Kegelapan dan Fajar

Gejolak jiwa sang pejuang yang tegas, berani dan lantang dapat dirasai tatkala membaca huraian tentang krisis masyarakat zamannya.  Persoalan utama yang diperjuangkan ialah menegakkan Islam di muka bumi.  Ramai tokoh yang memberi usia mereka untuk ini, dan bukan semua orang mampu melaksanakannya dengan pelbagai sebab.

Adalah satu kegelapan bila manusia terkurung dalam dunia yang penuh dengan penganiayaan, kekejaman, ketidakadilan, kezaliman dan pelanggaran hak mengikut ketetapan Allah Maha pencipta. Ini ungkapan-ungkapan yang berat dan manusia tidak boleh menutup mata terhadap makna ungkapan di atas. Ia tidak layak diungkapkan jika tidak berkaitan dengan realiti semasa.

Kegelapan juga merujuk kepada tenggelamnya manusia dalam amalan yang bertentangan dengan petunjuk Ilahi dan penyelewengan akidah Tauhid.

Pejuang sekarang dan sebelum ini telah menghabiskan usia mereka untuk mengembalikan fajar baharu ke tengah masyarakat agar cahaya kebenaran (yang hak) menghalau kegelapan yang berkerak di dalam kalbu manusia.

Syed Qutb dan pejuang lain terpaksa berdepan dengan maut, sama ada dikurung dalam penjara atau dihukum mati. Ini satu kegetiran para pejuang. Sebelum Syed Qutb dihukum gantung beliau menulis antara lain :

“Saudara

Puaka kegelapan pasti akan hancur

Dan alam ini akan disinari fajar lagi

Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya.

Janganlah gentar berkelana di alam abadi

Nun di sana fajar sedang memancar…”

(Petikan sebahagian sajak oleh Syed Qutb dalam ‘Petunjuk Sepanjang Jalan’  terjemahan H.Salahuddin Abdullah)

Kerja menegakkan kebenaran banyak cara dan jalannya. Masing-masing memilih cara tersendiri dalam bidang masing-masing, asalkan kebenaran dapat disebarkan.  Syed Qutb seorang ilmuwan, sasterawan, ahli politik dan juga ulama yang turut menghasilkan Tafsir ‘Fi Zilal al-Quran’ dan buku-buku ilmiah yang lain.

Manusia selagi hidup perlu menyalakan harapan di dalam jiwanya. Kegetiran dapat dipadamkan dengan nyala kebenaran dalam perjuangan. Fajar kebaikan perlu diletus di tengah masyarakat yang pincang. Kebaikan perlu berada di atas, kerana kebaikan itu mulia.  Kegelapan (akidah dan mungkar) perlu diusir kerana kebatilan itu jijik.  Pasti sekali ‘kegelapan’ itu legam dan ‘fajar’ itu gemerlap.

Petunjuk yang benar tetap merujuk kepada Sunah dan al-Quran.

Mafhum firman Allah : “Wahai sekalian! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti kebenaran daripada Tuhan kamu (Nabi Muhammad s.a.w) dan Kami pula telah menurunkan  kepada kamu cahaya yang terang benderang (al-Quran).”

(Mafhum Surah An-Nisa [4]:174)

Wallahu a’lam.

[Darma Mohammad]

Leave a Reply