Misteri Kain Pelekat

Butang baju Melayu abang mana Pah?

Ramai tersenyum mendengar dialog lakonan pelakon kesukaan, gemolah P. Ramlee. Dialog berulang kali ini didengar sejak kecil sehingga berumah tangga. Namun setiap kali muncul di TV, perbualan ini masih membuat ramai tercuit geli hati.

Menonton kisah berpoligami barangkali hanya menarik buat tatapan di televisyen. Tambahan pula ia disampaikan berbentuk komedi dan santai. Jika tidak, ia boleh menjadi kisah meruntun perasaan dan akhirnya banyak hati pasti berderai dan berkecai.

Sabariah hanya berdiam diri atau menjauhkan diri apabila ada rakan sepejabat bercerita kisah-kisah seumpama ini. Agaknya beliau cuba untuk tidak mengumpat atau menceritakan aib orang. Bukankah ia seumpama memakan daging saudara sendiri?

Begitulah memahami sikapnya yang tidak suka mengambil tahu kisah rumah tangga orang lain. Beliau seboleh-bolehnya tidak mahu terkena badi rakan-rakan yang bermadu. Kalau boleh – dengan izin Allah – biar dirinya sahaja satu-satunya isteri suami. Sedang beliau mengelamun, tiba-tiba terdengar satu pertanyaan yang sering didengari,

Allah … kain pelekat abang mana Yah?

Sayup-sayup terdengar suara suami dari bilik tidur. Beliau menghentikan lipatan kain lalu bergegas ke bilik. Setahunya, kain pelekat telah diletakkan di atas katil. Malah ia telah dimaklumkan sebelum suami ke bilik mandi.

Di bilik, suaminya masih lagi bertuala. Di tangan baju Melayu sedia untuk disarung. Cuma kain pelekat yang masih misteri. Sabariah memandang ke atas katil, terdapat baju kemeja dan seluar panjang di atasnya. Seperti sekian kalinya, beliau berlagak seperti ahli silap mata.

Adakadabraaa!

Diangkatnya baju kemeja dan seluar panjang lalu terserlahlah kain pelekat yang tersembunyi di bawahnya. Ia sedikit terlindung. Lalu selesailah satu lagi misteri. Jika dicongakkan, agaknya sudah beribu kali misteri sama diselesaikannya.

Di awal perkahwinan beliau sering terhimpit hati. Murung dan mengalami tekanan perasaan. Semuanya gara-gara misteri kain pelekat suami. Ia fenomena yang tidak terungkai oleh akalnya. Beliau pernah bertanya kepada rakan-rakan sepejabat beberapa soalan bersangkut paut dengannya. Akhirnya beliau pula dijadikan bahan tawa.

Sabariah, pasal kain pelekat suami pun awak boleh tertekan. Relax … take it easy.

Mudah sahaja orang mahu mentertawakan. Apa yang mereka tahu tentang gelodak perasaan isteri. Bertahun-tahun ibu mengajar beliau agar menyidai tuala, kain baju, kain batik atau  kain pelekat di tempat yang disediakan. Ia satu disiplin besar buat keluarga Sabariah.

Namun setelah berumah tangga, beliau terkejut apabila mendapati suami begitu mudah menanggalkan dan membiarkan kain pelekatnya bergumpal di tengah-tengah ruang bilik atau di depan bilik mandi. Ia bukan sahaja berlaku di rumah sendiri tetapi di rumah ibu mertua dan di rumah ibunya sendiri.

Abang … cubalah belajar sidai kain pelekat di tempatnya. Ini tempat penyidainya sebelah sejadah.

Sabariah memujuk suami agar menurut cara sebagaimana ilmu ajaran ibu kandung. Bertahun-tahun, begitu. Namun ajarannya langsung tidak masuk ke dalam fikiran suami tercinta. Pernah beberapa kali beliau menangis sendirian kerana sakit hati. Tambahan pula beliau sedang cuti bersalin dan masih berpantang.

Pernah sekali beliau – kononnya – mahu mengajar agar suami berdisiplin terhadap kain pelekatnya. Beliau nekad membiarkan gumpalan-gumpalan yang ditinggalkan suami di merata-rata tempat. Di ruang bilik tidur, di depan bilik mandi, di ruang tamu dan di mana-mana ruang sahaja.

