Syaitan Kedua

Hadiah buat Sahabat

Kuliah terdahulu Tuan Darma boleh dibaca melalui buku ini.

Syaitan kedua? Satu persoalan yang singgah dalam kepala. Maka akal pun mencari wajah syaitan kedua itu.

Akal telaga fikir. Dari sana mengalir segala macam pemikiran. Manusia tidak layak menelan semua jenis air daripada telaga akal yang cetet. Acap kali ia mengalirkan air keruh berupa keladak hanyir dari liang-liang yang dikuasai oleh syaitan. Dari sinilah bermulanya idea kejahatan dalam diri manusia.

Dalam diri manusia juga terdapat bermacam-macam nafsu; nafsu baik dan nafsu jahat. Nafsu jahat akan bersekongkol dengan idea jahat untuk melakukan kejahatan. Selain syaitan yang sedia hadir dalam dan luar diri manusia, tumbuh pula sulur kejahatan daripada nafsu jahat dan idea jahat itu. Inilah syaitan kedua.

Berkata Syeikh Nuruddin ar-Raniri : “Akal juga mempunyai perangai hawa nafsu yang rendah (zulumah an-nafs). Oleh kerana itu, kecenderungan perangai hawa nafsu tersebut adalah berbuat derhaka dan aniaya. Selain itu, nafs ammarah juga meminta pertolongan kepada hawa nafsu, iaitu tabiat keinginan nafsu dan cinta hewani. Oleh kerana itu, ia merupakan syaitan kedua yang akan menjatuhkannya ke lembah kebinasaan.” (Syeikh Nuruddin ar-Raniri, ‘Rahasia Menyingkap Makrifat Allah’)

Manusia menyaksikan kekejaman dan kebejatan di tengah-tengah masyarakat yang berakal. Bila akal tidak dimanfaatkan, dan iman tidak dapat menjadi benteng keunggulan kebenaran dan adab, maka terperangkaplah manusia, lalu terlempar ke kendang nafsu haiwan. Inilah antara lembah-lembah kebinasaan yang bukan khayalan tetapi tercokol di depan mata.

Manusia hanya terhangguk-angguk melihat pelbagai kebinasaan. Wajah syaitan kedua itu semakin jelas. Ancaman syaitan pertama dan syaitan kedua ini menjadi begitu hebat, dan ia memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk menanganinya.

Allah telah memberi amaran terhadap ancaman-ancaman ini. Tundukkan kehendak-kehendak syiatan itu dengan tidak menjadi pengikutnya secara tuntas. Ini perjunagan yang tidak mudah.

Mafhum Firman Allah : “Sesungguhnya kekuasaan (syaitan) hanyalah atas orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang yang mempersekutukannya dengan Allah.” (Mafhum Surah An-Nahl [16]:100)

Wallahu a’llam.

[Darma Mohammad].

Leave a Reply