Rezeki

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.

(Terjemahan surah Taaha: 132)

Allah SWTlah memberi rezeki kepada hambaNya. Rezeki ini pula bukan hanya terikat kepada rezeki kewangan.

Kehidupan itu sendiri – saya fikir – merupakan rezeki dalam konteks tersangat luas. Lalu kelapangan masa, kerjaya, kesihatan, makan, minum, usia, anak-anak dan kesemua perkara yang baik-baik di sisi Allah SWT disebut sebagai rezeki.

Ada juga istilah rezeki yang tidak disangka-sangka. Kita tidak pernah terfkir, mahu atau meminta sesuatu. Tiba-tiba ia muncul dan menjadi milik kita.

Konsep rezeki milik Allah SWT menarik untuk dinyatakan. Misalnya … kemampuan membeli makanan yang lazat belum tentulah menjadi rezeki untuk menikmati makanan tersebut.

Kita tidak perlu mempunyai kemampuan atau sumber kewangan untuk membeli kereta mewah dan hebat jika semata-mata mahu merasai menaiki kereta tersebut. Allah SWT – InsyaAllah – boleh memberi rezeki naik kereta tersebut tanpa sebarang kos. Barangkali pemilik kereta itu pula menjadi pemandu.

MasyaAllah … saya pernah menaiki pesawat kelas satu penerbangan London – Kuala Lumpur walaupun tidak layak di sisi organisasi saya bekerja. Rezekinya kelihatan mudah. Tempat duduk kelas perniagaan kehabisan dan saya telah diupgrade ke kelas yang lebih tinggi.

Barangkali … itulah pengalaman pertama dan terakhir.

Rezeki Allah SWT juga kelihatan luar biasa. Misalnya … saya terkial-kial mahu membuat clearance menamatkan khidmat di universiti Taibah, Madinah. Ada 18 pegawai yang perlu didapatkan tandatangan dan cop.

Menarik … saya bertemu dengan pensyarah yang juga sedang menghadapi masalah yang sama. Beliau dan saya sudah mempunyai tandatangan berbeza. Lalu tugas kami menjadi mudah. Beliau tunjukkan tempat yang belum saya sempurnakan dan sebaliknya saya membantu beliau mendapatkan tandatangan yang belum diperolehi.

Konsep rezeki milik Allah SWT juga boleh diamati dalam banyak kejadian. Allah ya Allah … kesemuanya jika kita mahu berfikir.

Ini juga kisah menarik, ringkas tetapi signifikan. Mak mahu menunaikan umrah terakhir ketika kami masih menjadi ahli Madinah. Kami pula mahu melayani mak selayaknya. Lalu kami tempah hotel paling hampir dengan Kaabah di kawasan menara jam.

Kosnya SR3200 untuk dua bilik selama empat malam. Beberapa minggu kemudian kami tempah sekali lagi (MasyaAllah … Subhanallah … bagaimana saya boleh terlupa yang saya sudah membuat tempahan awal). Lalu kami terfikir … siapalah yang akan kami tawarkan dan mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka ini.

Akhirnya, kami memilih dan mempelawa sahabat kami di Sudan untuk menunaikan umrah dengan bilik di Makkah dibawah pembiayaan kami sekeluarga. Kami semua teruja dan menanti saat-saat untuk berkumpul di Madinah dan Makkah. Ia pertemuan yang dinantikan.

MasyaAllah … kemudian, kami menerima berita yang lebih menggembirakan apabila adik ipar sekeluarga juga mahu menunaikan umrah ketika mak dan sahabat dari Sudan berada di sini.

OK … abang Ngah belanja penginapan di Makkah. Di Madinah tiada masalah.

Begitulah. Kami sentiasa teruja menyambut dan meraikan kaum keluarga yang hampir. Saya selalu membayangkan bagaimana jika kami semua dapat berkumpul di Jannah. Jika di sini sudah begitu rasanya maka tentulah ia berganda lagi jika bertemu di Firdaus. Lalu sedikit rezeki yang dianugerah Allah SWT mahu dikongsi bersama.

Benar sekali. Hanya Allah SWT yang memberi rezeki kepada hambaNya. Kami tidak berkuasa. Kita hanya merancang tetapi yang menentukannya hanyalah Dia yang Maha Berkuasa.

Kesemua mereka yang mahu diraikan – kecuali mak – tidak mendapat visa untuk terbang ke Makkah dan Madinah. Lalu kesemua bilik yang ditempah menjadi milik yang Dia mahu anugerahkan.

Kami hadiahkan kesemua bilik yang bernilai hampir SR10000 kepada sekeluarga dari Riyadh, lima pelajar Universiti Islam Madinah dan Fady, anak sahabat kami di Madinah.

Kami tetap teruja dan bergembira kerana itulah ketentuanNya. Sungguh, rezeki itu milik Allah. Kita hanyalah alat bagaimana Dia mengagihkan kepada hamba-hambaNya yang lain.

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

(Terjemahan surah Saba’: 39)

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

 

 

5 thoughts on “Rezeki

  1. Rezeki memang milik Allah dan ramai yang mentafsirkan rezeki dalam bentuk kebendaan semata-mata saya mempunyai pengalaman menarik untuk dikongsi bersama khalayak di mana baru ini kami sekeluarga ingin menziarahi anak saudara kami yang yatim, dalam perjalanan kami bermalam di sebuah hotel paginya kami bersarapan di sebuah gerai di perkampungan nelayan seorang pakcik telah memberi t rm50 kpd anak kami dan sarapan kami dibiayai oleh seorang yg kami tidak kenali. Itulah Allah telah memberi balasan baik jika niat kita pun baik

  2. assalam prof,

    semuga kita menjadi hambaNYA yang bersyukur atas nikmat yang di beri, inshaa Allah.

    Terima kasih atas peringatan

    wassalam

  3. Semua yg terjadi menjadi jelas kpd mereka yg mahu berfikir.Banyak yg mahu dikongsi…tetapi pengalaman mengerjakan umrah pd tahun 2013 menjd kenangan betapa nikmat rezeki Allah sangat luas.
    Saya hanya mampu membayar pakej yg paling murah….namun rezeki Allah telah meletakkan kami sekeluarga di hotel 5 bintang dlm menara Zam zam.Ia langsung tidak ada dlm jangkaan .Bersyukur…..Alhamdulillah.Sekembali ke tanah air….kami diberikan pula wang lebihan sebanyak RM 1000.00. Subhanallah,Alhamdulillah,Allahu Akbar.
    La haw lawala quwataillabillah.

  4. Salam Sejahtera,

    Mudah-mudahan mana-mana rakyat di negara ini yang beriman dan yakin dengan kuasa Allah SWT akan sentiasa mengalami “rezeki” dalam kehidupan masing-masing

  5. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar,..Prof, cadangan saya untuk buku akan datang, Prof tulis khusus tentang rezeki sahaja. Saya percaya ramai orang terlepas pandang tentang rezeki2 yang lain selain dari rezeki wang yang selalu menjadi fokus kepada kebanyakan kita.

Leave a Reply