Namun pengajaran Allah SWT datang tanpa diduga. Ayahnya muncul di rumah berziarah ketika suami masih berada di tempat kerja. Ayahnya berang apabila beliau menyatakan beliau sengaja membiarkan kain pelekat terdampar di situ. Alasan marahnya, “biar memudahkan suami menyarungnya semula”.

Awak ni … dengan suami sendiri pun berkira. Apa salahnya kutip sahaja kain pelekat tu. Susah sangat ke? Inilah namanya penyakit hati.

Suami awak langsung tidak berkira jika awak malas mengemas atau memasak. Dibelinya makanan dari kedai. Haa .. selalulah buat perangai begitu. Suatu hari nanti dicarinya perempuan lain yang sanggup mengutip kain pelekatnya … awak mahu?

Allahuakbar! Tersentap!

Tidak menyangka bapa menjadi pembela anak menantu bukan anaknya sendiri. Diam-diam beliau bermuhasabah diri memikirkan kata-kata tulus ikhlas dari bapanya.

Sungguh, berapa ramai para isteri mengambil kesempatan di atas kekurangan suami, berkeras kerana mahu suami mengambil pengajaran darinya. Akhirnya, perkara  kecil-kecil menjadi besar apabila dibiarkan berlarutan.

Berapa ramai rakan-rakannya yang merajuk dengan suami  di peringkat awal akhirnya menjelma perasaan berkecamuk yang tidak terkawal. Lebih teruk lagi, mereka  mengambil keputusan untuk bercerai!

Nau’uzubillah!

Sabariah tidak mahu begitu. Sebelum terlambat, beliau mahu hentikan sahaja permainan bisikan hati jahat yang membuak-buak. Tiada gunanya diperam lama-lama. Tidak mahu kudis menjalar menjadi kanser.

Aduhai suami … maafkan isterimu jika perlakuannya begitu. Barangkali perlakuan anak-anak mu membuat beliau sakit mata dan sakit hati sedangkan mereka belum dewasa. Belajarlah berfikir secara matang. Barangkali kematangan mengharmonikan rumah tangga, dengan izinnya.

Ya Allah. Limpahkan kami agar menjadi suami isteri bertoleransi, bersefahaman dan tidak berkira di dalam apa jua urusan. Limpahkan kami dengan kasih-sayangmu di dunia dan di akhirat. Jadikan kami serta zuriat keturunan kami sentiasa tunduk sujud kepadamu. Moga kami menjadi hamba dalam redamu dan rahmatmu.

Wahai Tuhan … perkenankanlah!

5 thoughts on “Misteri Kain Pelekat

  1. Di kala usia perkahwinan menginjak dewasa, banyak perkara dapat diselesaikan dengan lebih hikmah.Alhamdulillah.

  2. Ini mengigatkan saya suatu waktu dahulu .. pensyarah saya pernah menceritakan cerita yg sama kain pelikat suaminya …juga di tinggalkan begitu . Masyaallahhh rupa2nya mereka ni semacam …

  3. Hihi … Rata2 kaum wanita mengadu benda yg sama di awal perkahwinan mereka. Kain pelikat, kuci kereta, kaca mata … Itu antaranya. Memang geram, tapi bila difikir bukannya patah tangan pun menutup balik pintu almari baju yg ternganga, sidai kain tuala yg terjelepuk merata, susun dan lipat surat khabar yg terburai muka suratnya, kutip dan buang tisu, putik kapas yg telah diguna … Jika ikhlas, itulah ladang pahala percuma buat isteri2. Rugi kan tak ambil peluang terbuka ni. Dan!!! Didiklah anak-anak kita, lelaki terutamanya, untuk tidak buat perkara yg serupa. Bayangkan situasi masa depan generasi anak cucu kita jika semua isteri dan kaum ibu mula amalkannya sekarang. Bukankah melentur buluh hendaklah dari rebungnya … Terima kasih Roza atas perkongsian ini. Moga Roza seisi keluarga sentiasa diberkati Allah SNW. Aminn.

Leave a Reply