Ramadhan buat Siswa(i) U-MKI

Ramadhan bukan bulan yang dinanti, diraya dan ditinggalkan.

Ia sepatutnya boleh dijadikan bulan pemula kepada 11 bulan yang lain. Kita tidak mahu bulan mulia ini hadir dan dilupakan.

Nota ringkas ini untuk kita berfikir sejenak …

Pertama, kita mampu berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadhan. Kenapa tidak kita teruskan dengan berpuasa nabi Daud, puasa yang hanya selang sehari. MasyaAllah, ia puasa sunat yang paling disukai oleh Allah SWT.

Pss .. puasa selang sehari ini bukanlah puasa wajib. Ia hanya untuk difikirkan oleh siswa(I) U-MKI.

Kedua, bulan Ramadhan memudahkan kita bangun malam. Kita bersahur. Lalu ambillah peluang untuk bertahajud dengan melakukan solat malam, bermunajat, berdoa dan meminta kepadaNya.

Ia jemputan daripada Allah SWT pada 1/3 malam tersisa. Bayangkan bagaimana hati dan jiwa mereka yang sentiasa mengamalkan bangun malam sehingga mereka di jemput pulang olehNya.

Bukankah Allah SWT nyatakan … engkau berdoa Aku makbulkan, engkau bertaubat Aku ampunkan dan engkau meminta Aku perkenankan. MasyaAllah, Subhnallah, AllahuAkbar, usai segalanya kita bersahur di hujung waktu dibenarkan.

Pss … bangun malam bukan wajib untuk dilaksanakan. Ia hanya untuk difikirkan oleh siswa(I) U-MKI.

Kita disarankan untuk membaca al-Quran dan menghabiskan 30 juzuk. Jadikan ia sebagai amalan harian. Ambil mudah dengan hanya membaca 1/2 muka sehari tetapi bersekali dengan terjemahannya. Bukankah al-Quran itu teman hidup di dunia dan akhirat? Bacalah sambil kita memahami apa yang mahu disampaikan oleh Allah SWT.

Pss … membaca al-Quran dan terjemahan bukan wajib untuk dilakukan. Ia hanya untuk difikir dan direnungkan oleh siswa(I) U-MKI.

Cukuplah dahulu dengan tiga perkara utama yang boleh dimulakan pada bulan Ramadhan ini dan diamalkan sehingga bertemu Ramadhan pada tahun berikutnya.

InsyaAllah begitulah kita merancang Ramadhan bukan untuk sebulan tersebut tetapi melewati bulan-bulan di hadapannya.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

4 thoughts on “Ramadhan buat Siswa(i) U-MKI

  1. assalam. sesunguhnya hidup kita ini bukan untuk penuhi apa yang kita nak tapi untuk penuhi apa yang allah nak

  2. Andainya ini ramadhan yg terakhir buat kita, marilah kita sambut segala saranan prof

  3. Syukran. Ia bagai mutiara jatuh berserakan, akan saya kutip, jadikan manik tasbih dan moga Allah mudahkan untuk saya beramal dgnnya. Amin.

Leave a Reply