Kerinduan berjawab

(Nota: Tulisan ini ditulis oleh Dr Maimunah Fadzil yang telah mengikuti kursus Penulisan Gaya Muhd Kami dan Memasak Bersama Roza di Ar-Raudhah Segamat Homestay pada 19-20.12.2015)

Alhamdulillah!

Keinginan bertemu Prof Muhd Kamil Ibrahim (MKI) dan Puan Roza tertunai apabila – akhirnya – aku memijakkan kaki di ArRaudhah Segamat Homestay. Aku bersama tujuh yang lain diterima mengikuti kursus Penulisan Gaya MKI dan Memasak bersama Roza.

Sungguh … kehadiran di sini bukan sekadar mahu  memasak dan bukan juga sekadar mahu menulis tetapi sudah sekian lama aku jadi perindu mahu bertemu kedua-dua tokoh ini.

Perkenalan sebelah pihak bermula enam tahun lalu apabila ditemukan dengan buku Travelog Haji Mengubah: Sempadan Iman hasil tulisan MKI. Ia buku luar biasa buat diri ku. Buku ini mampu merungkai  hikmah di sebalik peristiwa pahit getir yang pernah daku lalui semasa kami sekeluarga menunaikan fardu haji pada 2004.

Tulisan keduanya sering terkesan di hati, terpahat di memori dan menumbuhkan rasa teruja yang amat sangat. Mereka kelihatan tidak henti-henti menyebut rasa rindu mahu memasuki Syurga Firdaus. Allah ya Allah … mereka mahu ke sana tanpa dihisab.

Subhanallah … ia menjentik hati supaya aku juga mahu begitu. Begitulah kuatnya pengaruh dan aroma tulisan mereka. MKI dan puan Roza sentiasa mengajak khalayak – secara santai dan halus – mempercayai Allah SWT sangat hampir.

Tulisan mereka senantiasa menggambarkan bagaimana  mereka sentiasa berkomunikasi denganNya. Apa sahaja yang dicerita dan  dipohon – akhirnya – ditunaikan sama ada dengan apa yang diminta atau yang dianugerah olehNya. Maksudnya, mereka REDHA dengan segala ketentuan.

Bagiku, ini satu keajaiban yang ingin dipelajari dan mahu aku miliki.

Kembara menuntut ilmu ini sungguh menarik. Aku  persiapkan GPS, lakaran peta dan memenuhkan hati penuh dengan semangat. Namun apabila sampai di bandar Segamat, GPS tidak berfungsi lalu lakaran peta juga tidak bermakna. Aku kebingungan berpusing-pusing tidak pasti jalan dan lorong mana harus dituju.

Terlintas di hati mahu menghubungi Prof. MKI tetapi muncul rasa malu. Agaknya, aku tidak mahu ego dalaman ku tercalar. Benarlah kata orang, “malu bertanya sesat jalan”. Ia jadi begitu. Tiba-tiba terdengar azan Zohor yang menarik aku untuk ke masjid berkubah biru. Di sini – masjid Jannatul Firdaus – aku sujud dan merayu kepadaNya :

Ya Allah ampunilah aku, aku yang terlalu percayakan GPS yang boleh menyampaikan aku ke Ar Raudhah, aku yang terlalu yakin lakaran petaku pasti memudahkan perjalananku ke ArRaudhah.

Kini Engkau kembalikan aku kepada Mu.

Aku bersujud, Ya Allah hanya kepada Mu ku bermohon, bantulah aku ke Ar Raudhah.

Allah ya Allah … Dia tunjukkan sesuatu petanda Dia Maha Mendengar. Sejurus selepas itu, Prof. MKI menghubungi dan menghantar anaknya – Azrai – menjemputku. Tiba di ArRaudhah, aku disambut oleh Prof. MKI & puan Roza dengan ucap selamat dan senyum manis. Kami bergambar kenangan di laman indah dirimbuni bunga-bungaan mekar mewangi.

Sebaik melangkah masuk ke pintu Ar Raudhah, sahabat sekumpulan telah sedia menunggu. Aku memerhati pantas. Telah terhidang gelas-gelas kaca cantik bersinar berisi minuman.

