Mahar Terindah

Saat indah.

Hati berbaur setiap kali menerima kad jemputan ke majlis perkahwinan. Riang dan sebak bersekali. Melihat dua mempelai berjalan beriringan sambil jari bertaut kemas melepasi pintu utama boleh mengalirkan air mata.

Ada kenangan masih tertusuk di dada.

Hari itu tidak berbeza. Mata melihat berpuluh-puluh meja di dalam dewan besar yang kelihatan terlalu indah Setiap meja dihiasi dom-dom berisi makanan lazat. Peralatan hidangan – pinggan, cawan, gelas, sudu serta garpu – tersusun rapi. Terselit cantik cenderamata berbekas ala kristal berbalut reben berhias mawar putih.

Hati tidak dapat menolak untuk bertanya, “berapa agaknya sewaan hotel ini?”.

Mata galak merakam hamparan permaidani merah terbentang seawal pintu utama. Sepanjang jalan masuk dihiasi jambangan mawar putih segar bugar. Pentas utama disidai gabungan kain sutera, satin dan sifon.

Akal yang bermalasan tidak dapat mencongak bilangan mawar putih terhias indah di kiri kanan kerusi raja sehari. Harumannya menawan. Lagi, pada penjuru pentas, terdapat kek sugar paste bertingkat-tingkat.

Pentas raja hanya sehari ini bakal disinggahi oleh pengantin terbilang.

Tumpuan terganggu apabila MC mengumumkan pengantin  akan memotong kek besar sebelum ke meja makan utama. Lensa kamera berkelip-kelip merakamkan saat indah buat mereka. Kemudian, pengantin perempuan dengan senyum melerek menawan meninggalkan sudut pentas bersama pasangannya.

MasyaAllah Tabarakallah!

Alunan muzik dimainkan mengikut tempo perjalanan pengantin. Sungguh suasananya indah sekali. Mata merenung persalinan pengantin, gabungan kain sutera dan Lace. Potongan baju ketat sendat. Ia – agaknya – sesuai dengan tubuh langsing sipemakai. Potongan kainnya berjela-jela panjang. Ada dua anak gadis comel perlu membantu semasa bergerak.

Sungguh … ia benar dan nyata!

Meja utamanya lagi hebat. Pengisinya orang kenamaan, orang bergelar serta orang berharta. Mereka siap sedia menunggu untuk majlis bersantap adab beradab. Juadahnya tentu sekali berbeza. Wajah mereka hampir terlindung dek tapak lilin serta gubahan bunga-bungaan.

Allah … Allah … ya Allah … daku pernah mengimpikan suasana ini aduhai  suamiku.

Daku mimpikan majlis perkahwinan di dalam taman dipenuhi dengan bunga-bungaan, reben-reben besar dari kain sutera diikat pada para-para tinggi serta burung berkicau-kicauan. Lalu pari-pari kecil membantu membetulkan kaki kain meleret yang panjangnya berjela-jela.

Ia kisah puteri-puteri dongeng. Namun itulah impian pengantin remaja yang telah berkubur berpuluh tahun lamanya.

Lamunan terhenti. Agaknya berapa ramai yang mampu berhabisan beratus ribu kerana meraikan majlis perkahwinan anak sendiri? Tidak. Tiada siapa yang mampu jika mereka bukannya keturunan keluarga Diraja, jutawan atau orang berjawatan tinggi. Istilah ukur baju di badan sendiri masih terpakai. Majlis seumpama ini tidak bertempat bagi orang biasa-biasa.

Diam-diam – hari itu – bakal pengantin perempuan tertawa geli hati mengenangkan angan-angan puteri dongeng yang melintas di fikiran. Tiba-tiba, sayup terdengar dari ruang tamu.

Berapa hantarannya pak cik?

Mas kahwin di Johor RM22.50. Hantaran terpulanglah kepada Kamil. Jangan menyusahkan.

Saya sudah ada menyimpan sedikit wang. Tidak banyak. Simpanan biasiswa. Jika RM4500, pak cik boleh terima?

Terdengar anak muda yang datangnya bersendirian bertanya dan memberitahu bakal bapa mertuanya. Tubuh badannya sedikit bergetar tetapi teratur sekali berbahasa. Beliau merisik khabar sendirian sebelum membenarkan keluarga datang meminang.

Alhamdulillah. Itu sudah lebih dari memadai. Rasanya  tidak perlu bertunang-tunang. Mintalah keluarga datang tiga bulan dari sekarang.

