Dua Ratus Kesalahan

Jumlah 200 bukan kecil.  Benar ini satu angka yang dibesar-besarkan. Sebuah hiperbola dalam keadaan tertentu boleh digunakan untuk tujuan tertentu.  Ini berkaitan dengan insan yang boleh dikatakan malang di dalam hidupnya; lantaran sikapnya yang negatif.

            Ini peringatan bijaksana daripada penyair klasik Persia, Sa’di yang hidup sezaman dengan Maulana Rumi pada abad ke-13M.  Peringatan ini ditujukan kepada orang baik dan juga orang kurang baik, mengingatkan agar berhati-hati terhadap gelagat sesama insan. Berpada-pada mempercayai sanjungan orang yang tidak dikenali hati budinya.

            Dua ratus kesalahan ini mungkin aib dan cela yang pernah dilakukan oleh seseorang. Boleh jadi pelakunya sudah pun bertaubat, namun tetap tidak selamat di tangan (baca di lidah) orang tertentu.

            Bila benih-benih tidak ikhlas, tidak jujur, dan bermuka-muka tumbuh di dalam diri seseorang, maka menjalarlah semak belukar kemungkaran melilit pemikiran dan sikapnya.  Inilah pesan-pesan Sa’di di dalam puisinya.

“Jangan mempedulikan tukang sanjung,

Memuji mu setinggi langit untuk mendapatkan sesuatu daripada mu.

Jika suatu hari engkau gagal memuaskan keinginannya

Dia akan mengungkit dua ratus kesalahan yang telah engkau lakukan.”

 (Syeikh Musliuddin Sa’di Shirazi, ‘Gulistan’, Terjemahan Manda Milawati)

Bukan sedikit manusia termasuk ke dalam jerat orang yang tidak jujur. Untuk mendapat sesuatu tujuan sama ada kebendaan atau perkhidmatan, seseorang sanggup menggunakan kata sanjung yang empuk dan lunak.  Sang kena puji dibuai keselesaan.  Berhati-hati lebih baik daripada menelan pujian dan sanjungan yang diri sendiri sedar bahawa pujian itu memang tidak layak pun bagi dirinya.

Apabila si pemuji yang kurang jujur itu tidak mendapat pulangan daripada orang yang dipujinya akan maka akan dilepaskannya 200 kesalahan itu dari bilik kurungan.  Bila ini berlaku, kesalahannya berada pada kedua-dua belah pihak.  Pertama, sang kena puji mudah termakan pujian. Keduanya, si pemuji sengaja mengambil kesempitan untuk kepentingan sendiri.

Dua ratus kesalahan atau lebih lagi, cukup menghuru-harakan kehidupan seseorang; apa lagi jika itu tergolong fitnah dan dusta.  Sebelum hal ini berlaku, segala pujian hendaklah dinilai, disukat, diteliti; sama ada seseorang layak menerima atau tidak.  Orang yang kena puji itu, sedar mula hendaklah berakhlak baik, untuk (nanti) tidak mudah dilempar ke mukanya sebanyak dua ratus kesalahan itu.

Alangkah jeliknya kejahatan.  Pujian kepada orang yang tidak berhak menerimanya, fitnah, pembohongan, aib dan celah; semuanya membawa kepada pencemaran jiwa. Sang pemuji dan yang dipuji sama-sama terikat dengan peraturan dan hukum yang sama.

Kembalilah kepada peringatan yang paling agung.

Mafhum Firman Allah : “Allah tidak menyukai perkataan-perkataan buruk yang diucapkan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali oleh orang dizalimi. (Ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Berkuasa.” (Mafhum Surah An-Nisa’ [4]:148)

Dan

“……..Janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil memanggil  antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk….” (Mafhum sebahagian Ayat Surah Al-Hujurat [49]:11)

Wallahu a’lam.

[Darma Mohammad]

 

Leave a Reply