Pulanglah

Kami berpesan kepada jemaah umrah dan ziarah,

Pulanglah dengan rasa rindu pada Makkah dan Madinah. Katakan pada mereka yang bertanya, “apakah yang kamu rindui di sana?,” dengan jawapan yang sangat jelas,

Aku merindui Haram kerana di sanalah aku berada 12-14 jam setiap hari beriktikaf di dalamnya, aku solat berjemaah lima waktu sehari semalam setiap hari, aku belajar berpuasa sunat di sana, aku mampu bangun malam setiap hari, aku membaca quran dan terjemahan….

Allah ya Allah…. Itulah rindu yang aku bawa pulang dan akan aku teruskan di Malaysia, InsyaAllah.

Sungguh, aku merindui Makkah dan Madinah kerana hati nurani ku tersentuh di sana.

Lalu saya berpesan – kebanyakan apa yang kami catatkan di sini – IA TIDAK WAJIB – sekali-kali tidak wajib. Pilihan untuk melaksanakan apa yang dicadangkan terletak pada diri sendiri. Namun kami fikir, kami tidak mahu mempedulikan jika jemaah lain menganggap ia tidak penting.

Namun ia tidak jadi begitu. Rasa kasih sayang yang tidak terhingga menyelinap di hati sanubari apabila melihat bagaimana perilaku jemaah umrah dan ziarah semasa berada bersama kami di sini. Kesemuanya berhati lembut.

Mereka merenung jauh apabila mendengar apa yang telah kami catatkan melalui nota ringkas ini. Allah ya Allah … kami mahu mereka dan kami sendiri meneruskan kehidupan dengan amalan yang mampu dilaksanakan – Insya Allah – agar mendapat redhaNya.

Ia amalan untuk orang biasa-biasa seumpama kami yang masih menuntut ilmu sementara menanti hari berbaki mengesot pergi. Ia hari kematian. Lalu kami juga tidak boleh bertangguh dengan cuba menyampaikan apa yang ada di dada kepada mereka yang mencari kami di Madinah.

Lalu kami simpulkan pemahaman kami tentang ibadat umrah dan ziarah dengan satu catatan ringkas. Ramai orang yang diberi nikmat berada di Madinah atau Mekah. Namun belum tentu lagi mereka diberi nikmat untuk berada di dalam masjid Nabawi atau Masjidil Haram. Ramai yang diberi nikmat untuk menunaikan ibadat umrah, namun belum tentu lagi mereka diberi nikmat untuk beramal ibadat di dalam kedua-dua masjid tersebut.

Mekah dan Madinah mempunyai banyak kelebihan. Ramai – jemaah ziarah dan umrah – berkunjung ke sini melihat dan merasai pelbagai perkara ajaib. Misalnya, saya pernah bertemu dengan sepasang suami-isteri semasa di musim haji. Salah satu kenyataan awal yang dituturkan adalah, “ajaib, banyak perkara ajaib yang berlaku di sini”. Lalu saya nyatakan,

Di Malaysia juga banyak berlaku perkara ajaib tetapi kita tidak melihat sebagaimana kita melihat di Mekah dan Madinah. Itu sahaja. Namun ada satu keajaiban yang tiada di Malaysia, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Bila berada di sini, rebutlah keajaiban tersebut semaksimum mungkin. Jangan solat di luar masjid. Pergilah ke saf-saf hadapan. Perbanyakkan masa di dalam masjid bukan di luar masjid.

Berdiamlah. Renunglah ke dalam diri dengan penuh keinsafan.

Berapa ramai yang sanggup begitu? Jika mahu berehat, saya fikir hotel di Malaysia lebih canggih, kemas, teratur dan nyaman.

Ya Allah, kami mohon keampunanMu jika terkhilaf dalam menyampaikan sedikit ilmu yang kami pinjam dari Mu, ya Allah.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

One thought on “Pulanglah

  1. Asalamualaikum,

    Tuan,

    Semenjak saya kembali dari menunaikan umrah pada Mei 2014 yang lalu saya merasakan seperti apa yang tuan tulis ditajuk Pulanglah ini,

    Semenjak hari terakhir saya di Mekah, saya berjanji akan kembali semula ke sana dalam waktu terdekat. Samada peluang umrah lagi sekali atau menunaikan haji. Malah saya juga terfikir alangkah indahnya jika akhir hayat saya berada di sana. Mashallah…sebak rasa hati ini…

    Tuan,

    Apakah yang perlu saya lakukan buat masa sekarang untuk mencapai cita-cita saya itu. Insyallah saya akan pencen pada tahun 2024 sekiranya umur saya panjang.

    Selain mendapat tawaran bekerja di sana apakah perkara yang saya boleh lakukan sekarang sehingga saya dapat mengunjungi Mekah dan Madinah mungkin setiap tahun malah mungkin lebih sekali setahun.

    Insyallah.

Leave a Reply