Subhanallah … teh serai resipi istimewa Puan Roza menyambut tetamu menghapus kedahagaan lagi memberi rasa  menyegarkan. Barangkali kesungguhan puan Roza menerima kami semua mengalir melalui minuman mudah ini. Ia memberi rasa penghormatan, kemewahan dan kedamaian di hati. Aku berada di ArRaudhah dan merasai nikmat ini. Bagaimana pula jika berada di Raudhah yang kekal abadi?

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

(Terjemahan surah al-Kahfi : 107)

Kami tidak menunggu lama. Sesi perkongsian pertama bertajuk Bersyukur Saat Diuji membawa kami mengembara merentasi msa lampau. Ia kisah kehidupan berlaku di sekitar ArRaudhah yang dibina atas rasa kasih-sayang Prof MKI dan puan Roza.

Di celah-celahnya, terkandung segala kisah keindahan bersekali dengan kemusnahan. Pelabagai ujian yang hadir serentak disampaikan sehingga meresap ke hati kami. Kami menyangka ia hanya kisah pembuka bicara. Kami tersentak di hujungnya apabila Prof MKI menyatakan :

Inilah penulisan Gaya MKI. Perjalanan kehidupan ini dibukukan melalui buku Bersyukur Saat Diuji. Kita menulis dengan hati dan perasaan. Apa yang saya ceritakan melalui tutur kata, itulah yang saya tulis.

Kemudian, Puan Roza menyampaikan tazkirah yang berakhir dengan kami di bawa ke dapurnya yang bersih, kemas, anggun dengan padanan jubin hitam putih. Ia pandangan mengujakan.

Puan Roza membuka periuk besar berisi sup berbau harum segar semerbak. Timbul terapung-apung segugus bawang putih yang masih bersalut kulitnya. Ia kelihatan seperti bunga teratai putih belum kembang.

Terdapat juga sebutir bawang besar merah terapung umpamai bunga teratai merah kembang penuh. Mata asyik memerhati pandangan ini yang menyebabkan hati membuat satu kesimpulan, “sudahlah cantik, pasti sedap enak rasa makanannya.”

Puan, apa itu dua buah bulat seperti bola ping pong hitam yang terapung apung di atas kuah sup?

“Buah limau nipis kering,” puan Roza menunjukkan kepada kami bekas berisi beberapa biji buah limau nipis yang kering kecut berkedut-kedut.

Lihat … apabila disiram air ia akan kembang membulat cantik dan boleh digunakan sebagai rempah ratus.

MasyaAllah … kejahilanku selama ini membuat aku sering membazir dengan mencampakkan limau-limau kering ke dalam tong sampah. Benarlah … ilmu membezakan tindakan.

Teori dan realiti bertemu di sini.

Aku simpulkan, resipi banyak terkandung di dalam buku namun hadir bersama-sama puan Roza di dapurnya merupakan pengalaman unik yang istimewa. Aku pasti – InsyaAllah – akan merindukan detik detik indah ini kerana akulah sang perindu itu meskipun ia rindu yang berjawab.

Terima ya Allah kerana melalui sahabat ku Dr Lili, Kau mempertemukan aku dan mereka. Kami mohon keampunan Mu ya Allah.

2 thoughts on “Kerinduan berjawab

  1. Benar
    Penulisan Mki & Puan Roza begitu menusuk dan berbekas dihati saya jua..mampu menjentik hati untuk mengingati Kebesaran Allah s.w.t akan #Nikmat mana jua yang kamu dustakan# Sungguh lagi nyata daku mohon keampunan mu Ya Allah dengan masa yang kian suntuk untuk ku jua..mohon diberikan daku kekuatan & kudrat untuk “istiqamah didalam beramal kepada mu jua.
    Aamin.

  2. Subhanallah sy teringin sekali menyertainya, hampir setiap bulan ke segamat melawat anak…pasti masanya akan tiba, inshaaALLAH. Tahniah amat terkesan sekali membaca pengalalaman indah puan.

Leave a Reply