kisah yang pastinya melekat di minda ialah apabila Prof MKI meminta saya membuat analisis data di pejabat beliau.

Wan, kau cuti hari ni?

Ya Prof

Kalau gitu, kau duduk di dalam bilik ini sampai analisis pertama selesai.

Beliau terus meninggalkan saya. Hilangnya entah ke mana.

Benar, MKI meninggalkan sedikit ilmu. Maka terkial-kiallah saya menggunakan perisian microfit untuk meneruskan analisis tersebut.. Empat jam saya “dihukum” tanpa makan dan minum. Ia suasana yang tidak selesa apatah lagi kerana terpaksa berada di dalam bilik beliau yang agak panas. Hati saya berkata,

Di mana professor ini sorokkan remote control  penghawa dingin?

Beliau muncul semula ketika tertentu. Misalnya, kami hanya berhenti untuk solat zuhur, makan tengahari dan kemudian saya meneruskan kerja hingga berhenti lagi untuk solat Asar.

Di penghujung petang, kami menganalisa data bersama dan berhujah secara atas kajian kes tersebut.  Sangat positif.  Kimia hidup yang boleh meletup!

Ianya saat manis kerana  ta’alomu minal khebra mengajar saya bahawa bila wujud kimia hidup antara dua insan, perkara yang mustahil mampu direalisasikan. Setiap diri perlu berusaha dan berfikir untuk menjalin ukhuwah dengan melihat kimia hidup antara diri kita dengan insan yang ingin kita dampingi.

Lalu izinkan saya membuat sedikit rumusan sebagai panduan kepada diri saya dan siswa(i) betapa kimia hidup ini diperlukan terutamanya kepada

– suami(isteri) untuk hidup ceria bersama pasangan tercinta.

– staf organisasi untuk serasi bekerja di antara staf denga bos dan sebaliknya.

– AJK masjid perlukannya agar hubungan antara ahli kariah akan sentiasa segar dan tenteram. Maka usaha dakwah lebih mudah dilaksanakan.

– Anak murid perlu mensesuaikan diri untuk menimba ilmu dari guru. Malah ia jadi lebih mudah untuk guru menurunkan apa yang ada di dada.

Ta’alomu minal khebra mengajar saya untuk berusaha mencari titik pertemuan dari sibuk meninjau titik perbezaan.

Wallah’alam.

4 thoughts on “Kimia Hidup

  1. SubhanAllah…menggetar hati n mencelik minda…kimia hidup yg pasti menjadi pemangkin kehidupan yg dinamik n positif

  2. CANTIK entry lanjutan ta’alomu minal khebra..sangat sukar hendak mendapat chemistry yang sepadu. kita mesti paksa hati untuk tidak putusasa demi untuk mencampai harapan/hasrat yang kita hajati. Terima kasih Dr tips yang amat berguna untuk difikir-fikir dan dihayati. Insya ALLAH.

Leave a Reply