Pencen

Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada malaikat penulis amalnya,

Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan, kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya – dan jika Tuhan mengambil nyawanya maka diberikan keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya.

Alhamdulillah, Subhnallah, Allahu Akbar. Saya sangat teruja mempelajari, mendengar dan menghayati hadis ini. Ia memberi implikasi besar kepada pemahaman saya terhadap konsep bersyukur saat diuji. Malah ia secara jelas menceritakan beberapa sifat Allah secara khusus misalnya, Allah itu Maha Pengasih dan Dia Maha Penyayang.

Membaca dan mempelajari hadis ini meneguhkan lagi pemahaman saya dengan lima perkara sebelum dan selepas yang sering disebut-sebut, iaitu keperluan untuk mengingati masa sihat sebelum sakit, waktu kaya sebelum miskin, kelapangan masa sebelum tibanya waktu sibuk, ketika muda sebelum tiba usia tua dan semasa hidup sebelum mati.

Hakikatnya, apa yang berlaku pada masa hadapan pastinya tidak dapat ditelah dengan sempurna. Kematian merupakan salah satu perkara yang pasti berlaku. Namun ia tidak boleh dijangka dengan tepat. Adik saya – Haniza – meninggal ketika usianya baru mencecah 35 tahun. Begitu juga dengan adik ipar – Ayu – yang meninggal pada usia yang sama.

Ayah pula pergi buat selamanya ketika usianya di sekitar awal 60an. Abah – bapa mertua – pula lebih 10 tahun panjang usianya berbanding ayah. Ia berbeza-beza mengikut ketetapan yag telah diatur oleh Allah SWT. Penyebabnya juga berbeza-beza. Namun kematian pasti tiba, tidak lewat dan cepat sesaat. Melalui surah al-Baqarah, ayat 243 Allah telah nyatakan,

Tiadakah engkau perhatikan orang-orang yang keluar dari rumahnya, beribu-ribu banyaknya, kerana takut mati, lalu Allah mengatakan kepada mereka: Matilah, kemudian mereka itu dihidupkan Allah kembali, sesungguhnya Allah itu Pemurah terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih.

Begitulah. Hampir kesemua manusia sedar dengan realiti kehidupan dan kematian. Namun dalam sedar mereka masih mahu bertangguh apabila dikaitkan dengan ibadat khusus. Kita mendengar ada yang merancang untuk melakukan banyak perkara termasuklah menghampiri Allah SWT setelah tiba usia pencen. Namun – realitinya – begitu ramai yang sudah menyambut usia pencen masih lagi tidak berupaya melaksanakan apa yang dirancang ketika muda.

Mereka masih lagi disibukkan dengan pelbagai uusan dunia yang tidak bernokhtah. Malah ada yang tersedu apabila ditimpa bencana badan – misalnya – penyakit kronik seperti kanser, stroke atau angin ahmar yang tidak memungkinkan mereka melaksanakan amalan sebagaimana yang difikirkan ketika sihat.

Menarik.

Hadis di atas sangat menarik kerana Allah menjanjikan untuk terus memberi ganjaran dengan apa yang diamalkan dikala tubuh sihat sejahtera walaupun kita tidak mampu meneruskan amal ibadat tersebut akibat bencana badan. Benar sekali, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Jika kita tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid, bangun malam dan berpuasa sunat maka Allah masih lagi memberi ganjaran ketika kita terlantar di pembaringan akibat – misalnya – lumpuh sebelah tubuh. Bahasa mudah, Allah menyediakan skim pencen lumayan jika lima perkara yang disebut – muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati – dimanfaatkan dengan cara menyembah dan beramal ibadat kepadaNya.

Saya mahu mengambil manfaat daripada hadis ini yang sudah melekat di minda. Malah saya merenung diri. Saya berpenyakit – tekanan darah tinggi dan diabetes – yang boleh menjurus kepada komplikasi penyakit lain misalnya serangan penyakit jantung. Ia sentiasa benar betapa itu hanya penyebab kepada proses bagaimana Allah menjemput kita pulang. Hakikat sebenar, ia merupakan isyarat Allah supaya kita lebih bersedia menghadapi saat-saat tersebut. Ia notis kecemasan untuk mereka yang mahu berfikir. Jika tidak ia berlalu tanpa disedari. Ia langsung tidak membawa makna.

MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar.

Juga, setiap hari umur saya bertambah. Masa yang tinggal semakin singkat. Jika berlaku sesuatu yang boleh menyebabkan saya tidak berupaya melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh mereka yang sihat, biarlah saya mendapat pencen lumayan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Ia perlu dilakukan sekarang dan tidak hanya menanti dan menanti. Akhirnya – takut-takut – apa yang dinanti tidak muncul-muncul.

Saya mohon keampunan Allah.

Nota Hadis: Hadis riwayat Imam Ahmad pada kitabnya Al-Musnad, pada Musnad Anas bin Malik, hadis no: 13712. Berkata Syeikh Syuib Al-Arnaout Sohih Li-Ghoirih yang tahap hadis ini adalah hasan.

2 thoughts on “Pencen

  1. salam.prof boleh cuba makan madu sidr dari yaman keluaran ryhanah.elok untuk menghilangkan segala penyakit termasuk diabetes..habatussaudah dan zaitun gold pun elok di makan…

Leave a Reply