Tersenyum dalam Duka

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

                                           (Al-Baqarah:155)

Saya diuji ALLAH.

Bahan-bahan penting ditakdirkan hilang. Tiga tulisan saya di dalam pen-drive untuk bahan kuliah UMKI berangkat sama dengan beg kerja kerana dicuri.  Allahu akbar! Malu saya dengan pengasas  dan semua siswa/I UMKI.

Saya terfikir mengenai ketegasan ALLAH menyebut dalam Al-Qur’an bahawa  masjid Quba’ sebagai masjid yang dibina atas dasar taqwa.  Masjid yang dibina dan ditadbir atas dasar taqwa mempunyai kekuatan dan ketahanan tersendiri. Semangat Al-Quba’ ini kukuh hingga sekarang di bumi Madinah. Begitu juga kisah bagaimana kuasa Ar Rahman Ar Rahim menyelamatkan umat di Masjid AR-Rahman kota Acheh ketika Tsunami dulu.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Masjid bukanlah tempat yang selamat lagi ….. satu ayat yang konklusif berdasarkan pengalaman ini.

Beg kerja saya di curi ketika solat Asar di masjid. Walaupun langkah berhati-hati telah saya ambil dengan meletakkan beg kerja di bawah kerusi  belakang kereta dan sistem penggera diaktifkan, masih tidak mampu mengatasi kecurian. Ianya berlaku pantas antara jam 4.40 petang hingga 5 petang, di saat jamaah masjid sujud mengagungkan ALLAH, ada pula manusia membuat kerja di larang ALLAH di dalam kawasan masjid!

Pencuri kereta lebih cekap. Tiada sikitpun kesan cermin kereta dipecahkan. Mendukacitakan ianya berlaku di dalam kawasan parking berhadapan lobi masjid. Nampaknya, masjid juga tidak aman. Kejadian kecurian di masjid sudah lumrah. Kereta, motor, wang sumbangan kariah, komputer dll sudah dianggap lumrah hilang di masjid.

Ketika membuat laporan di Balai Polis, pegawai polis bertugas berkata “biasalah” berlaku kehilangan di masjid tersebut. Dan mungkin sebab “biasalah”, maka ada antara anak kariah tidak datang masjid kerana tidak merasa masjid sebagai  zon selamat!  Jadi apa tindakan polis dan masjid jika ianya “sudah biasa”?

Kira-kira dua puluh tahun lalu, saya pernah menghadiri kuliah Tok guru Dato Dr Harun Din kupasan mengenai masjid.  Saya teringat, Tok Guru pernah sebut, jika kecurian kerap berlaku di sesuatu masjid, maka  ianya adalah signal ALLAH beri kepada AJK dan Pengurusan masjid untuk menyemak hati, niat dan tindakan. Adakah kerapnya berlaku kecurian di masjid sebagai indikator penting untuk pengurusan dan AJK masjid untuk introspek diri?

Paling mendukacitakan saya kehilangan barang-barang yang sangat berharga seperti 3 pen-drive yang mengandungi bahan-bahan ilmiah, manuskrip buku terbaru dan bahan-bahan latihan pembangunan korporat dan Islamic Finance. Bahan-bahan kupasan politik ummah, kuliah, kajian dan latihan korporat ini telah saya bangunkan hampir empat tahun dan kehilangan ini amat memeritkan. Nilai modal Intelektual yang sangat tinggi.

Di dalam buku motivasi “Bila Pintu Hati Terbuka”  yang saya tulis khusus untuk bekalan mahasiswa PhD/Masters (kata aluan ditulis oleh Prof Kamil), saya ada berkongsi akan pentingnya mahasiswa menjaga data dan bahan kajian. Ianya adalah faktor kritikal perjalanan PhD/Masters, kerana bila bahan ini hilang akibat dicuri atau serangan virus, sudah tentu tekanan hebat menghambat jiwa. Ianya bukan main-main, boleh stress dan masuk hospital…

Satu tip penting buku tersebut ialah kerapkan back-up data. Bila kita tidak menjadikannya sebagai  tabiat, maka ia akan mengundang risiko. Itulah yang sedang saya lalui kerana sudah lebih dua bulan tidak back-up data dan penulisan!  (Boleh juga  dikupas lanjut di kuliah akan datang).

