Masihkah mahu begitu?

ALhamdulilah, MasyaALLAh, TabarakALLAH adalah kalimah besar  bagi  saya  mensyukuri dan memulakan bicara di Dewan Kuliah ini.

Syaaban bakal melabuhkan tirai.  Ianya tidak akan hadir lagi melainkan ALLAH yang Maha Penyayang dan Pemurah mengizinkan kita bernafas sehingga ke tahun hadapan.  Kita juga mungkin alpa  untuk berdoa supaya ALLAH melanjutkan usia dan mengizinkan diri untuk bertemu Ramadan tahun ini serta Rejab/Syaaban tahun hadapan.

Bila saya bertanya kepada beberapa insan mengenai doa (kajian rambang),  85%  menumpukan doa untuk menjadi kaya dan mengakhiri doa dengan permohonan kejayaan dunia dan akhirat.

Hakikatnya, kita akan masih begitu jika doa kita berterusan tanpa ada doa khusus.  Rupa-rupanya terlalu banyak yang kita mahu minta dari Rabbul Jalil.  Malu rasanya untuk memohon terlalu banyak perkara duniawi di dalam keadaan amalan kita pula tidaklah sehebat mana.

Hakikatnya, kita merupakangolongan tidak tahu malu.  Kita menumpang di bumi Tuhan tetapi mahu mendapat layanan bertaraf istana. Kita melanggar undang-undang Tuhan dan kadang-kadang menafikan perintah Tuhan namun masih menyimpan hasrat bertimbun dengan dorongan nafsu duniawi.

Kita tergapai-gapai mencari ALLAH ketika susah, dan sedikit lupa bila kita sedikit senang.  Itulah ciri kita sebagai manusia. Kita tersangat sibuk dengan hal ehwal duniawi dan lalai menghitung masa yang mengengsot pergi.  Kita tidak merintih kerana hati dan jiwa kita membatu.

Sepanjang pengalaman hidup, kita telah melalui proses berpuasa. Ketika kecil kita dilatih berpuasa, tetapi kita kurang memahami erti “shaum”. Jika anak kita masih kecil, kita kesian melihat mereka berpuasa. Maka faktor kesian mendorong kita untuk mengajar anak kita fleksibiliti untuk berpuasa setengah hari.

Ianya adalah norma umat Melayu berpuasa. Namun bila kita selidik “shaum” maka tindakan kita sebenarnya ada yang tidak kena. Kita cuba mengajar anak kecil kita berpuasa tetapi kita tidak menekankan aspek tarbiah dan memahami “shaum”.

Mengapa AL-Qur’an menyebut secara khusus istilah “shaum”?

Shaum bererti Benteng/Tembok/Penahan, apa yang hendak ditahan?

Hawa Nafsu!

Ya, shaum adalah satu proses tarbiah Rabbani arahan terus dari Langit. Kita dikehendakki menahan nafsu makan, minum, nafsu amarah dan  syahwat. Shaum mempunyai istilah  holistic mengajak hamba hanya mengabdikan diri kepada Pencipta dan mengikut perintah Penguasa alam.

Tholamu minal khebra menjemput kita di dewan kuliah ini untuk melihat kembali kedudukan shaum kita pada tahun-tahun terdahulu.  Kepada mahasiswa UMKI yang kini berada di luar Negara dan sedang menimati musim panas, sudah tentu hati sedikit gelisah kerana

Subuh mungkin sekitar jam 3.50 pagi (0350) dan  maghrib jam 8.30 petang (2030).  Panas pulak tu! Allahu Akbar!  Berpuasa selama 16 Jam!  Namun bagi mahasiswa UMKI yang berada dalam zon selesa musim sejuk, waduh syoknya berpuasa Cuma 5 jam! Dingin dan syoknya tidur.

Bagi mahasiswa UMKI di sekitar nusantara Melayu, puasa adalah biasa-biasa sahaja.  Terkini, kita berpuasa dalam suasana berjerubu dan berada dalam zon hot-spot. Apapun keadaan puasa, kita berpuasa kerana hadirnya Ramadan dan tidak ramai mampu menghayati “shaum”.

Di saat Ramadan bakal tiba,  jualan Mega Aidil Fitri sudah mula dicanang.  Kita akan masih begitu…, bakal  kecundang dengan  shopping Raya.  Hutang duniawi akan mula bertambah kerana nafsu perhiasan Raya dan hutang dengan ALLAH juga mungkin bertambah kerana tidak memaksimumkan peluang Ramadan.

Syaaban bakal melangkah pergi dan meninggalkan kita.  Maka perbanyakkan istighfar akan mendamaikan jiwa. Istighfar juga menjemput rezeki  memasuki laman hati dan dompet kita.

Saya teringat satu kisah penting berkait Ramadan. Satu ketika, KAAB bin Ujrah menceritakan kisah menarik daripada Rasulullah SAW. Baginda bersabda bermaksud: “Hampiri mimbar!” Lalu kami semua menurutinya. Ketika Baginda melangkah ke tangga pertama, Baginda mengatakan, “Amin.” Apabila melangkah tangga kedua, Baginda mengatakan, “Amin.” Begitulah apabila melangkah tangga ketiga.

Lalu kami bertanyakan maksud perbuatannya itu, Baginda menjawab: “Aku didatangi Jibrail  dengan mengatakan kepadaku: “Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadan tetapi tidak mendapat pengampunan.” Aku pun menyahut dengan berkata, “Amin.” Di tangga kedua Jibrail mengatakan: “Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu,” aku pun menyahut, “Amin.” Di tangga ketiga Jibrail mengatakan: “Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang uzur atau seorang daripada mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga.” Aku pun mengatakan, “Amin.”

Allahu akbar! Satu kisah yang mudah tetapi menuntut tindakan kita dengan kesungguhan. Ramadan adalah bulan bertindak bukan bulan teori. Ramadan adalah bulan tarbiah dan mendidik hati. Hanya mereka yang mahu bertindak, akan merasai nikmat hidup bertuhan.

Di penghujung Syaaban ini (hujung minggu ini), Dewan Kuliah ini menyarankan  akan kita sama-sama:-

  1. Berdoa agar ALLAh menerima permohonan maaf kita. Kita banyak dosa, lalai dan berangan mewah mengenai kehidupan.
  2. Berselawatlah ke atas junjugan mulia Muhammad s.a.w kerana pengorbanan dan tunjuk ajar Baginda melalui sunnah telah mengizinkan kita saban tahun menjalani ibadah shaum bagi membentuk karektor muslim dan ummah yang hebat.
  3. Menziarahi kedua orang tua (jika masih ada) atau menziarahi perkuburan mereka sebagai tanda ingatan dan sayang kita kepada mereka.  Sedekahkan Al-Fatihah, bacakan Qur’an dan  buatlah tahlil (atau join program tahlil di Masjid/surau) dan sedekahkan amal kebaikan untuk mereka.

Mahasiswa yang dikasihi,  Ramadhan adalah bulan pembakaran. Pembakaran hawa nafsu kita, sehingga nanti setelah sebulan, maka Syawal yang  membawa erti  Peningkatan akan kita perolehi. Kita perlu berusaha meningkatkan diri, dan shaum adalah proses hebat acuan Ilahi.

Ya Allah selamatkan kami sampai ke bulan Ramadan, dan anugerahilah (keberkahan dan kemuliaan) ramadan untuk kami, dan selamatkan ramadan dari (keburukan tabiat & akhlak) kami. Berikanlah kami Ramadan yang terbaik. Amin!

One thought on “Masihkah mahu begitu?

Leave a Reply