Bapa mertua juga berhemah. Barangkali dalam diam beliau berterima kasih kerana pengakuan luhur lagi jujur dari bakal menantunya. Barangkali yang berminat ramai tetapi inilah anak muda yang sanggup bertanggungjawab dan mahu menikahi anak perempuannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

(Terjemahan surah an-Nisaa’: 4)

Begitulah indahnya Islam. Sungguh, ia tidak memberatkan umat nabi Muhammad SAW. Tidak mengapa walau naskhah al-Quran yang hanya termampu olehnya. Tidak mengapa walau mas kahwin hanya RM22.50 sahaja.

Ia mahar terindah!

6 thoughts on “Mahar Terindah

  1. Assalamualaikum w.b.t.

    Sekadar berkongsi ceritera….sy baru 6 bln menikahkan anak perempuan pertama, semasa dipinang sy dan suami tidak menetapkan berapa hantarannya….tidak ada sebutan semasa majlis merisik/bertunang, bertunang pn dua bulan saja, itulah tarikh merisik, itulah tarikh bertunang. Sebentuk cincin, telekung dan sepasang kain. Kami juga tidak minta dari bakal menantu mahupun besan…ikut budibicara mereka sajalah…. Anak perempuan sy kerisauan kerana tidak tahu berapa hantarannya….jawapan sy dan suami….berapa yg dia mampu beri, itulah jumlahnya, andai tidak ada, tidak apa….kita ada rezeki lain nnt Allah akan bagi…Insyalllah, jgn gusar..pesanan kami kepada bakal menantu…”kamu jgn fikir jumlahnya berapa, jangan berhutang, kerana selepas menikahi anak kami….itulah tanggungjawab kamu…JANGAN BERHUTANG…” Alhamdullillah, sebulan sebelum majlis, pihak besan dtg mengahantar wang hantaran, pada kami, syukur Alhamdullillah, cukuplah…tidaklah kurang, tidaklah lebih….itu kemampuannya…syukur kepada Yang Maha Esa….

    Kini, anak perempuan kedua menyusul dipinang orang….bakal menantu anak yatim piatu dari usia 4 thn, orang susah, dari keluarga yang biasa2 saja……Allahuakbar, sejak anak mengenalinya dan melihat tingkahlakunya,…sy dan suami bertekat, jika budak lelaki ini ikhlas menerima anak kami, kami terina dengan hati yang lapang…sebelum beliau menamatkan pengajiannya, beliau memyatakan hasrat utk meminang anak kami. Sebulan bekerja, beliau datang dgn atok sebelah bapanya…saat dipinang, wakilnya memaklumkan jumlah hantarah yg dicadangkan….Allahuakhbar…sy terasa sangat sebak, tidak perasan menitikkan airmata….anak yatim piatu ini rupanya tidak percaya yang kami tidak menetapkan hantaran, tiada jumlah yang kami minta…kami faham situasi beliau, dibesarkan di rumah anak yatim, kami tidak sanggup meletakkan hantaran, cukuplah sekadar mas kahwin yg wajib dan sebentuk cincin tanda ikatan… Niat saya dan suami, jika telah tertulis ini jodoh anak kami, kami hanya akan beri beliau kasih sayang….yang beliau tidak ada sewaktu membesar hingga dewasa…. Moga2, kita semua usahlah memikirkan berapa hantaran buat anak2 perempuan kita, saya tidak malu dengan sesiapa saat ditanya berapa hantaran anak2 perempuan saya…. Apa yang orang akan cakap dan kata, biarlah, ia tidak berbekas dihati pun…

    Tinggal seorang lagi anak perempuan yang belum disunting orang, belum jugak ada ura2 berkawan atau berkenalan….moga2 Allah jodohkan beliau dengan lelaki yang beriman, bertaqwa yg akan mengasihi anak saya sepenuh hatinya.

    Jika Prof dan Pn Roza berkelapangan, jemputlah datang ke Muar Johor nanti semasa majlis walima anak perempuan kami nanti, Insyallah, jika diizin Allah majlis akan diadakan pd 21 Mac 2015 @ Sabtu di Dewan Dato Onn, MRSM Muar. Kami jemput Prof skeluarga.

    Semoga Allah merahmati kita semua.

  2. Terharu..puan..ttp amat terkesan..muga walimatul yg mendpt berkat hingga ke anak cucu..dan hingga ke syurga..aamiin

  3. Alhamdulillah..ketika anak perempuan kami berkahwin kami tidak berhutang..majlis yg sederhana.. memang kami tidak akan sekali2 meminta lebih dari kemampuan pihak lelaki.. biarlah ikatan perkahwinan bermula dgn baik..tanpa hutang piutang yg membebankan.

Leave a Reply