Yang menarik, dalam beg tersebut ada sebuah buku kecil hadiah dari seorang Kiyai buat bekalan saya untuk kerja-kerja dakwah korporat. Moga khazanah kecil pembentukan hati ini yakni buku bertajuk “Seriuskah Aku Mengenal ALLAH” dapat di baca dan diamalkan oleh si pencuri beg ini.  Siapa tahu, hidayah datang disebabkan mencuri sebuah beg  usang?

Ringkasnya, ALLAH  memberi saya satu pengalaman baru. Kita boleh merancang nasib  tetapi hak mutlak ALLAH memberi  takdir.  Saya sudah merancang agar nasib harta saya selamat,  tetapi ALLAH mahu memberitahu  bahawa  rumahNYA pun tidak selamat apabila  masyarakat rosak sementara  pemimpin pula tidak amanah dan tidak serius menjaga ummah.

Ya, dalam duka ada senyum kerana:

1. Mungkin ALLAH mahu si pencuri bertaubat dengan membaca buku kecil “Seriuskah Aku mengenal ALLAH”. ATAU…

2. Mungkin ALLAH mahu saya melihat diri supaya memberi lebih banyak masa  kepada ALLAH dan keluarga  ATAU ….

3. Mungkin ALLAH mahu saya beristirehat dari kerja kuat……Time to take break

Pengalaman mematangkan hidup.

9 thoughts on “Tersenyum dalam Duka

  1. Baru- baru ini saya memgalami kecurian di rumah saya. Antara yang dicuri adalah satu beg tangan berjenama dan di dalamnya ada Al Quran terjemahan, hadiah dari seorang rakan rapat. Antara perkara pertama yang berdetik di dalam hati adalah doa semoga sang pencuri diberi hidayah Islam dengan membaca Al quran terjemahan itu dan sekiranya dia orang Islam, kembalikan dia ke jalan yang benar. Mudah- mudahan kehilangan itu jadi sebab untuk jalan mudah ke Jannah. Amin.

  2. Prof…moga tabah diatas kejadian yg tidak diduga ini. Saya cadangkan prof buat backup dalam dropbox atau google drive paling tidak dalam google mail. walaupun x updated sekurang kurangnya yg asas tu masih ada…

  3. itulah situasi masyarakat kita yang kian ‘tenat’ – namun pelbagai pengajaran yang boleh direfleksikan. saya doakan prof mendapatkan sesuatu yg lebih baik drp apa yang telah dicuri. moga tabah sentiasa

  4. Salam Sejahtera,

    Di Mekah dan Madinah pun berlaku kecurian , jadi apa lagi di tempat-tempat lain.

  5. Suami saya juga mengalami perkara yg sama bila cermin kerete belakang d pecah waktu berhenti sembahayang jumaat n bila buat laporan polis rupanya itu perkara biasa

  6. salam Prof… pada pendapat saya kalau buku dan pen drive sahaja dalam beg tu , mungkin ada di buang oleh pencuri itu di sekitar masjid berkenaan. Cuba Prof cari.. sebelum tu solat hajat 12 rakaat di tengah malam mohon dapatkan semula isi beg tersebut. ini sy dah biasa buat dan di makbulkan Allah. cuba lah Prof

  7. Salam takziah buat Prof.. Semoga Prof tabah dan sabar menghadapi ujian dariNya. Ada hikmah dan insyallah ada balasan yg lebih baik dariNya..Saya cadangkan simpan di dropbox..

  8. Salam Prof,
    Saya juga diuji. Saya berpesan kepada sahabat sedekah menolakmusibah. Sahabat saya dimasukkan ke hospital, sy bersedekah untuknya. Esoknya grill rumah saya diumpil pencuri semata-mata mengambil tong gas. Waktu kejadian saya tiada di rumah. Saya bersyukur amat sangat kerana anak gadis saya selamat kerana dia sendirian di rumah. Saya beritahu diri: Allah sedang menguji keyakinan kamu, dan mendoakan agar tong gas itu bermanfaat kepada si pengambil.
    Terima kasih juga pada mki kerana buku, ” bersyukur saat diuji”. Ia memandu saya melalui ujian kehidupan.

Leave a Reply